#38 Mangga Cinta Pengikat Cinta?

SOALAN

Apakah hukum seseorang memasang love padlock di tempat-tempat tertentu, dengan berharap akan bertemu jodoh atau jodoh dengan pasangannya akan berkekalan?

JAWAPAN

Cinta yang ikhlas lahir daripada hati yang meletakkan sepenuhnya rasa penghambaan kepada Allah SWT. Cinta yang sebenar bukan lahir daripada ikhtiar yang syirik dan khurafat kepada-Nya. Tidak ada yang boleh memberi keburukan atau kebaikan melainkan Allah SWT. Firman-Nya:

Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Yunus: 107)

Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/407).

Mempercayai love padlock mampu mengikat dan “mengunci” cinta seseorang dengan pasangannya termasuk dalam tiyarah atau tatayyur. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، ثَلاَثًا ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.

Maksudnya: “Al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik (Baginda menyebutnya tiga kali) dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya sahaja Allah SWT menghilangkannya dengan tawakkal.”

Riwayat Abu Daud (3910), Ibn Majah (3538) dan al-Tirmizi (1614)

Menurut Ibn al-Qayyim, “Istilah tatayyur atau tiyarah berasal daripada perkataan al-tayr (الطير) iaitu bermakna burung. Dalam kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyah, apabila mereka akan mengadakan perjalanan, mereka akan terlebih dahulu melepaskan burung. Sekiranya burung itu terbang ke kanan, maka ia dikenali sebagai sa’ih, mereka akan gembira dan perjalanan dibolehkan. Sebaliknya, jika ke kiri iaitu barih, ia bermakna sial dan mereka akan bersedih kerana ia memberi petanda musibah akan menimpa lantas mereka akan menangguhkan pemergian.” (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, hlm. 584-585)

Haram hukumnya memasang mangga cinta (love padlock) dengan harapan akan bertemu jodoh atau kekal jodohnya dengan kekasih hatinya. Berdoalah kepada pemilik hati iaitu Allah SWT dan berusahalah dengan mengikut lunas syarak untuk mendapatkan cinta yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *