#303: Makmum Baca al-Fatihah Ketika Imam Membacanya

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Semasa sedang melakukan solat secara berjemaah, bolehkah saya membaca al-Fatihah ketika imam sedang membacanya? Hal ini bagi mengelakkan daripada saya terlupa untuk membacanya selepas itu. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”[1]

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.”[2]

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.[3]

Selain itu, terdapat tiga keadaan jika seseorang itu terlupa membaca al-Fatihah:

  • Jika dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu  dia rukuk, maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
  • Jika dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
  • Jika dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula.[4]

Berbalik kepada persoalan di atas, jika sekiranya sifatnya memang seorang yang sering pelupa, maka dibolehkan. Dijelaskan dalam kitab Fath al-Mu’in seperti berikut: “Jika makmum mendahului Imam dengan bacaan al-Fatihah atau tasyahhud yang mana menghabiskan bacaan salah satu dari keduanya sebelum imam memulakan bacaan itu, maka ia tidak memudaratkan.”[5]

Akan tetapi nas menyebut supaya perlu senyap ketika imam sedang membacanya. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A yang menyebut:

صَلَّى النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- بِأَصْحَابِهِ صَلاَةً نَظُنُّ أَنَّهَا الصُّبْحُ فَقَالَ : هَلْ قَرَأَ مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ. قَالَ رَجُلٌ أَنَا. قَالَ : إِنِّى أَقُولُ مَا لِى أُنَازَعُ الْقُرْآنَ.

Maksudnya: “Nabi SAW solat bersama para sahabatnya yang kami mengira ia adalah solat Subuh. Beliau kemudian bersabda: “Apakah ada salah seorang daripada kamu yang membaca surah (di belakangku)?” Seorang lelaki menjawab, “Saya.” Baginda lalu bersabda: “Kenapa aku ditandingi dalam membaca al-Quran?”[6]

Ibn Mas’ud R.A berkata:

أَنْصِتْ لِلْقُرْآنِ فَإِنْ فِي الصَّلاةِ شُغْلا، وَسَيَكْفِيكَ ذَلِكَ الإِمَامُ

Maksudnya: “Diamlah ketika imam membaca al-Quran kerana dalam solat itu begitu sibuk. Cukuplah bagimu apa yang dibaca oleh imam.”[7]

Ibn ‘Umar R.Anhuma pula berkata:

يَنْصِتُ لِلْإِمَامِ فِيْمَا يَجْهَرُ بِهِ فِي الصَّلاَةِ وَلاَ يَقْرَأُ مَعَهُ

Maksudnya: “Hendaklah diam ketika imam menguatkan bacaannya dalam solat. Dan janganlah baca bersamanya.”[8]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا

Maksudnya“Jika imam membaca (al-Fatihah), maka diamlah.”[9]

Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”[10]

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan Al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya.”[11]

Beliau turut berkata: “Ahli tafsir berbeza pandangan mengenai keadaan yang diperintahkan oleh Allah untuk diam dan mendengar bacaan al-Quran yang dibaca; sebahagian mereka berpendapat perintah tersebut adalah ketika makmum mendengar bacaan imam di dalam solat dan ayat tersebut diturunkan kerana itu.”[12]

Selain itu, Imam Ibnu Kathir menaqalkan pandangan Ibnu Abbas RA yang menyatakan bahawa ayat (وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا) iaitu ketika berada di dalam solat fardhu. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mughaffal.[13]

Meskipun begitu, para ulama menjelaskan bahawa jika imam adalah merupakan seorang yang cepat bacaan al-Fatihahnya, seperti ketika mendirikan solat tarawih, manakala makmum pula perlahan dalam membaca al-Fatihah, maka dalam situasi ini, dibolehkan bagi makmum untuk mula membaca bagi mengelakkan daripada selalu tertinggal. Justeru, dalam isu ini, hendaklah dilihat pada suasana-suasana dan keadaan-keadaannya. Hal ini sering berlaku ketika melakukan solat tarawih di kampung-kampung di tempat kita.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H

[1] Riwayat Ibnu Majah (828)

[2] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283

[3] Lihat al-Majmu’, 3/288

[4] Lihat al-Majmu’, 2/288

[5] Lihat Fath al-Mu’in, 2/48. Lihat juga Mughni al-Muhtaj, 1/255

[6] Riwayat Abu Daud (826), Ibn Majah (848), al-Nasa’ie (919) dan al-Tirmizi (195)

[7] Riwayat al-Tabarani (9/264). Al-Haithami menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah. (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 2/113)

[8] Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (2/139). Al-Haithami menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah. (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 2/113)

[9] Riwayat Muslim (932)

[10]  Surah al-A’raf: 204

[11] Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345

[12] Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345

[13] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/537

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *