#277: Solat Orang yang Bergelumang dengan Perkara Haram

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum solat seseorang yang sentiasa bergelumang dengan perkara haram. Sebagai contoh, orang yang setiap hari memakan benda haram seperti dadah. Adakah sah solatnya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466)

Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.

Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Imam al-Baghawi berkata bahawa, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.  (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408)

Menurut Syeikh Muhammad Rasyid Ridha, maksud khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301)

Berbalik kepada persoalan di atas, masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (terpisahnya bahagian). Dalam isu ini, sekiranya solat yang dilakukan itu menepati rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya ia maka solatnya dikira sah dan tidak perlu diulangi.

Manakala dari sudut adakah Allah SWT akan menerima solat daripadanya maka perkara tersebut kembali kepada ilmu Allah SWT yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Walaupun begitu, setiap insan yang bergelar muslim perlu menghayati firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Maidah: 27)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini: (Sesungguhnya Allah SWT hanya menerima amalan) daripada golongan yang bertaqwa kepada Allah dalam melakukan amalan tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/85)

Berdasarkan ayat di atas, jelas ia menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT hanya menerima amalan yang terbit dari kalangan mereka yang bertaqwa. Ketaqwaan itu meliputi perbuatan menjauhkan diri dari kesyirikan dan maksiat serta melakukan segala perintah yang disuruh oleh Allah SWT. Demikian juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anh, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik sahaja.”

Riwayat Muslim (1015)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah: Sesungguhnya Allah SWT suci lagi bersih daripada sebarang unsur kekurangan dan segala kecacatan. Beliau turut mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah lebih umum iaitu: Sesungguhnya Allah SWT tidak menerima sesuatu amalan melainkan ia bersih lagi suci dari segala kerosakan seperti perasaan riya’ dan juga ‘ujub. Allah juga tidak akan menerima sesuatu harta melainkan ianya bersih lagi halal. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/258)

Kesimpulan

Secara umumnya, kami menyatakan bahawa solat yang dilakukan dengan menepati rukun dan syaratnya adalah sah dan melepaskan zimmah (tanggungjawab) seseorang itu.

Walaupun begitu, sekiranya seseorang yang bersolat itu masih melakukan perkara-perkara yang haram seperti menghisap dadah dan seumpamanya, itu bererti solatnya tidak mendatangkan kesan kebaikan kepada dirinya. Firman Allah SWT:

إنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang daripada perbuatan keji lagi mungkar.”

(Surah al-Ankabut: 45)

Demikian juga sebuah athar daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata:

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perkara keji dan munkar, tidak bertambah sedikitpun kedudukan dirinya dengan Allah melainkan bertambah jauh.”

Kami berdoa semoga Allah SWT menerima segala amal soleh yang kita lakukan serta mengurniakan kepada kita solat yang dapat menghalang kita dari melakukan perkara keji lagi munkar. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *