#538: Memindahkan Kubur

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum memindahkan kubur mengikut syariat Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 19/219)

Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya, oleh itu mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.

Definisi Kubur dan Ukurannya

Menurut Kamus Dewan, kubur dalam bahasa Melayu bermaksud tempat menanam mayat. Lubang kubur pula ialah lubang (liang) tanah tempat menanam mayat. Menguburkan bermaksud menanam mayat, mengebumikan dan memakamkan. Kuburan adalah tanah tempat menguburkan mayat. Ia juga disebut sebagai makam, iaitu perkuburan tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang-orang yang telah mati.[1]

Para ulama’ ada membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah. Pada asasnya, saiz liang lahad itu hendaklah pada kedalaman yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Manakala, saiz kedalaman yang sempurna ialah sedalam manusia sederhana yang mengangkat kedua-dua tangannya.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani, katanya: “Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 106-107)

Dalam Hasyiah al-Bujairimi menerangkan ‘قامة وبسطة’ dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/635)

Manakala maksud memindahkan adalah meletakkan ke tempat lain atau mengalihkan ke tempat lain.[2]

 

Hukum Memindahkan Kubur

Sebenarnya hukum asal adalah tidak dibolehkan tanpa sebarang maslahah dan keperluan yang mendesak. Inilah yang diputuskan oleh kebanyakan para ulama.

Tetapi jika sekiranya terpaksa maka ia dibolehkan. Kami menukilkan di sini pendapat ulama berkenaan isu ini:

  • Dibolehkan apabila kehormatan jenazah tercemar jika tidak digali semula. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/496)
  • Keadaan terpaksa yang berkait dengan panggilan ialah semasa dikuburkan tidak dimandikan atau ditayamumkan, tidak dikafankan atau tidak menghadap kiblat. Manakala yang berkaitan dengan pemindahan ialah seperti dikuburkan dalam perkuburan kafir, dikhuatirkan ditenggelami air atau terhakis, dihinakan oleh orang-orang kafir atau pembuat bid’ah. (Lihat Mughni al-Muhtaj (1/496), Busyra al-Karim (2/39) dan Sabil al-Muhtadin (85)
  • Menurut hukum syarak tidak berdosa memindahkan kubur-kubur jika ditakuti tercemar kehormatannya, bahkan wajib memindahkannya jika kubur-kubur itu tercemar kehormatannya. Hal ini berdasarkan apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW. Para sahabat memindahkan para syuhada dari kubur mereka kerana menghindarkannya daripada terkena basah.

Selain itu, ada juga kuburan para sahabat yang digali semula untuk dipindahkan ke tempat lain, di antaranya seperti keterangan berikut:

Sebagaimana ketika mengulas pendapat Abu Abdullah al-Zubairi yang mengatakan boleh memindahkan mayat jika kuburannya dilalui air atau keadaan tanahnya lembap, Imam Nawawi berkata:

قول الزُبيرِي أَصحُ فقدْ ثبتَ فِي صحيحِ البخارِي عَن جابرِ بن عبدِ الله رَضِى الله عنهما أنهُ دَفنَ أباهُ يومَ أحدٍ معَ رجلٍ آخرٍ في قبرٍ قالَ ثُمَّ لَمْ تَطِبْ نفسِي إن أتركَهُ مع آخرٍ فاستخرجتُهُ بعدَ ستةٍ أشهرٍ فَإِذَا هوَ كَيومٍ وضعتُهُ هُيئةٍ غيرَ اذنِهِ وفِى روايةٍ للبخارِي أيضًا اخرجتُهُ فجعلتُهُ فيِ قبرٍ علي حدةٍ وذكرَ ابنٌ قتيبةَ فِي المعارفِ وغيرِهِ ان طلحةَ بن عبدِ اللهِ أحد العشرةَ رضي الله عنهُمْ دُفنَ فرأتْهٌ بنتُهُ عائشةٌ بعدَ دفنِهِ بثلاثينَ سنةً فِي المنامِ فشكَا إليهَا النَزَّ فأمرتْ بِهِ فاستخرجَ طريًّا فدُفنَ فَي دارِهِ بالبصرةِ

Maksudnya: “Pendapat al-Zubairi adalah paling sahih, hal ini kerana telah sabit dalam sahih Bukhari daripada Jabir RA bahawa sesungguhnya telah dikebumikan bapanya dalam peperanan Uhud bersama dengan seorang lelaki yang lain dalam satu liang lahad kemudiannya katanya hatiku kurang senang jika aku membiarkannya bersama orang lain selepas itu aku menggalinya selepas enam bulan dan menghairankannya dia seperti hari pertama aku mengebumikannya tanpa berubah tetapi telinganya, (dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al-Bukhari disebutkan) aku mengeluarkannya dan memindahkannya ke kuburan sendiri.

Di dalam kitab al-Ma’arif, Ibnu Qutaibah dan lain-lain menyebutkan bahawa Talhah bin ‘Abdillah R.Anhuma (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga) telah dikuburkan selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya bernama Aisyah bermimpi melihat Talhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu Aisyah menyuruh supaya kubur itu digali semula, dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan yang masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Basrah. (Lihat al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 5/273)

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan isu yang ditanyakan di atas.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. [https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kubur]

[2] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. [https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pindah]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *