Kawasan Kebakaran di Flat Sri Johor

Pada 21 Desember 2021, selepas selesai urusan di Dewan Negara, saya singgah ke Flat Sri Johor untuk melihat kawasan kebakaran. Saya dimaklumkan, 8 buah rumah flat terlibat dalam tragedi yang berpunca daripada letupan gas.

Alhamdulillah semua mangsa telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Tahniah saya ucapkan kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah (155)

Ibn Abbas mentafsirkan lafaz “ونقص من الأموال” dengan maksud kerugian dan juga kekurangan pada harta benda serta kemusnahan binatang-binatang ternakan.

Maksud “الثمرات” sepertimana pendapat Ibn Abbas memberi erti kerosakan atau bencana, sehingga menyebabkan tiada keluar hasil tanaman seperti sebelumnya.

Mengapakah disebutkan lafaz “الْخَوْف” (ketakutan) dan kemudiannya “الْجُوع” (kelaparan)?

Imam al-Qusyairi pula berkata, tujuan kurniaan dalam bentuk memberi makan dan keselamatan adalah agar mereka dapat menumpukan diri dalam beribadah kepada Allah SWT.

Ini kerana seseorang yang tidak mencukupi dalam perkara-perkara tersebut tidak dapat sepenuhnya melakukan ibadat ketaatan, baik kekuatan mahupun hatinya tidak membantunya, kecuali apabila dia aman dalam segala hal. Kemudian Imam al-Qusyairi menukilkan Surah al-Baqarah ayat 155 seperti di atas.

Setelah huraiannya yang panjang lebar, beliau menjelaskan, sebab inilah didahulukan perasaan ketakutan atas sebarang bentuk bala.

Takziah diucapkan kepada semua mangsa yang terlibat. Bacalah doa berikut sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah, ganjarilah aku pahala akibat musibah ini dan berikanlah pengganti yang lebih baik untukku”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *