#27 Qadha’ Solat atau Solat Sunat

SOALAN

Bolehkah saya menunaikan solat sunat dalam keadaan saya masih ada solat fardhu yang belum diqadha’?

JAWAPAN

Telah ijma’ ulama’ bahawa mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib mengqadha’ solat tersebut. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/71). Di sisi mazhab Syafi’i, Imam al-Nawawi memperincikan masalah ini seperti berikut: Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqadha’ solatnya, namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/70-71).

Imam Ibn Hajar al-Haitami pula berkata: “Bagi sesiapa yang ada solat fardhu yang ditinggalkan – jika solat yang ditinggalkan itu kerana keuzuran – dibolehkan solat sunat bersamanya samada solat sunat rawatib dan selainnya. Jika solat yang ditinggalkan itu tanpa keuzuran, tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat sebelum menggantikan solat fardhu yang ditinggalkan. Ini kerana wajib baginya bersegera menunaikannya dengan menggunakan keseluruhan masanya…” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/189). Pandangan Ibn Hajar al-Haitami ini turut dikongsikan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari dan dijelaskan haram hukumnya untuk melakukan solat sunat bagi yang masih ada solat fardhu yang ditinggalkan, tetapi sah jika dilakukan. (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 37).

Perlu diingatkan bahawa larangan ini adalah kerana ibadah wajib lebih penting untuk didahulukan berbanding ibadah sunat. Ini selaras dengan firman-Nya dalam sebuah hadis qudsi:

وَمَا ‌تَقَرَّبَ ‌إِلَيَّ ‌عَبْدِي ‌بِشَيْءٍ ‌أَحَبَّ ‌إِلَيَّ ‌مِمَّا ‌افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (6502)

Selain itu, “hutang” dengan Allah SWT tidak dapat tidak mesti diselesaikan. Rasulullah bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1954)

Pun begitu, bagi yang sering melazimi solat-solat sunat seperti solat sunat Rawatib, Tahiyyatul Masjid, Dhuha dan Tahajud misalnya, mungkin sudah terbiasa dengan amalan ini dan ingin meneruskannya. Begitu juga mereka yang baharu berhijrah ke arah kebaikan, kebiasaannya ada semangat yang tinggi untuk memperbanyakkan amal ibadah.

Maka, terdapat pandangan kedua yang dinukilkan oleh ulama muta’akhkhirin Syafi’iyyah, al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami daripada Habib ‘Abdullah al-Haddad yang menjelaskan, bagi kelompok yang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie, kewajipan untuk qadha’ itu boleh ditunda (tidak dituntut segera), sesuai dengan kemampuan dan tanpa menyempitkan, asalkan tidak sampai ke tahap bermudah-mudahan. Habib ‘Abdullah al-Haddad berdalilkan hadith:

‌بُعِثْتُ ‌بِالْحَنِيفِيَّةِ ‌السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Aku telah diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

Riwayat Ahmad (22291)

Nabi SAW bersabda:

‌يَسِّرُوا ‌وَلَا ‌تُعَسِّرُوا

 Maksudnya: “Permudahkan, usah persulitkan.”

Riwayat al-Bukhari (69)

Al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami mengulas dengan katanya, “Pendapat ini, seperti yang kamu lihat, lebih utama dari pada apa yang dikatakan fuqaha’ berkenaan kewajiban mengerahkan seluruh masa untuk mengqadha’ selain waktu yang diperlukan untuk dirinya dan keluarga yang wajib ditanggungnya, kerana pendapat tersebut mempunyai kesulitan yang amat sangat.” (Lihat Bughyah al-Mustarshidīn, 2/51)

Seperkara lagi, solat sunat boleh dibahagikan kepada dua iaitu zawat al-asbab dan bukan zawat al-asbab. Guru kami Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti menjelaskan, solat sunat yang dikira zawat al-asbab ini adalah kerana sebab yang datang sebelumnya, dan bukan datang kemudian. Beliau membawakan juga pandangan Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah dalam perkara ini. Solat sunat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab) adalah seperti solat tahiyyat al-masjid, solat gerhana, solat istisqa’, solat sunat Hari Raya dan lain-lain. Solat sunat yang tidak mempunyai sebab contohnya solat sunat mutlak. Maka, qadha’ solat wajib didahulukan berbanding solat yang tidak dikira zawat al-asbab. Adapun solat sunat zawat al-asbab, boleh dikerjakan walaupun ada berbaki qadha’ solat.

Kesimpulannya, solat yang ditinggalkan wajib untuk diqadha’ dan itulah yang wajar diutamakan. Usahlah ibadah sunat dilakukan melebihi qadha’ solat yang merupakan kewajiban. Dalam masa yang sama, boleh untuk dilakukan solat-solat sunat sebagaimana fatwa yang dinukilkan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dengan syarat, kelonggaran tersebut tidaklah menyebabkan seseorang itu bermudah-mudahan dengan kewajiban qadha’ solat. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *