#48 Menjual Bunga Untuk Ritual Agama Lain

SOALAN

Apakah hukum menjual bunga untuk ritual sembahyang agama lain?

JAWAPAN

Syariat Islam mengharuskan aktiviti jual beli dilangsungkan antara orang Islam dan bukan Islam. Antara dalilnya ialah hadis daripada Aisyah R.Anha:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah membeli daripada seorang Yahudi makanan (bijirin barli) secara kredit, dengan menggadaikan baju besi Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2096)

Imam al-Nawawi membawakan dua pandangan dalam mazhab Syafie berkenaan hukum bagi seorang Muslim untuk menjual barang kepada seseorang yang pasti menggunakan barang tersebut untuk tujuan maksiat. Pandangan pertama, al-Ruyani menaqalkan daripada majoriti ulama’ Syafi’iyyah bahawa hukumnya adalah makruh yang bersangatan tetapi tidak haram. Pendapat kedua dan paling sahih adalah yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ dan selain mereka dalam kalangan para ulama’ Syafi’iyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/353)

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لُعِنَتْ الْخَمْرُ عَلَى عَشْرَةِ أَوْجُهٍ بِعَيْنِهَا وَعَاصِرِهَا وَمُعْتَصِرِهَا وَبَائِعِهَا وَمُبْتَاعِهَا وَحَامِلِهَا وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ وَآكِلِ ثَمَنِهَا وَشَارِبِهَا وَسَاقِيهَا

Maksudnya: “Khamar dilaknat atas sepuluh sudut; fizikalnya, orang yang memerahnyanya, orang yang minta diperah, penjualnya, orang yang minta dibelikan, orang yang membawanya, orang yang minta dibawakannya, orang yang memakan hasil penjualannya, peminumnya dan orang yang menuangkannya.”

Riwayat Ibn Majah (3371)

Maka, haram hukumnya untuk seorang penjual bunga, menjual bunga yang telah diketahui khusus untuk ritual agama lain. Sementelahan, syirik kepada Allah SWT itu adalah sebesar-besar maksiat. Namun jika tidak diketahui, tidak mengapa. Jika jual beli tersebut tidak dapat dielakkan, boleh bertaklid dengan pendapat lemah bahawa hukum jualan itu adalah makruh. Hasil jualan itu sebaiknya disedekahkan untuk maslahat umum atau mereka yang memerlukan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.”

Riwayat al-Tirmizi (1208) daripada Qais bin Abu Gharazah RA, dengan sanad hasan sahih.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *