#33 Muatnaik Gambar Lama Tidak Tutup Aurat

SOALAN

Apakah hukum memuatnaik gambar lama yang tidak menutup aurat?

JAWAPAN

Menurut Imam al-Nawawi, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama. (Lihat Syarḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 4/30). Adapun melihat gambar yang bercetak atau dalam bentuk digital, boleh diqiyaskan hukumnya kepada pantulan objek pada cermin atau air yang dibincangkan oleh para ulama’.

Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam al-Minhāj menyebutkan, diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan. Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Lihat Nihāyah al-Muḥtāj, 6/187; Iʿānah al-Ṭālibīn, 3/301).

Dalam masa yang sama, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka, di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan yang tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu-isu melibatkan pedofil, pemangsa seksual dan lain-lain. Wallāhu aʿlam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *