#320 Memakan Ikan Lumba-lumba

Soalan

Adakah  dibolehkan memakan ikan lumba-lumba?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ikan Lumba-lumba atau dolfin ialah sejenis mamalia laut dalam order setasea yang berkait rapat dengan ikan paus. Ia tergolong dalam keluarga Delphinidae yang merupakan famili Cetacea terbesar dan agak baru muncil sejak kira-kira sepuluh juta tahun semasa Zaman Miosen. Terdapat hampir empat puluh spesies dalam tujuh belas genus di bawah keluarga Delphinidae.

Haiwan ini boleh dijumpai di seluruh dunia. Ia sering didapati terutamanya di kawasan lebih cetek laut seperti di pentas benua, namun terdapat juga spesies yang tinggal di sungai. Dolfin dianggap sebagai antara haiwan paling cerdik.[1]

Pada asasnya, setiap haiwan yang hidup di dalam air halal dimakan, sebagaimana firman Allah SWT:

 أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu dan bagi orang-orang yang dalam permusafiran”…[2]

Imam Baghawi  menyebut di dalam tafsirnya bahawa kehidupan air terbahagi kepada dua bahagian:

  • Ikan: Kesemua jenis ikan adalah halal untuk dimakan walaupun berbeza dari segi jenis dan rupa bentuk sepertimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah: Dua jenis bangkai: iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah: iaitu hati dan limpa[3]

  • Selain daripada ikan: Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
  1. Hidup di air dan di darat seperti katak, maka haram memakannya.
  2. Hidup di air sahaja dan tidak dapat hidup di darat. Berlakunya perbezaan pendapat dalam hal ini mengikut pendapat Imam Hanafi tidak halal haiwan yang hidup di dalam air melainkan ikan sahaja. Dan mengikut pendapat yang lain, bangkai haiwan air halal untuk dimakan, kerana kesemuanya adalah daripada jenis ikan, dan hanya berbeza dari segi rupa bentuk, seperti Belut, dan seluruh kehidupan air dibolehkan untuk memakannya, dan ia merupakan Ittifak para ulama dan juga pendapat Imam Malik serta Mazhab Syafie.[4]

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya mengenai air laut:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya[5]

Begitu juga sebarang bentuk haiwan yang tidak ada nas qati’ie pengharamannya maka hukumnya adalah halal. Ini berdasarkan kaedah

الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: Asal pada sesuatu itu adalah harus.

Berdasarkan persoalan diatas, ikan lumba-lumba halal di makan kerana ia merupakan sejenis daripada ikan dan hidupan laut. Hal ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW ketika mana para sahabat menemukan bangkai ikan paus di tepi laut, lalu mereka memakannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir RA, katanya:

غَزَوْنَا جَيْشَ الخَبَطِ، وَأُمِّرَ أَبُو عُبَيْدَةَ فَجُعْنَا جُوعًا شَدِيدًا، فَأَلْقَى البَحْرُ حُوتًا مَيِّتًا لَمْ نَرَ مِثْلَهُ، يُقَالُ لَهُ العَنْبَرُ، فَأَكَلْنَا مِنْهُ نِصْفَ شَهْرٍ، فَأَخَذَ أَبُو عُبَيْدَةَ عَظْمًا مِنْ عِظَامِهِ، فَمَرَّ الرَّاكِبُ تَحْتَهُ فَأَخْبَرَنِي أَبُو الزُّبَيْرِ، أَنَّهُ سَمِعَ جَابِرًا، يَقُولُ: قَالَ أَبُو عُبَيْدَةَ: كُلُوا فَلَمَّا قَدِمْنَا المَدِينَةَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «كُلُوا، رِزْقًا أَخْرَجَهُ اللَّهُ، أَطْعِمُونَا إِنْ كَانَ مَعَكُمْ» فَأَتَاهُ بَعْضُهُمْ فَأَكَلَهُ

Maksudnya: Kami pernah berperang bersama pasukan Khabat (pemakan daun-daunan) yang pada waktu itu Abu Ubaidah di angkat sebagai pemimpin pasukan. Lalu kami merasa lapar sekali. Tiba-tiba laut melemparkan ikan paus yang tidak pernah aku lihat sebelumnya. Ikan itu disebut al-Anbar. Kami makan daripada ikan itu selama setengah bulan. Kemudian Abu Ubaidah mengambil salah satu bahagian daripada tulangnya sehingga seseorang boleh melalui dibawah tulang itu. Abu al-Zubair mengkhabarkan kepadaku bahawa dia mendengar Jabir berkata: Abu ‘Ubaidah berkata; “Makanlah kamu semua! Tatkala kami sampai di Madinah, kami ceritakan kepada Nabi SAW. Maka baginda bersabda: ‘Makanlah, itu adalah rezeki yang telah Allah berikan. Berikanlah kepada kami untuk makan sekiranya ia masih berbaki!” Maka sebahagiannya dibawakan kepada baginda dan baginda pun memakannya.’[6]

Ikan lumba-lumba termasuk haiwan marin yang terancam spesisnya

Ikan lumba-lumba termasuk dalam haiwan spesis terancam. Ia termasuk dalam Undang-undang Malaysia, Akta 686, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008. Mamalia marin ini juga tersenarai dalam Akta Perikanan 1985 sebagai spesies marin terancam. Haiwan marin ini juga dilindungi bersama paus, dugong, penyu, yu gergaji, yu sirip putih besar, yu tukul dan pari manta.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Ikan lumba-lumba halal dimakan berdasarkan hujjah dan petunjuk daripada al-Quran dan Sunnah
  • Sebagaimana yang telah kita ketahui, spesies ikan lumba-lumba merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang (supaya dapat melihat dan mengenalinya). Oleh itu, ini bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.
  • Tambahan lagi, ikan ini termasuk di dalam haiwan spesis terancam yang dilindungi, yang tidak boleh diburu dan juga di makan berdasarkan akta dan undang-undang di Malaysia dan Antarabangsa. Malah, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan undang-undang serta hukuman.
  • Pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur :

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

  • Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 19 Januari 2022 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lumba-lumba (Diakses pada 18 Januari 2022)

[2] Surah Al-Maidah: 96

[3] Riwayat Ibn Majah (3314) dan Ahmad (5723)

[4] Lihat Tafsir Al-Baghawi, 1/820

[5] Riwayat Abu Dawud (83), al-Tirmidzi (69), al-Nasaie (59), Ibn Majah (386), dan Ahmad (8735)

[6] Riwayat al-Bukhari (4362), dan Muslim (1935)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *