Jemputan Khusus Al-Allamah Syeikh Abdullah bin Bayyah di Abu Dhabi

Pada 1 Desember 2021, saya memenuhi jemputan khusus daripada al-Allamah Syeikh Abdullah bin Bayyah untuk menziarahinya di kediaman beliau di Abu Dhabi. Beliau adalah ulama’ Mauritania yang terkenal, menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Pengerusi Majlis Tertinggi Akademik Universiti Ilmu Kemanusiaan Mohammed bin Zayed, Ahli Majlis Hukama’ Muslimin, Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu dan Pengerusi Forum Mempromosikan Keamanan dalam Komuniti Muslim.

Saya mengambil peluang dalam pertemuan selama 30 minit tersebut untuk mendapatkan beberapa pencerahan berkenaan isu-isu kefatwaan, termasuk isu akidah dan pemikiran Islam. Alhamdulillah, beliau dalam proses menyiapkan syarah kepada nazam dalam ilmu akidah, yang menggabungkan pendekatan klasik dan moden bagi menjawab fahaman Ateisme.

Beliau turut menyampaikan jemputan kepada saya untuk hadir ke Forum Mempromosikan Keamanan yang bakal diadakan pada 5-7 Disember kelak. Pun begitu, saya memohon izin beliau untuk tidak menghadirkan diri kerana ada beberapa urusan penting di Malaysia untuk diselesaikan.

Insya-Allah beberapa siri kerjasama dengan Universiti Ilmu Kemanusiaan Mohammed bin Zayed akan diusahakan agar keberadaan beliau sebagai Pengerusi Majlis Tertinggi Akademik universiti tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Saya amat terharu kerana beliau amat memuliakan tetamu walaupun agak uzur. Saya dihidangkan dengan Teh Mauritania dan ketika pulang, dihantar sehingga ke depan pintu. Moga Syeikh terus sihat dalam memberi sumbangan kepada umat Islam dan dunia amnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *