#617: Menziarahi Kubur

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum ziarah kubur?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan mengemukakan beberapa hadith yang berkaitan dengan isu ini:

Pertama, daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kerana padanya ibrah (pengajaran).”

Riwayat Ahmad (11329), al-Baihaqi (7447) dan al-Hakim (1386)

Kedua, daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Ketiga, daripada Buraidah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كنتُ نَهَيتُكم عن زيارةِ القبورِ؛ فمن أراد أن يزورَ؛ فلْيزُرْ،

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur. Maka (sekarang) sesiapa yang mahu, maka ziarahlah.”

Riwayat Abu Daud (3235), al-Tirmizi (1054), al-Nasa’ie (2033) dan Ahmad (23052)

Berdasarkan kepada beberapa hadith di atas, para ulama’ berpendapat bahawa ziarah kubur hukumnya sunat untuk keinsafan dan mengingatkan akhirat. Ia menjadi tuntutan pada hari Jumaat, serta hari sebelum atau selepasnya.

Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq berkata: Sayugia bagi yang menziarahi menggunakan masa ziarah untuk berdoa dengan tadharru’ (penuh pengharapan dan merendah diri), mengambil iktibar kematian, membaca al-Quran kepada si mati, maka yang demikian itu boleh memberi manfaat kepada si mati mengikut pendapat yang asoh. (Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah, 1/525-526)

Begitu juga, sayugia bagi yang ziarah kubur untuk membaca doa:

اَللّـهُمَّ رَبَّ هذِهِ الاَرْواحِ الْفانِيَةِ وَالاَجْسادِ الْبالِيَةِ وَالْعِظامِ النَّخِرَةِ الَّتى خَرَجَتْ مِنَ الدُّنْيا وَهِىَ بِكَ مُؤْمِنَةٌ، اَدْخِلْ عَلَيْهِمْ رَوْحاً مِنْكَ وَسَلاماً مِنّى،

Dan memberi salam:

السَّلامُ عَلَيكُمْ أَهْلَ الدِّيارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ والمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحِقُونَ، أَسْأَلُ اللَّه لَنَا وَلَكُمُ العافِيَةَ

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *