#34 Solat Memakai Stoking Nipis

SOALAN

Salam, adakah jahitan pada stokin wanita yang menampakkan sedikit warna kulit dikira tidak sah untuk dibawa solat dan tawaf? Saya cuba menggunakan dua lapis stokin tapi masih kelihatan sedikit samar-samar warna kulit.

JAWAPAN

Antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Di sisi mazhab Syafie, aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan. Jika seseorang lelaki atau perempuan menunaikan solat dalam keadaan tidak menutup aurat, maka solatnya tidak sah. Para ulama’ Syafi’iyyah berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah raḍiyallahu ‘anhā:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud (641), Ibn Majah (655), dan al-Tirmizi (377).[1]

Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/166-167). Maksudnya, Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan kedua-duanya menutup aurat.

Imam al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Muhazzab, 125/1). Syeikh Zainuddin al-Malibari pula menjelaskan, ia hendaklah tidak menampakkan warna kulit dalam situasi perbualan [jarak kedudukan kebiasaan bagi dua orang atau beberapa orang berbual]. (Lihat Fatḥ al-Muʿīn, 1/86) Dalam fiqh, istilahnya dipanggil sebagai majlis al-takhatub (majlis percakapan/perbualan). Syeikh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menjelaskan, jarak majlis al-takhatub [dalam bab basuhan janggut yang tebal] itu adalah kira-kira 1.5 meter. (Lihat al-Taqrīrāt al-Sadīdah, hlm. 84). Syeikh al-Nawawi al-Bantani menyebut: “[menutup aurat] dengan suatu jirim yang suci yang boleh menghalang penglihatan kepada warna kulit, dengan tidak dapat diketahui warna putih (kulitnya) daripada hitamnya dalam majlis al-takhatub.” (Lihat Kāsyifah al-Sajā, hlm. 120).

Adakah ada para ulama’ mengqiyaskan bab wudhu’ kepada bab aurat? Ya, Imam Ahmad bin Musa bin `Ajil, seperti mana kata Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam Fatḥ al-Muʿīn (hlm. 86) dan Syeikh al-Syarwani dalam Ḥāsyiah Tuḥfah al-Muḥtāj (2/112). Namun mengikut Syeikh Abu Makhramah bahawa pendapat yang muktamad tidak ada beza antara majlis al-takhatub atau tidak. Jika seseorang itu mendekatkan matanya kepada pakaian, maka tidak dikira jika nampak auratnya juga. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidīn, hlm. 104).

Kesimpulannya, stoking wanita yang kelihatan nipis tetapi apabila dipakai, tidak boleh dilihat warna kulitnya dalam jarak kira-kira 1.5 meter, boleh dipakai oleh wanita semasa solat. Walaupun begitu, sunat untuk memakai stoking yang lebih tebal, atau melabuhkan telekung, untuk keluar daripada khilaf. Wallahu a’lam.

[1] Imam al-Tirmizi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *