#667: Membunuh Tikus Menggunakan Jerat

Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-58%
Rated 0 out of 5
RM100.00

Siri Solat Sunat

Solat Musafir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum membunuh tikus dengan menggunakan jerat? Hal ini kerana di rumah saya terlalu banyak tikus dan saya bimbang ia membahayakan kesihatan keluarga kami. Jadi, saya memasang jerat untuk tujuan menangkap dan membunuh tikus-tikus itu. Apa hukum perbuatan ini. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tikus dan Jenis-jenisnya

Menurut Kamus Dewan, tikus adalah merupakan sejenis binatang mengerip. Antara jenis-jenis tikus ialah tikus air, tikus lembah, tikus bandar, tikus mondok, tikus rumah dan tikus sawah.[1]

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, tikus merupakan spesis haiwan mamalia yang tergolong dalam kumpulan yang dipanggil rodensia. Kumpulan ini merupakan kumpulan haiwan mamalia kecil seperti mencit, cencurut, gerbil, mamut, tupai dan arnab. Rodensia dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama (order) iaitu Sciuromorpha, Myomorpha dan Hystrichomorpha. Rodensia adalah jenis tikus dibawah order Sciumorpha dan berada dalam family Muridae.

Di Malaysia spesis tikus yang paling kerap ditemui di dalam persekitaran rumah atau kediaman manusia ialah tikus rumah (Rattus rattus diardii). Selain itu, terdapat banyak lagi spesis tikus yang lazim ditemui di negara ini antaranya termasuklah tikus Norway (Rattus norvergicus), tikus rumah kecil (Mus musculus), tikus sawah (Rattus argentiventer), tikus kayu (Rattus tiomanicus) dan tikus Burma (Rattus exculans).

Kawalan terhadap populasi tikus perlu dilakukan secara intensif kerana urungan tikus yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap ekonomi yang mana tabiat tikus yang suka menggigit akan merosakan infrastuktur seperti kabel elektrik, peralatan-peralatan elektronik dan lain-lain. Di samping itu, populasi tikus yang tidak terkawal juga memberi kesan kepada kesihatan awam. Tikus boleh menyebabkan jangkitan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung. [2]

Jangkitan Penyakit Akibat Tikus

Jangkitan penyakit berjangkit secara langsung berlaku apabila rembesan najis atau cecair yang mengandungi organisma seperti bicilli, rickettsia atau virus daripada tikus yang efektif terkena kepada manusia. Antara contoh penyakit yang diakibatkan jangkitan secara langsung adalah leptospirosis, salmonellosis, trichinosis, lymphocytic choriomeningitis (LCM) ricketssial pox dan malioidosis. Terdapat juga penyakit yang disebabkan oleh agen yang menjadikan tikus sebagai perumah seperti kutu, tungau, sengkenit dan hama. Agen ini adalah penyebab kepada penyakit berjangkit seperti hawar, scrub typhus dan murine typhus.

Perincian penyakit-penyakit tersebut boleh dijelaskan seperti berikut:

  • Leptospirosis

Leptospirosis adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira icterohaemorrhagiae yang terdapat dalam ginjal tikus dan keluar melalui air kencing tikus. Leptospirosis menjangkiti manusia melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kencing tikus dan aktiviti berenang dalam air yang tercemar dengan bakteria tersebut.

  • Ricketssial pox

Ricketssial pox dikenali di Amerika sebagai Rocky Mountain spotted fever. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Rickettsia akari yang terdapat di dalam badan tikus. Jangkitan rickettsia terhadap manusia berlaku melalui gigitan kutu yang mendiami tikus jenis tikus rumah (house mouse).

  • Lymphocytic Choriomeningitis (LCM)

Lymphocytic Choriomeningitis (LCM) adalah penyakit yang disebabkan oleh Lymphocytic Choriomeningitis Virus (LCMV). Virus ini terdapat dalam darah dan organ tikus rumah yang bertindak sebagai perumah (reservoir) tanpa ada gejala penyakit. LCM menjangkiti manusia melalui makanan yang tercemar dengan najis dan kencing tikus.

  • Plague (Hawar)

Penyakit plague ataupun hawar merupakan satu penyakit akut yang boleh membawa kepada kesakitan dan maut kepada manusia dan haiwan. Terdapat dua epidemiologi penyakit hawar iaitu silvatic dan urban. Penyakit hawar silvatic melibatkan transmisi peringkat awal antara rodensia dengan rodensia dan kutu dengan rodensia.

  • Murine typhus

Murine typhus adalah penyakit yang disebabkan oleh agen penyebab Rickettsia typhi yang terdapat dalam kutu jenis xenopsylla cheopis. Walau bagaimanapun spesis kutu yang lain juga berkemungkinan membawa bakteria ini. Jangkitan rickettsia daripada tikus ke tikus terjadi melalui najis kutu yang mana terdapat luka kecil pada badan tikus.

  • Scrub typhus

Scrub typhus adalah penyakit yang disebabkan oleh Rickettsia orientalis. Hama yang terinfeksi dengan bakteria Rickettsia orientalis berkeupayaan hidup 3 hari pada badan tikus, menghisap darah sehingga kenyang dan jatuh ke tanah. Hama yang jatuh ke tanah, berupaya hidup di dalam tanah selama 3 bulan sehingga dewasa. Penyakit ini menjangkiti manusia apabila hama yang terdapat di tanah melalui sentuhan langsung dengan permukaan kulit manusia yang terdedah. [3]

 

Haiwan yang Hukumnya Harus untuk Dibunuh

Pertama sekali, Islam adalah agama ehsan yang tidak dengan sewenang-wenangnya membenarkan penganutnya membunuh makhluk lain dengan sesuka hati. Membunuh haiwan dengan sengaja tanpa sebarang sebab adalah tidak dibenarkan di dalam Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdillah ibn Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا ، إِلاَّ سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا ، قِيلَ يَا رَسُولَ اللهِ ، وَمَا حَقُّهَا ؟ قَالَ : يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا ، وَلاَ يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang manusia membunuh seekor burung atau yang lebih daripada itu tanpa hak, kecuali Allah akan menyoalnya berkenaan burung itu.” Lalu Baginda ditanya, “Apakah haknya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Hendaklah dia menyembelihnya lalu memakannya, dan jangan memotong kepalanya lalu dibuangnya.”[4]

Kedua, sememangnya terdapat nas yang membenarkan umat Islam untuk membunuh haiwan-haiwan tertentu. Ini kerana sesetengahnya mengancam nyawa manusia, melakukan kerosakan dan sebagainya.

Di dalam nas, ia disebut dengan istilah haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Ini sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”[5]

Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jama’ “فُوَيْسِق” iaitu “si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan)”. Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia.[6]

Perkataan “fasiq” pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia.[7]

Lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk i’tibar (contoh) dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat lain.[8]

Imam Ibn Daqiq al-Id menyebut: “Ini jelas menurut isyarat nas yang membolehkan membunuh kelompok haiwan tertentu, kerana sifatnya yang fasiq, yakni melampaui batas.”[9]

Imam al-Nawawi menyebut bahawa haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan.[10]

Haiwan-haiwan fasiq yang disebut itu kesemuanya memiliki sifat zalim yang mengancam kesejahteraan hidup. Di dalam yang hadis lain, turut disebut dengan bilangan yang berbeza. Akan tetapi kesemuanya adalah bagi menunjukkan persepakatan ulama tentang ‘illah sifat haiwan tersebut iaitu menyakiti (‘aqur), tidak bermanfaat dan suka melakukan kerosakan pada manusia.[11]

Justeru, sememangnya terdapat haiwan yang dibenarkan untuk dibunuh di dalam Islam. Namun, kebenaran tersebut adalah di atas ‘illah tertentu seperti sifatnya yang suka melakukan kerosakan, boleh mendatangkan bahaya serta mengancam nyawa manusia. Disebabkan itu, ia dibenarkan untuk dibunuh. Ini juga boleh dikiaskan kepada haiwan lain yang boleh memberi bahaya kepada manusia seperti tebuan, lipan, labah-labah beracun, ular, buaya dan seumpamanya.

Hukum Membunuh Tikus Menggunakan Jerat

Tikus termasuk di dalam binatang yang disunatkan untuk dibunuh kerana tabiatnya yang hidup dalam keadaan yang kotor serta jijik bahkan tikus juga boleh membawa kerosakan. Tikus termasuk di dalam al-Fawasiq al-Khams (haiwan perosak yang lima) berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim sepertimana yang telah kami jelaskan di atas.

Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW telah bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْعَقْرَبُ وَالْفَارَةُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya: Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas.[12]

Imam Malik mengatakan bahawa makna bagi hadis di atas adalah kerana keadaan serta tabiat khams fawasiq tersebut adalah mendatangkan gangguan, membahayakan dan juga memudaratkan maka dibolehkan untuk dibunuh bagi mereka yang berihram.[13]

Oleh itu, jika dalam keadaan berihram sekalipun dibenarkan untuk membunuh khams fawasiq ini, maka dalam keadaan bukan berihram pula, maka ianya juga dibenarkan.

Syeikh Nawawi al-Bantani menyatakan bahawa disunatkan untuk membunuh binatang yang mendatangkan gangguan iaitu secara tabiatnya seperti al-Fawasiq al-Khams. Ini kerana keadaannya yang mendatangkan rasa jijik, kotor dan juga mengangganggu.[14]

Meskipun terdapat keharusan membunuh khams fawasiq ini, namun terdapat juga adab yang  diajarkan oleh Islam tatkala dalam membunuh sesuatu. Ini berdasarkan hadis yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap dari kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan).[15]

Oleh itu meletakkan ihsan pada setiap sesuatu adalah bertepatan dengan hadis di atas meskipun dalam membunuh binatang perosak seperti tikus dan juga yang lainnya. Syeikh al-Mulla Ali al-Qari menyebutkan bahawa ihsan dalam membunuh itu adalah dengan mencari jalan yang paling mudah untuk membunuh dan paling kurang rasa sakit penderitaannya.[16]

Meskipun menggunakan jerat, setelah didapati tikus tersebut maka segeralah membunuhnya dan janganlah membiarkannya mati dalam keadaan terseksa kerana beramal dengan hadis Nabi SAW yang menetapkan bahawa pada setiap sesuatu itu terdapatnya ihsan.

Kesimpulan

Hukum membunuh binatang perosak adalah dibolehkan kerana boleh mendatangkan gangguan ditambah lagi dengan tabiat haiwan perosak tersebut yang jelas membawa keburukan baik dari persekitaran mahupun kesihatan. Meskipun syara’ mengharuskan membunuh haiwan perosak ini, maka berlaku ihsan dalam membunuhnya juga adalah dituntut berdasarkan hadis yang telah dikemukakan pada perbincangan di atas.

Hendaklah mereka yang memasang jerat sentiasa memantau keadaan jerat tersebut dan jika didapati mengena sasaran, maka segeralah membunuhnya. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tertidur dan juga keluar bekerja sehingga tidak dapat melihat keadaan jerat maka tidaklah menjadi kesalahan. Di samping itu, hendaklah juga bagi kita untuk sentiasa menjaga kebersihan agar fawasiq ini dapat kita hindari kedatangannya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=tikus

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/tikus-penyakit-bawaannya-dan-kawalan/

[3] Lihat http://www.myhealth.gov.my/tikus-penyakit-bawaannya-dan-kawalan/

[4] Riwayat al-Nasaie (4349) dan Ahmad (11/110)

[5] Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)

[6] Lihat Lisan al-Arab, 10/310

[7] Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375

[8] Lihat Fath al-Bari, 4/44

[9] Lihat Fath al-Bari, 10/208

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/97

[11] Lihat Syarh Sunan al-Nasa’ie al-Musamma Zakhirah al-Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 24/390. Lihat juga al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/184

[12] Riwayat Muslim (1198)

[13] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/114

[14] Lihat Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, hlm. 145

[15] Riwayat Muslim (1955)

[16] Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 12/333

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search