Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum suami menggunakan mahar yang telah diberikan kepada isterinya?
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.
Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam
Kami mulakan jawapan ini dengan mengemukakan definisi mahar dan pengertiannya terlebih dahulu. Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:
ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ
Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)
Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:
هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا
Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)
Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.
Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”
(Surah al-Nisa’: 4)
Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ»،
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/190)
Maka membayar mahar merupakan kewajipan yang harus ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Selain itu, Allah SWT juga mencela para suami yang menarik kembali mahar yang telah dia berikan kepada istreinya. Allah SWT berfirman,
وَإِنْ أَرَدْتُمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا (20) وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَى بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Jika kamu ingin menggantikan isteri kamu dengan isteri yang lain (menceraikan isteri pertama dan bernikah lagi), sedang kamu telah memberikan kepada seorang di antara mereka harta yang banyak (mahar), maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikitpun. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata? Bagaimana mungkin kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri? Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.”
(Surah al-Nisa’: 20 – 21)
Mahar pernikahan adalah hak mutlak isteri, bukannya hak walinya atau ahli keluarga dan kaum kerabatnya.
Mahar vs Hantaran
Kekeliruan sering berlaku di antara mahar dan juga hantaran yang akhirnya menimbulkan tanda tanya, mana satukah yang sebenarnya disyariatkan oleh Islam? Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ianya juga dinamakan dengan mas kahwin.
Manakala mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/109-110)
Masyhur di sisi masyarakat Melayu kita pula dengan istilah hantaran perkahwinan yang mana membawa maksud wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan ataupun disebutkan juga sebagai belanja hangus. Ianya juga berupa hadiah seperti makanan, pakaian dan sebagainya.
Islam hanya menetapkan mahar di dalam perkahwinan, adapun hantaran berupa wang ataupun barang, ianya tertakluk kepada budi bicara, perbincangan di antara kedua belah pihak dan sepatutnya mahar dan hantaran ini tidak menjadi penghalang bagi perkahwinan yang bakal dilangsungkan.
Sebaik-baik Mahar
Tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar. Oleh itu, ianya tiada had terendah dan juga had maksimum dalam nilaian mahar tersebut bahkan yang pastinya, semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan maka ianya boleh dijadikan mahar sama ada ianya berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat, sedikit atau banyaknya ia seperti kereta, ataupun RM 5,000.00, ataupun sebuah rumah, ataupun mahar dari segi mengajarkan sesuatu dari ilmu-ilmu seperti mengajarkan Al-Quran kepada isteri. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/113)
Meskipun syarak tidak menetapkan kadar mahar namun di sana terdapat petunjuk dari Nabi SAW agar mahar ini dipermudahkan. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya.”
Riwayat Ibn Hibban (4072). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth mengatakan isnadnya Sahih.
Dalam sebuah hadith yang lain pula, dari ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya, perkahwinan yang paling agung dan berkat adalah yang dipermudahkan perbelanjaannya.”
Riwayat Ahmad (24529)
Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukkan betapa pernikahan yang tidak diasaskan dengan nilai yang mahal mas kahwinnya akan dikurniakan keberkatan. Penghargaan yang diberikan dari pihak perempuan terhadap keluarga lelaki menunjukkan keikhlasan dalam menjalinkan hubungan di antara dua keluarga. Keikhlasan yang dizahirkan akan menghilangkan sangkaan seperti mata duitan dapat dilenyapkan dari kamus kehidupan mereka.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Barang siapa yang nafsunya mengajak kepada meninggikan mahar anak perempuan mereka melebihi mahar anak-anak perempuan Nabi SAW yang mana mereka itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT dari segenap kebaikan dan mereka itu adalah sebaik-baik wanita sekalian alam pada setiap sifat adalah jahil. Begitu juga dengan mahar isteri-isteri Rasulullah SAW dan ianya atas kemampuan dan kemudahan. Adapun golongan fakir tidaklah perlu untuk mereka memberikan mahar kecuali dengan apa yang termampu tanpa adanya sebarang masalah.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/194)
Diriwayatkan bahawa mahar untuk isteri-isteri dan anak perempuan Baginda SAW, seperti yang terdapat di dalam Sunan Ibn Majah adalah tidak melebihi 12 uqiyyah. Ianya bersamaan dengan 480 dirham iaitu sekitar 135 riyal perak. (Lihat Sunan Ibn Majah. Kitab al-Nikah. No. Hadith (1886). Hadith ini disahihkan oleh Al-Albani.)
Justeru, disyorkan agar mas kahwin mengikut kadar kemampuan, serta adat yang munasabah. Ianya semata-mata demi mencari keredhaan Allah SWT dan hadith Nabi SAW ada menyebutkan:
فَالْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: “Carilah sesuatu meskipun sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5121)
Hikmah Ditetapkan Mahar/ Mas Kahwin dalam Islam
Penetapan mahar atau mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Kami kemukakan di sini beberapa hikmah pensyariatan mas kahwin dalam Islam.
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan: Mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia. Begitu juga untuk membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan dirinya dengan keperluan perkahwinan, seperti pakaian dan perbelanjaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/586)
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi menyebut, Allah SWT memfardukan mas kahwin ke atas pihak lelaki untuk diberikan kepada pasangan wanitanya adalah sebagai bukti ikatan cinta antara kedua-duanya. Ia juga bertindak mengikat perhubungan kedua-dua pasangan dengan kasih sayang dan belas kasihan di bawah pimpinan pasangan lelaki tersebut. (Lihat Ahkam al-Usrah li Bait al-Muslim, hlm. 75)
Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut, pemberian mas kahwin disyariatkan sebagai lambang kemuliaan dan penghargaan terhadap wanita melalui sesebuah perkahwinan. (Lihat al-Mar’ah Baina al Fiqh wa al-Qanun, hlm. 56)
Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, mas kahwin bertujuan untuk menzahirkan keutamaan dan kepentingan sebuah perkahwinan di samping memuliakan kedudukan wanita. Penyediaan mas kahwin di dalam Islam juga dilihat sebagai ukuran tahap persediaan pasangan dalam menempuh alam perkahwinan yang lebih mencabar. Mas kahwin yang diberikan turut menjadi perlambangan kesucian dan keikhlasan pihak suami untuk menjalani kehidupan bersama-sama pasangan wanita yang dipilihnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/239)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam menjelaskan hikmah disyariatkan mas kahwin menyebut, antaranya:
- Penetapan mas kahwin adalah bagi menunjukkan kemuliaan kaum wanita. Hal ini menandakan bahawa merekalah yang dicari, bukan mencari, dan yang mencarinya ialah lelaki, bukan dia yang berusaha mencari lelaki. Lelaki itulah yang mencari, berusaha, dan mengeluarkan hartanya untuk mendapatkan wanita. Berbeza dengan bangsa-bangsa atau umat yang membebani kaum wanita untuk memberikan hartanya atau harta keluarganya untuk lelaki, sehingga si lelaki ingin mengahwininya.
- Bagi menzahirkan cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya, sehingga pemberian harta itu sebagai nihlah daripadanya, iaitu sebagai pemberian, hadiah, dan hibah, bukan sebagai pembayar harga seseorang wanita sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak. Kerana itu al-Qur’an menyatakan dengan bahasa yang jelas:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’: 4)
- Mas kahwin juga menunjukkan sebagai lambang kesungguhan. Pernikahan bukanlah sesuatu yang dapat dipermainkan kaum lelaki dengan begitu saja, dengan mengatakan kepada seseorang wanita: “Saya nikahi engkau,” sehingga menjadikannya terikat. Kemudian tidak lama setelah itu si wanita dilepaskan begitu saja, dan dia mencari lagi wanita lain untuk diperlakukan sama dengan yang pertama, dan seterusnya…. Pemberian harta ini menunjukkan bahawa lelaki bersungguh-sungguh dalam mendekati wanita, bersungguh-sungguh dalam membina hubungan dengannya.
Apabila dalam hubungan yang tahapnya masih di bawah hubungan perkahwinan pun manusia mahu memberikan cenderamata, perlindungan dan hadiah – sebagai tanda kesungguhan – maka dalam jalinan kehidupan kekeluargaan tentu lebih utama memberikannya. Kerana itu Islam mewajibkan kepada lelaki membayar separuh mahar jika dia menikah dengan seorang wanita tetapi kemudian menceraikannya sebelum melakukan hubungan suami-isteri. Hal ini sebagai penghormatan terhadap perjanjian yang berat dan perhubungan yang suci, juga sebagai petanda bahawa persetubuhan bukanlah tujuan paling utama – kerana dalam kes ini belum terjadi hubungan persetubuhan. Allah berfirman:
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ
Maksudnya: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya).”
(Surah al-Baqarah: 237)
- Hikmah disyariatkan mas kahwin juga kerana bahawa Islam meletakkan tanggungjawab keluarga di tangan lelaki (suami), kerana kemampuan fitriahnya dalam mengendalikan emosi (perasaan) lebih besar dibandingkan kaum wanita. Dia (lelaki) lebih mampu mengatur kehidupan bersama ini. Oleh kerana itu, wajarlah jika lelaki membayar kerana ia memperoleh hak seperti itu, dan di sisi lain ia akan lebih bertanggungjawab serta tidak semudah-mudahnya menghancurkan rumahtangga hanya kerana perkara remeh-temeh. Dialah yang mendanai pembangunan keluarga atau rumah tangga itu, maka apabila bangunan itu runtuh tentu akan menimpa dirinya. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/322)
Hukum Suami Menggunakan Mahar
Berbalik kepada persoalan di atas, berkenaan apakah suami dibenarkan untuk menggunakan mahar yang telah diberikan kepada isterinya, kami nyatakan seperti berikut:
Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 4 Surah al-Nisa’ di atas mengatakan: “Seorang suami wajib memberikan mahar untuk isterinya dengan penuh kerelaan; dan jika wanita tersebut merelakan seluruh atau sebagian maharnya untuk suaminya setelah disebutkan maka suaminya berhak memakannya (mengambilnya) sebagai sesuatu yang halal dan baik.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/213)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili pula berkata: “Adalah harus bagi isteri untuk memberikan mahar yang diperolehinya melalui perkahwinan kepada suami, atau sebahagian daripadanya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/241)
Kemudian beliau menambah lagi: “Maka keumuman ayat al-Qur’an menunjukkan bahawa adalah harus hukumnya, sama ada isteri itu anak dara atau janda ketika ia dikahwini; dan ini adalah pandangan jumhur ulama’.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/241)
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula dinyatakan: “Majoriti fuqaha’ menyatakan bahwa suami tidak boleh mengambil manfaat (menggunakan) apapun yang dimiliki isteri seperti katil, wadah, dan lain-lain tanpa persetujuan isteri, samada harta itu hasil pemberian suami atau pemberian daripada orang lain, samada isteri menerima mahar atau tidak. Isteri berhak menggunakan harta yang dimilikinya sesuka hatinya samada untuk bersedeqah, memberi hadiah atau tukar-menukar, selagi ia tidak membawa kepada kemudaratan.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 26/286)
Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa haram hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an.
Namun, harus hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.
Semoga pencerahan yang dinyatakan itu menambahkan lagi ikatan kasih sayang, mawaddah dan rahmah antara pasangan suami isteri yang menatijahkan Baiti Jannati. Kami menutup dengan berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 5 Mac 2022 bersamaan 2 Syaaban 1443H