#8 Tangki Air Dipenuhi Tahi Cicak

SOALAN

Bagaimana keadaan tangki yang dipenuhi tahi cicak disebabkn tangki yang tidak ditutupi. Adakah air tangki tadi kena dibuang dan tidak boleh digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib?

JAWAPAN

Jika air dalam tangki tersebut sedikit atau kurang dari dua qullah[1], maka air tersebut dianggap sebagai najis walaupun najis tersebut tidak mengubah bau, warna atau rasanya.

Jika air tersebut mencapai dua qullah atau lebih, maka najis yang ada di dalam air tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah mana-mana tiga sifat utama air. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/17-19).

Akan tetapi jika air tersebut mencapai dua qullah atau dalam kata lainnya banyak, namun najis yang ada di dalam air tersebut mengubah bau atau rasa atau warnanya maka air tersebut dianggap sebagai najis. Ini adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam al-Nawawi.

Beliau menukilkan ijmak daripada ulama Syafi’iyyah bahawa air jika banyak atau sedikit, yang mengalir atau bertakung jika najis yang ada di dalam air tersebut mengubah mana-mana sifat sama ada warna, bau atau rasa, maka air tersebut dihukum sebagai najis. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/160).

Kesimpulannya, jika isipadu air melebihi dua qullah iaitu lebih kurang 200 liter / 52 gallon, maka najis yang ada di dalam tangki tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air yang ada di dalam tangki tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah rasa, bau atau warna air itu.  Jika najis tersebut menyebabkan berubahnya tiga sifat tersebut maka air tersebut dihukumkan sebagai najis. Ianya tidak boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk mahupun mandi wajib. Wallahu a’lam.

 

____________________

[1] Qullah adalah antara cara klasik dalam mengira isipadu air. Jika ditukarkan kepada unit yang moden, dua qullah bersamaan 200 Kg atau 204 kg yang mana ianya bersamaan dengan 200 Liter. (Lihat al-Mu’tamad fi Al-Fiqh al-Syafi’i, 1/41).

2 thoughts on “#8 Tangki Air Dipenuhi Tahi Cicak

  1. Zura binti mustaffa says:

    Apakah hukum memandikan jenazah dengan menggunakan air yang mengandungi tahi cicak didalam tong tadahan air mandi yang tersedia dibilik air dan apakah kesannya kepada simati?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *