Misi Bantuan Banjir

Pada petang 19 Desember 2021, saya bersama-sama pasukan bantuan banjir USIM diketuai YBrs. Mejar Rozaimi Kamaruddin, Ketua Bahagian Operasi Keselamatan USIM dan En. Ali Zahran, Bahagian Kebajikan Kakitangan USIM meninjau beberapa kawasan sekitar Labu Lanjut dan Salak Tinggi yang didiami staf Universiti Sains Islam Malaysia – USIM.

Kami singgah bertemu staf pembersihan USIM yang mana rumahnya ditenggelami air hingga ke dada. Walaupun beliau menyambut kami dengan gembira, saya amat merasai kesedihan yang cuba disembunyikannya.

Alhamdulillah, USIM mengambil langkah pantas menyediakan penempatan sementara kepada keluarga staf akademik dan staf sokongan yang memerlukan tempat berlindung. Kami juga sedang meneliti bentuk bantuan yang sesuai untuk diagihkan kepada penduduk sekitar, insya-Allah.

Saya juga mengikut rapat perkembangan staf dan mahasiswa USIM yang menjadi mangsa banjir di kawasan-kawasan lain. Maklumat lengkap akan dibentangkan esok kepada saya untuk tindakan segera.

Sekalung penghargaan kepada semua yang menyumbang melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM. Jumlah terkumpul sehingga jam 10.09 malam ini adalah RM 46,713.00. Saya dimaklumkan, bantuan kewangan akan dikreditkan segera kepada mangsa banjir dalam kalangan warga USIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *