#669: Menyimpan Janggut

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum menyimpan janggut? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Janggut

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, janggut ditakrifkan sebagai bulu yang tumbuh di bahagian dagu.

Dalam bahasa Arab, janggut disebut sebagai al-Lihyah (اللِّحْيَة)Syeikh Ibn Sidah dalam Lisan al-Arab menyatakan: “Lihyah merupakan suatu nama yang merangkumi jenis bulu yang tumbuh atas kedua-dua pipi dan dagu.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/241)

Anjuran Memelihara Janggut

Imam al-Tirmizi dalam Syamail Muhammadiyyah ada menyebutkan mengenai sifat janggut Rasulullah iaitu tebal dan lebat. Malah menurut sebuah hadis, diriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- …كَثِيرَ شَعْرِ اللِّحْيَةِ

Maksudnya“Adalah janggut Rasulullah SAW sangat lebat.”

Riwayat Muslim (6230)

Justeru, berdasarkan hadis tersebut, kita dapat fahami berkenaan saranan dan galakan untuk memelihara dan menjaga janggut termasuk jambang.

Selain itu, menurut kesepakatan ulama, bahawa memelihara janggut adalah dituntut oleh Syara’. Ini kerana terdapat hadis yang warid tentangnya, antaranya:

  • Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Selisihilah orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

  • Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ

Maksudnya: “Pendekkanlah misai, dan peliharalah janggut kerana menyelisihi Majusi.”

Riwayat Muslim (260)

  • Daripada ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عشرةٌ من الفطرةِ: … وإِعْفَاءَ اللِّحْيَةِ

Maksudnya: “Sepuluh perkara yang merupakan daripada fitrah manusia:…(antaranya) pemeliharaan janggut.”

Riwayat Muslim (261), Abu Dawud (53), al-Tirmizi (2757), al-Nasa’ie (5040), Ibn Majah (293) dan Ahmad (25060)

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah fi’il amar (أعفوا) dengan ‘membanyakkan’ atau makna ‘memelihara’. (Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, 25/223)

Hukum Memelihara Janggut

Berdasarkan hal ini juga, para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan hukum memelihara janggut seperti berikut:

  • Hukumnya adalah wajib. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ dan sebahagian ulama’ mazhab Syafi’ie.
  • Hukumnya adalah sunat. Ini sebahagian daripada ulama’ Mazhab Syafi’e.

Selain itu, jumhur fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie mengharamkan memotong janggut. Ini kerana bertentangan dengan suruhan hadis Nabi SAW supaya memelihara janggut. (Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, 34/226)

Kami nyatakan juga di sini beberapa pandangan fuqaha’ Syafi’e berkenaan isu ini, antaranya:

  • Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari berkata: “Makruh (mencabutnya) iaitu janggut pada awal pertumbuhannya, sebab mengutamakan ketampanan (kekacakan) dan keelokan paras rupa.” (Lihat Asna al-Mathalib, 1/551)
  • Syeikh al-Ramli berkata: “Pernyataan (dan makruh mencabutnya), iaitu janggut. Dan seumpamanya, adalah mencukurnya.”
  • Al-Hulaimi di dalam kitabnya Al Minha berkata: “Tidaklah boleh (haram) bagi seseorang mencukur janggutnya dan juga kedua-dua bulu kening. Ini adalah pendapat yang lemah. (Lihat Hasyiyah Asna Al-Mathalib, 1/551)
  • Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata: “Mereka kemukakan di sini berkenaan dengan masalah janggut, dan seumpamanya tentang beberapa perkara yang dimakruhkan, di antaranya: mencabutnya, dan mencukurnya (janggut). Demikian juga, kedua-dua bulu kening. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/375-376)
  • Syeikh Ibnu Qasim al-Ubbadi berkata: “Perkataannya (diharamkan), berbeza pendapat dengan pendapat yang kuat (muktamad), Di dalam Syarah al-Ubad terdapat faedah ; kedua-dua Imam, al-Nawawi dan al-Rafi’e berpendapat hukumnya makruh mencukur janggut.” (Lihat Hasyiyah Tuhfat al Muhtaj, 9/375-376)
  • Al-Bujairimi berkata: “Sesungguhnya mencukur janggut itu adalah dimakruhkan walaupun daripada lelaki, bukan haram. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi, 4/346)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram turut membincangkan isu ini. Beliau menyebut: “Berkenaan dengan tajuk yang kita sedang bincangkan ini ialah tentang memelihara janggut. Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrikin. Peliharalah janggut dan cukurlah misai.”

Dalam sebahagian riwayat perkataan waffiru bermaksud memelihara. Namun begitu, hadis di atas telah menjelaskan tentang ‘illah (sebab) utamanya iaitu supaya mempunyai identiti yang berbeza dengan golongan musyrikin khususnya orang Majusi kerana mereka selalunya menggunting janggut mereka dan ada pula yang mencukurnya. Kerana itulah Rasulullah SAW menyuruh kita bersikap berbeza dengan mereka untuk mendidik kaum Muslimin supaya mempunyai identiti yang tersendiri.

Maksud tidak mencukur janggut itu bukanlah dengan membiarkannya tanpa diuruskan, tetapi diuruskannya dengan baik pada lebarnya dan panjangnya sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi. (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 112-114)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi turut menyebut: Maka kita dapat lihat dalam perkara mencukur janggut ada tiga pandangan, antaranya:

  • Pendapat yang menyatakan haram secara pasti iaitu apa yang dinyatakan oleh pendapat Ibn Taimiyah dan lain-lainnya.
  • Pendapat yang mengatakan makruh iaitu apa yang disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari yang menukilkan daripada Qadhi Iyadh, sedang ulama lain tidak seorang pun yang mengatakan begitu.
  • Pendapat para ulama yang sezaman menghukumkan mubah atau harus. Barangkali pendapat yang sederhana dan yang dekat kepada yang benar iaitu pendapat yang mengatakan hukumnya makruh sahaja. Ini kerana perintah supaya memelihara janggut itu tidaklah menunjukkan wajib yang pasti, kecuali dinyatakan kepada kita supaya jangan menyerupai orang kafir atau membezakan diri dengan hidup orang kafir sahaja.

Perkara yang hampir menyerupai persoalan ini ialah perintah untuk menginai rambut yang beruban supaya keadaan orang Islam itu berbeza dengan kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak menginai rambut mereka. Sedangkan ramai dari kalangan sahabat yang tidak menginai rambut. Maka jelaslah hal ini menunjukkan mustahab iaitu dituntut dan dianjurkan sahaja. Sesungguhnya tidak ada satu berita pun yang dinukilkan oleh ulama salaf bahawa mereka mencukur janggut mereka. Barangkali pada zaman mereka masih belum dititikberatkan untuk mencukurnya dan ia merupakan adat kebiasaan mereka.” (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 114)

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami menyatakan bahawa menyimpan janggut adalah sunat dan sayugia dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai janggut dan tiada sebarang larangan serta tegahan oleh mana-mana pihak. Selain itu, kami juga bersetuju dengan pandangan yang paling asah (sahih) dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa hukum mencukur janggut adalah makruh tanzih. Ini kerana menyimpan janggut secara terurus adalah merupakan sunnah Nabi kita yang mulia.

Walaupun begitu, perlu diingat mereka yang ingin menyimpan janggut hendaklah merapikannya dan memeliharanya dengan sebaik mungkin supaya tidak dilihat kusut masai, serebeh dan banyak kritikan orang ramai terhadapnya. Ini menatijahkan penampilan yang salah dalam menterjemahkan perintah Nabi SAW dan berlawanan dengan sifat serta perlakuan Nabi terhadap janggutnya. Sebahagian ulama’ menghujahkan dengan pandangan Ibnu Umar R.Anhuma yang mana janggutnya cuma segenggam.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *