#548: Qarin yang Bersama Setiap Orang

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah terbaca satu hadis berkenaan diutuskan qarin dari kalangan jin bersama setiap orang yang dilahirkan ke dunia, termasuk Rasulullah SAW. Boleh jelaskan berkenaan maksud hadith tersebut? Terima kasih

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berdasarkan persoalan di atas, hadith yang dimaksudkan tersebut adalah satu riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA, di mana Baginda Nabi SAW bersabda:

 مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW?  Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”

Riwayat Muslim (2814)

Imam al-Nawawi (676 H) berkata perkataan “فَأَسْلَمَ” dengan membaca huruf mim dengan baris depan atau dengan baris atas dan kedua riwayat ini adalah masyhur. Barangsiapa yang membacanya dengan baris depan, maknanya adalah Nabi SAW terselamat daripada keburukan dan fitnah qarin Baginda SAW. Adapun yang membaca dengan baris atas pula, maknanya adalah qarin tersebut telah masuk Islam dan beriman dengan tidak mendorong Nabi SAW melainkan pada perkara yang baik sahaja.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan mana yang lebih tepat antara kedua ini. Menurut al-Khattabi (388 H) yang sahih dan dipilih adalah dengan baris depan. Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh (544 H) mensahihkan baris atas dan itu adalah dipilih (pilihan al-Qadhi dan al-Nawawi) berdasarkan Sabda Nabi SAW “maka tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.”

Para ulama’ juga berselisih pendapat pada riwayat yang dibaca dengan baris atas, dikatakan “أَسْلَمَ” dengan makna berserah diri (اسْتَسْلَمَ) dan tunduk (kepada Islam). Telah datang riwayat seperti ini selain daripada Sahih Muslim dengan “فَاسْتَسْلَمَ”. Dikatakan juga maknanya adalah qarin tersebut menjadi muslim yang beriman dan ini adalah yang zahir. Telah berkata al-Qadhi bahawa ketahuilah umat ini telah bersepakat akan kemaksuman (terpeliharanya) Nabi SAW daripada syaitan pada jasadnya, lintasannya dan lidahnya.

Pada hadith ini juga terdapat isyarat agar berhati-hati dengan fitnah, waswas dan kesesatan (menyesatkan manusia) qarin ini. Untuk itu, kita perlulah menjauhi perkara ini semampu kita. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 17/157-158)

Antara ulama’ yang mengatakan bahawa qarin Rasulullah SAW masuk Islam adalah Imam al-Suyuthi di dalam kitabnya ketika meletakkan hadith ini di dalam bab Pengkhususan Nabi SAW dengan Islamnya qarin Baginda SAW. (Lihat al-Khasais al-Kubra, 2/323)

Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menyatakan yang dimaksudkan dengan “فَأَسْلَمَ” adalah masuk Islam dan ini merupakan pengkhususan bagi Nabi SAW. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, 1/52)

Kami cenderung kepada pendapat yang dipegang oleh al-Qadhi dan juga al-Nawawi bahawa qarin Rasulullah SAW masuk Islam. Ini merupakan khususiyyah (pengkhususan) Nabi SAW yang tidak ada pada orang lain.

Di samping itu juga, qarin itu adalah jin sebagaimana dinyatakan di dalam hadith dan jin ini ada yang baik dan ada yang jahat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ ۖ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.”

(Surah al-Jin: 11)

Ibn Kathir berkata: Jin mengkhabarkan tentang diri mereka bahawa mereka terbahagi kepada dua kelompok, iaitu yang soleh dan tidak soleh. Mereka berada di atas jalan yang beragam-ragam dan pendapat yang pelbagai. Ibn ‘Abbas, Mujahid dan selainnya menyebut bahawa makna ‘كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا’ adalah bermaksud, ‘di antara kami, ada yang Mukmin dan ada yang kafir.” ( Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/475)

Berdasarkan hadith di atas juga, dapat difahami bahawa setiap manusia yang lahir ke dunia ini akan ada bersamanya qarin daripada kalangan jin. Tugas qarin ini adalah mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara sama ada perkara tersebut baik atau sebaliknya.

Antara dalil yang membuktikan bahawa qarin ini wujud adalah seperti dalam firman Allah SWT

وَقَالَ قَرِينُهُ هَـٰذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).”

(Surah Qaf: 23)

Al-Tabari berkata: Maksudnya adalah, orang yang bersama manusia yang datang kepada Tuhannya pada Hari Kiamat, yang bersamanya seorang penggiring dan seorang penyaksi. Qatadah berkata, “Maksudnya adalah malaikat.” Ibnu Zaid pula berkata, “Ini merupakan penggiring yang ditugaskan untuknya.” Kemudian beliau membaca firman Allah SWT: ‘وَجَاءَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّعَهَا سَائِقٌ وَشَهِيدٌ’ (Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi) [Surah Qaf: 21] (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 23/835; Lihat juga al-Nukat wa al-‘Uyun, 5/350 dan al-Muharrar al-Wajiz, 5/163)

Imam al-Qurthubi ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan qarin di dalam ayat ini adalah malaikat yang diutuskan untuknya. Inilah sepertimana pendapat al-Hasan, Qatadah dan al-Dahhak.  (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 17/16)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘وَقَالَ قَرِينُهُ هَـٰذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ’, yakni, malaikat yang mengawasi manusia berkata: “Inilah buku catatan amalmu yang tersedia dan dihadirkan tanpa ada pengurangan mahupun penambahan.” Mujahid mengatakan: “Ini adalah ucapan malaikat al-sa’iq (yang bertugas menggiring manusia ke al-mahsyar), ia berkata, “Inilah anak cucu Adam yang Engkau menugaskanku untuk mengawasinya, aku telah menghadirkannya.” Manakala Ibn Jarir pula mengatakan, “Perkataan ini bersifat umum, mencakupi malaikat al-sa’iq dan al-syahid.

Al-Zamakhsyari mentafsirkan al-Qarin, dengan katanya: “Yang dimaksudkan adalah syaitan yang diperadakan untuk manusia, yang disebut dalam ayat: “نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ” (Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.) [Surah al-Zukhruf: 36]

Pentafsiran ini dikuatkan oleh ayat selepasnya, “قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ” (Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya…) [Surah Qaf: 27] Jadi, manusia pada hari Kiamat akan dikelilingi oleh malaikat penggiring, malaikat pemberi saksi, dan syaitan yang disertakan dengannya (qarin), yang berkata: “Aku telah menyediakannya untuk Jahannam dengan bisikan dan godaanku terhadapnya.

Kami lebih rajihkan (kuatkan) pendapat yang kedua. Ini kerana, syaitan adalah qarin bagi setiap orang yang tidak baik. Syaitan itu berkata kepada penghuni al-Mahsyar atau kepada para qarin yang lainnya: “Aku telah menyiapkan manusia yang aku dampingi untuk Jahannam.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/510)

Firman Allah SWT:

قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

Maksudnya: “Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”

(Surah Qaf: 27)

Menurut Imam al-Qurthubi qarin di dalam ini adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 17/17)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (13/510) berkata: Kemudian, Allah SWT menyebut percakapan antara orang kafir dan syaitan yang menjadi qarin-Nya ‘قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ’. Syaitan yang menjadi qarin manusia berkata berkait dengan manusia yang kafir, dengan maksud untuk berlepas diri daripadanya: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya atau menjatuhkannya ke dalam kesesatan. Namun, dia sendiri orang yang sesat, lebih memilih kebatilan, angkuh terhadap kebenaran dan jauh daripada kebenaran. Ketika aku mengajaknya, dan dia menerima ajakanku. Seandainya dia termasuk hamba-Mu yang ikhlas, tentu aku tidak akan mampu untuk memujuknya.”

Di sini, tampaknya orang kafir ingin membela diri dengan berkata: “Wahai Tuhanku, syaitan yang menjadi qarinku lah yang menyesatkanku.” Lalu syaitan menjawab: “Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”

Ini adalah pengakuan terhadap fakta yang sebenarnya, sebagaimana perkataan syaitan yang dirakam dalam sebuah ayat:

‏ وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ ۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَانٍ إِلَّا أَن دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي ۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنفُسَكُم ۖ مَّا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنتُم بِمُصْرِخِيَّ ۖ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ ۗ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah Ibrahim: 22)

Penutup

Sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hendaklah kita sentiasa berhati-hati dengan dorongan qarin (syaitan) ini. Ini kerana, antara tugas qarin ini adalah menghasut manusia dan mendorong mereka melakukan kejahatan.

Untuk itu, kita dituntut untuk sentiasa berlindung daripada hasutan dan bisikan syaitan dengan memperbanyakkan isti’azah atau mengucapkan “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” sebagaimana yang dianjurkan dan diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ini juga, disebutkan melalui firman Allah SWT:

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Daripada kejahatan pembisik (penghasut) yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 4-6)

Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan memberi kekuatan kepada kita agar dapat mengawal diri yang lemah ini daripada segala hasutan dan bisikan syaitan yang direjam serta mengurniakan kepada kita semua pengakhiran hidup yang baik. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *