#352: Isra’ Mi’raj: Roh dan Jasad

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Benarkah peristiwa isra’ dan mi’raj berlaku dengan roh Rasulullah sahaja, atau berlaku dengan roh dan jasad? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[1]

Syeikh Tahir bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam.[2]

Isra’ Mi’raj Berlaku dengan Roh Sahaja atau Roh dan Jasad?

Berbalik kepada persoalan di atas, dalam isu ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pandangan para ulama yang berbeza di antara satu sama lain.

Sebahagian mereka berpendapat bahawa Rasulullah SAW diperjalankan daripada Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa adalah dengan roh sahaja dan bukannya dengan jasad baginda. Manakala pendapat lain pula menyatakan bahawa baginda SAW diperjalankan oleh Allah SWT dengan roh dan juga jasad.

Antara ayat yang menjadi fokus perbincangan di dalam isu ini adalah firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha suci zat yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati kawasan sekelilingnya, untuk Kami tunjukkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”[3]

Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan sifat (cara-cara) Allah SWT memperjalankan Nabi-Nya SAW daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa. Sebahagian mereka berkata: Allah memperjalankan baginda dengan jasadnya. Maka Nabi SAW diperjalankan pada satu malam dan baginda berada di atas buraq daripada Baitullah al-Haram menuju ke Al-Aqsa sehinggalah baginda sampai ke sana. Lalu Allah menunjukkan kepada baginda apa yang dikehendaki dari sudut keajaiban-keajaiban perintah-Nya di samping keagungan dan kebesaran kerajaan-Nya. Kemudian baginda berkumpul di sana bersama dengan para Nabi, dan solat bersama mereka di sana. Kemudian Nabi dinaikkan ke atas langit sehingga ke langit yang ketujuh. Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda di sana, dengan kadar yang Dia kehendaki dan seterusnya baginda pulang semula ke masjid al-haram pada malam yang sama dan baginda solat subuh di sana.

Kemudian Imam al-Tabari  menukilkan pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW tidak diperjalankan dengan jasad baginda akan tetapi dengan roh baginda. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian apabila beliau ditanyakan berkenaan dengan isra’ Nabi SAW beliau menjawab: Ia berlaku dengan cara mimpi yang benar.

Manakala Umm al-Mu’minin Aísyah R.anha pula berkata: “Tidaklah hilang jasad Rasulullah SAW akan tetapi Allah SWT memperjalankannya dengan rohnya.”

Berkenaan dengan kenyataan daripada Saidina Mu’awiyah dan juga Umm al-Mu’minin A’isyah R.anha, ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishak dengan katanya:

حَدَّثَنِي بَعْضُ آلِ أَبِي بَكْرٍ أَنَّ عَائِشَةَ كَانَتْ تَقُولُ مَا فُقِدَ جَسَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَكِنَّ اللَّهَ أَسْرَى بِرُوحِهِ

Maksudnya: “Telah menceritakan kepada aku sebahagian daripada keluarga Abu Bakar, bahawasanya A’isyah R.anha berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah SAW. Akan tetapi Allah memperjalankannya dengan rohnya.”

Athar ini diriwayatkan daripada Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah (2/46). Riwayat ini bagaimanapun dikritik oleh ramai ulama besar. Kata Al-Syeikh ‘Alawi Al-Saqqaf: Athar ini dhaif, ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dengan sanad yang terputus.[4]

Bahkan melalui riwayat tersebut juga jelas kelihatan bahawa Ibn Ishaq tidak menamakan individu dari keluarga Abu Bakr yang menceritakan kepadanya. Ia dianggap sebagai mubham iaitu terdapat kesamaran pada perawi. Jika dinamakan sekalipun, kita perlulah meneliti berkenaan status individu tersebut, adakah ia thiqah ataupun sebaliknya. Maka jelaslah bahawa riwayat ini dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan hujah sebagai sandaran.

Imam al-Tabari  apabila mengeluarkan pendapat beliau dan mentarjihkan kedua-dua pendapat di atas beliau mengatakan: Pendapat yang tepat di sisi kami adalah: Sesungguhnya Allah SWT memperjalankan hambanya Muhammad SAW daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah Allah khabarkan kepada para hamba-Nya. Dan sebagaimana yang telah jelas perkhabaran-perkhabaran daripada Nabi SAW, bahawasanya Allah SWT meletakkan baginda di atas buraq sehinggalah Nabi sampai dengan menaikinya serta solat di sana (Masjid al-Aqsa) bersama-sama dengan para Nabi dan Rasul, serta Allah SWT menunjukkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya.

Maka tiada makna bagi golongan yang berpendapat: Nabi diperjalankan dengan rohnya dan bukan dengan jasadnya. Ini kerana, sekiranya keadaannya sedemikian rupa, sudah tentu perkara tersebut tidak menjadi suatu dalil kenabiannya serta tidak ada hujah ke atas kerasulan baginda. Maka Allah SWT apabila mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa Dia memperjalankan hamba-Nya, dan Dia tidak menyatakan yang Dia memperjalankan roh hamba-Nya. Maka tidak boleh untuk seseorang itu untuk berlebih-lebih terhadap apa yang dikatakan oleh Allah kepada pendapat lainnya.[5]

Demikian juga Imam al-Tabari  berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah SAW diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.

Berkenaan perjalanan Nabi SAW dengan menaiki buraq tersebut, hal ini dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ أُتِيتُ بِدَابَّةٍ أَبْيَضَ يُقَالُ لَهُ الْبُرَاقُ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ

Maksudnya: “Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.”

Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. Kemudian baginda SAW menceritakan bahawa baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya:

فَحُمِلْتُ عَلَيْهِ ثُمَّ انْطَلَقْنَا حَتَّى أَتَيْنَا السَّمَاءَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia.”[6]

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Tabari  sebelum ini, perkataan menaiki dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja. Inilah juga pendapat yang dipersetujui oleh Imam al-Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini. Beliau menukilkan pendapat daripada Imam al-Qadhi ‘Iyadh yang berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan isu isra’ Rasulullah SAW. Maka dikatakan bahawa: Keseluruhan  peristiwa itu berlaku di dalam mimpi. Kebenarannya, yang dipegang oleh majoriti manusia, kebanyakan para salaf, serta ramai dari kalangan para fuqaha, ahli hadis, dan para mutakallimin bahawa baginda SAW diperjalankan dengan jasadnya. Athar-athar jelas menunjukkan kepada perkara ini bagi sesiapa yang meneliti dan mengkajinya. Dan adalah tidak boleh untuk mengalih hal ini daripada zahirnya. Bahkan tiada kemustahilan untuk ia berlaku sehingga memerlukan kepada takwil.[7]

Kesimpulan

Setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa kejadian isra’ (perjalanan) Rasulullah SAW daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa itu berlaku dengan roh dan jasad baginda SAW. Ini dengan mengambil kira penelitian yang dilakukan terhadap nas ilahi di samping hadis-hadis yang sahih lagi jelas yang menyatakan hal tersebut.

 Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Isra’: 1

[2] Lihat Tahrir al-Ma’na al-Sadid wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid fi Tafsir al-Quran al-Majid, 14/10

[3] Surah Al-Isra’(1)

[4] Lihat Takhrij Ahadith al-Zhilal, hlm. 246

[5] Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil Ayi al-Quran, 17/328

[6] Riwayat Muslim (164)

[7] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/357

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *