#1132: Puasa Kanak-Kanak

Soalan:

Bagaimana cara kita menggalakkan anak-anak kita berpuasa? Ini kerana saya mempunyai anak yang berusia 9 tahun dengan harapan tahun ini dia dapat berpuasa Ramadhan.

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya mengucapkan syabas kerana prihatin dankecaknaan ibu bapa terhadap anak-anak dalam melaksanakan ibadat seperti solat dan puasa telah dipupuk dan dibajai sejak daripada kecil. Tarbiyah untuk mentaati Allah SWT adalah menjadi penawar dan bekalan hidup si anak pada masa akan datang.

Dalam menjawab persoalan ini suka saya nyatakan bahawa kanak-kanak pada asalnya tidak ditaklifkan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ali bin Abi Talib RA berkata, bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.”

Riwayat Abu Daud (4402)

Walaupun begitu, kanak-kanak yang digalakkan untuk berpuasa adalah yang sudah bersifat mumayyiz di mana maksud mumayyiz ialah boleh membezakan antara perkara-perkara biasa seperti memakai selipar atau sepatu tidak terbalik, makan dengan tangan kanan, sudah ada sifat malu, dan memahami ucapan dan perbuatan orang. Biasanya usia mumayyiz antara 7, 8, &9 tahun. Dan boleh jadi ada yang lebih awal dari itu.

Kata Imam al-Qalyubi:

(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ

Maksudnya: “(Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz.” (Lihat Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 2/76)

Untuk permasalahan ini, ibu bapa memainkan peranan utama mendidik dan mengajak anak-anak yang kecil untuk sama-sama berpuasa. Hadith Rubayyi’ binti Muawwiz R.Anha berkata:

فَكُنَّا نَصُومُهُ بَعْدُ، وَنُصَوِّمُ صِبْيَانَنَا، وَنَجْعَلُ لَهُمُ اللُّعْبَةَ مِنَ العِهْنِ، فَإِذَا بَكَى أَحَدُهُمْ عَلَى الطَّعَامِ أَعْطَيْنَاهُ ذَاكَ حَتَّى يَكُونَ عِنْدَ الإِفْطَارِ

Maksudnya: “Maka, setelah itu kami berpuasa dan menyuruh anak-anak kami untuk berpuasa dan kami membuat patung mainan untuk mereka daripada bulu. Apabila ada di antara mereka menangis meminta makanan, maka kami berikan mainan itu kepadanya (sehinggalah mereka dapat  berpuasa dengan sempurna) sampai waktu berbuka.” 

Riwayat al-Bukhari (1960) dan Muslim (1136)

Pada zaman kini, banyak alat-alat yang berfaedah seperti iPad atau YouTube dan lain-lain lagi boleh dimanfaatkan oleh anak-anak. Para ibu bapa hendaklah mengajak anak-anak melihat perkara yang bermanfaat dan berfaedah serta berilmu. Dengan cara ini, mereka akan terpimpin untuk mendapat info yang berguna dan bermanfaat di samping melangsungkan ibadat puasa dengan jayanya. 

Ia bertujuan mengalihkan ingatan anak tentang makan minum kerana lapar kepada perkara yang lain yang menyebabkan mampu ia bertahan sehingga waktu berbuka puasa.  Justeru, marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita dan menggalakkan untuk menegakkan rukun Islam yang lima termasuklah ibadat puasa pada bulan Ramadhan.

Saya nyatakan di sini sebagai tambahan beberapa kaedah dan cara agar anak-anak dapat melaksanakan puasa dengan baik dan berjaya hingga selesai akhir Ramadhan. Antaranya:

  • Kisahkan dan ceritakan kepada mereka kelebihan ibadat puasa dan sebab utama daripada sebab yang membawa masuk syurga. 
  • Membiasakan anak-anak berpuasa sunat sebelum Ramadhan seperti puasa Sya’ban supaya mereka terbiasa dan tidak terkejut dengan kedatangan Ramadhan.
  • Puasa sebahagian hari mengikut kemampuan anak-anak dan cuba melebihkan masa sehingga mencukupkan sehari pada hari-hari yang lain.
  • Takhirkan bersahur agar ia membantu anak-anak untuk berpuasa siang hari dengan lebih berdaya tahan.
  • Galakkan kepada mereka berpuasa dengan memberi hadiah atas setiap hari yang dia puasa dengan sempurna atau setiap minggu seperti extra baju raya atau apa yang diminatinya diberikan kepadanya.
  • Memuji mereka di hadapan keluarga ketika berbuka dan ketika bersahur. Ini juga mengangkat maknawi mereka serta semangat untuk meneruskan ibadat puasa.
  • Cuba membina semangat berlumba-lumba untuk menyempurnakan puasa bagi mereka yang mempunyai ramai anak agar kesemuanya dapat berpuasa. Di samping mengelakkan daripada mencela bagi anak-anak yang tidak mampu.
  • Cuba melalaikan mereka yang lapar dengan tidur atau permainan yang harus sebagaimana yang disebut oleh sahabat Nabi SAW, Rubaiyi’ binti Muawwiz R.Anha.
  • Alangkah baiknya jika si bapa boleh membawa anak khususnya selepas Asar ke masjid untuk solat bersama, hadir majlis ilmu, kekal di masjid untuk membaca al-Quran atau tadarus serta zikrullah.
  • Memberi penghargaan kepada anak-anak yang mampu berpuasa dengan melancong selepas Ramadhan atau ibu memasakkan makanan kesukaannya atau lain-lain lagi. 

Semoga keluarga kita layak untuk memasuki syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan. Amin.

Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *