Kunjungan Banduan Akhir di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang

“Saya tak nak minta apa-apa kecuali tuan-tuan doakan saya dijauhkan daripada api neraka Allah SWT…”

Itulah yang saya lafazkan sebelum melangkah keluar meninggalkan madrasah tirai besi ini. Segelintir mereka berbisik kepada saya, “Ustaz, doakan dosa-dosa saya diampunkan Allah.” Matanya berkaca menahan sebak. Saya termenung seketika.

Mereka sudah tahu pengakhiran ajal masing-masing, lantas sentiasa memperbanyakkan amal ibadah. Kita di dunia luar adakalanya tenggelam dalam urusan duniawi sehingga terlupa, ajal juga boleh menjemput bila-bila masa.

Tradisi peribadi saya dalam bulan Ramadan sejak bergelar Mufti Wilayah Persekutuan adalah mengunjungi Banduan Akhir di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. Tahun ini adalah tahun ke-6.

Saya amat gembira melihat wajah-wajah bercahaya dan tenang Banduan Akhir yang ceria menyambut saya. Bagaikan sahabat karib yang hanya bersua setahun sekali. Rahmat Ramadan mempertemukan kami. Kami solat Zohor dan Asar bersama-sama.

Tahun ini, istimewanya kami sumbangkan sedikit peruntukan untuk juadah berbuka puasa mereka yang lebih istimewa pada malam semalam. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim berbesar hati menyumbangkan pek Rahmat Ramadhan yang diisi dengan biskut, teh, 1kg gula dan 5 bungkus mee segera setiap seorang. Ya, mee segera adalah antara makanan “berharga” di balik tirai besi ini.

Saya minta berikan pek tersebut kepada semua Banduan Akhir tanpa membezakan Muslim dan bukan Muslim. Kerana itulah Rahmat Ramadan.

Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Haji Nordin bin Haji Muhamad; Timbalan Pengarah (Seksyen Penilaian Residivis), TKP Abdul Halim bin Ma Hasan; Pengarah Penjara Kajang, TKP Mohd Andri bin Md. Ridzuan; Pengarah Penjara Sungai Buloh, TKP Rosoman bin Abu Bakar @ Che Din dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan ziarah semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *