Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu kalau solat berjemaah saya baca al-fatihah sedikit lambat kerana takut tersilap baca. Tapi imam kalau dah rukuk saya masih sedang membaca al-fatihah, boleh ke saya rukuk bersama atau perlu habiskan bacaan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Golongan Syafieyyah berpandangan wajib membaca al-Fatihah ke atas makmum, sama ada dalam solat sirriyyah atau jahriyyah, berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah).”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Begitu sabda Nabi SAW:

لَا تُجْزِئُ صَلَاةٌ لَا يَقْرَأُ الرَّجُلُ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak memadai solat orang yang tidak membaca fatihah al-kitab di dalamnya.”

Riwayat al-Daraqutni (1225) dalam Sunan-nya daripada Ziyad. Beliau mengatakan hadis ini isnadnya sahih.

Para ulama Syafieyyah dan Hanabilah juga menaskan bahawa makruh ke atas makmum untuk membaca (al-Fatihah) semasa imam sedang membaca secara jahar, tetapi Syafieyyah mengecualikan keadaan apabila makmum itu berasa takut akan terlepas (atau tidak sempat menghabiskan) sebahagian bacaan al-Fatihah.

Ulama Syafieyyah juga menaskan bahawa jika seorang makmum itu mengetahui yang imamnya tidak akan membaca surah lain selepas al-Fatihah, atau membaca surah yang pendek sehingga makmum itu tidak mungkin dapat menyempurnakan bacaan al-Fatihah, maka (diharuskan) dia membacanya bersama ketika imam juga membacanya. Digalakkan bagi makmum untuk membaca semasa saktah imam (yakni ketika imam diam selepas membaca al-fatihah), atau apabila makmum tidak dengar bacaan imam atar faktor jauh atau pekak.

Berkata ulama Hanabilah: “Disunatkan untuk membaca ketika saktah imam menurut mazhab (Hanbali).”

Berkata Syeikh Taqiuddin: “Muqtadha (yakni keputusan) berdasarkan nas-nas Imam Ahmad dan majoriti ashabnya bahawa membaca selain bacaan al-Fatihah itu afdhal (semasa saktah).”

Dia berkata dalam Jami` al-Ikhtiyarat: “Keputusannya, hanyalah adfhal membaca selain al-fatihah itu apabila dia mendengarnya (yakni makmum mendengar bacaan al-Fatihah imam) jika dia tidak mendengarnya maka yang afdhal adalah al-Fatihah berbanding selainnya.” (Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52-54)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan jika ini situasi anda maka hendaklah baca al-fatihah ketika permulaaan imam membacanya dan anda hendaklah menghabiskannya kerana anda berada pada kedudukan makmum muwafiq (موافق) dan bukan makmum masbuq (مسبوق). Justeru, wajib menghabisi al-fatihah. Kami juga menasihakan kepada anda agar sentiasa membaca al-fatihah dan mempelajarinya supaya lebih fasih sehingga dapat mengaji dan membaca al-fatihah seperti orang lain.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply