Soalan
Adakah benar syair “Tola’al Baru ‘Alaina” disyairkan ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Orang arab ialah merupakan satu bangsa yang terkenal dengan syair. Mereka menggunakan pelbagai bahasa yang indah untuk menggambarkan sesuatu. Seringkali kita mendengan bahawa sya’ir “Tola’al Baru ‘Alaina” digandingkan dengan kisah Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. Bahkan ia seringkali dinyanyikan oleh masyarakat kita dan juga di nusantara terutamanya. Kami nukilkan lafaz syair tersebut.:
طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا … مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعْ
وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا … مَا دَعَا للَّهِ دَاعْ
Maksudnya: “Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada'”, “Dan kami wajib bersyukur, atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada sanad ‘Ubaidillah bin Muhammad bin Aisyah, katanya:
لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , الْمَدِينَةَ جَعَلَ النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ وَالْوَلاَئِدُ يَقُلْنَ: طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا … مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعْ ، وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا … مَا دَعَا للَّهِ دَاعْ.
Maksudnya: Ketika mana Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka perempuan, kanak-kanak dan budak kecil berkata: Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada'”, “Dan kami wajib bersyukur, atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah…”[1]
Syaikh Muhammad bin Abdullah al-‘Usyan menyatakan: “Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad dari ‘Ubaidillah (Ibn ‘Aisyah), katanya, “Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, para wanita dan anak-anak mengucapkan: Sya’ir dengan lafaz sebagaimana di atas).” [2]
Imam al-Baihaqi juga meriwayatkannya di dalam Dala’il al-Nubuwwah pada bab yang lain, iaitu bab orang-orang menyambut Rasulullah SAW ketika pulang dari Perang Tabuk. Kemudian al-Baihaqi menyebutkan:
وَهَذَا يَذْكُرُهُ عُلَمَاؤُنَا عِنْدَ مَقْدَمِهِ الْمَدِينَةَ مِنْ مَكَّةَ وَقَدْ ذَكَرْنَاهُ عِنْدَهُ لَا أَنَّهُ لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ ثَنِيَّةِ الْوَدَاعِ عِنْدَ مَقْدَمِهِ مِنْ تَبُوكَ، وَاللهُ أَعْلَمُ فَذَكَرْنَاهُ أَيْضًا هَاهُنَا
Maksudnya: “Ini disebutkan oleh para ulama kami ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah, dan kami telah menyebutkan pada tempatnya. Bukan ketika beliau tiba di Madinah melalui bukit Tsaniyatul Wada ketika beliau datang dari Tabuk, wallahu a’lam. Tetapi kami tetap menyebutkannya di sini (dalam bab ini).” [3]
Kata imam al-Baihaqi ini dinukilkan juga oleh Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah[4], dan al-Solehi di dalam al-Sirah al-Syamiah.[5]
Sanad hadith yang diriwayatkan ini dhaif kerana sanadnya inqita’ (terputus) dengan skala yang besar. Sesungguhnya Ibn Aisyah lewat meninggal dunia kerana beliau merupakan antara Syeikh (guru) kepada Imam Ahmad dan Abu Dawud, bagaimana beliau boleh meriwayatkan hadith ini daripada Sirah al-Nabawiyah tanpa sanad.
Kami nukilkan beberapa pandangan ulama’ mengenai kelemahan riwayat ini, antaranya:
- Al-Hafiz al-‘Iraqi mengatakan: Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah daripada hadith ‘Aisyah, ianya mu’dhal[6] dan tidak dinyatakan padanya “disertakan dengan kompang atau irama lagu (sebagaimana diutarakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).”[7]
- Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani juga mengulas kisah (atau sya’ir) ini dalam Fath al-Bari. Beliau mengatakan:
وَأَخْرَجَ أَبُو سَعِيدٍ فِي شَرَفِ الْمُصْطَفَى وَرُوِّينَاهُ فِي فَوَائِدِ الْخُلَعِيِّ مِنْ طَرِيقِ عُبَيْدِ الله بن عَائِشَةَ مُنْقَطِعًا لَمَّا دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ جَعَلَ الْوَلَائِدُ يَقُلْنَ طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا مِنْ ثَنِيَّةِ الْوَدَاعِ وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا مَا دَعَا لِلَّهِ دَاعِ ، وَهُوَ سَنَدٌ مُعْضَلٌ وَلَعَلَّ ذَلِكَ كَانَ فِي قُدُومِهِ مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ
Maksudnya: “Abu Sa’id mengeluarkan dalam Syaraf al-Mushtafa dan kami meriwayatkannya dalam Fawaid al-Khal’i daripada jalur ‘Ubaidillah bin ‘Aisyah secara munqathi’ (terputus sanadnya), ketika Nabi SAW memasuki Madinah, kanak-kanak perempuan serentak mengucapkan: “Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada’..” “Dan kami wajib bersyukur, selama yang berdoa mendoakan kepada Allah…”. Ini adalah sanad yang mu’dhal. Kemungkinan peristiwa ini terjadi ketika baginda SAW kembali dari perang Tabuk.” [8]
- Imam Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad mengatakan:
وَبَعْضُ الرُّوَاةِ يَهِمُ فِي هَذَا وَيَقُولُ: إِنَّمَا كَانَ ذَلِكَ عِنْدَ مَقْدِمِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ مِنْ مَكَّةَ، وَهُوَ وَهْمٌ ظَاهِرٌ ; لِأَنَّ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعِ إِنَّمَا هِيَ مِنْ نَاحِيَةِ الشَّامِ لَا يَرَاهَا الْقَادِمُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ، وَلَا يَمُرُّ بِهَا إِلَّا إِذَا تَوَجَّهَ إِلَى الشَّامِ
Maksudnya: “Sebahagian perawi telah melakukan kesilapan berkaitan bait sya’ir ini dan mengatakan: Perkataan tersebut diucapkan ketika baginda tiba di Madinah dari Makkah. Dan ini adalah kekeliruan yang jelas. Kerana Tsaniyatil Wada’ adalah tempat yang letaknya dari arah Syam. Manakala orang yang datang dari Makkah menunju ke Madinah tidak akan dapat melihatnya, juga tidak akan menemui tempat tersebut melainkan jika dia hendak menuju Syam.” [9]
- Syaikh Muhammad bin Abdullah al-‘Usyan menyatakan:
Antara ukuran kelemahan kisah ini, bahawa riwayat-riwayat yang sahih tentang masuknya Nabi ke Madinah ketika hijrah tidak menyebutkan (walaupun secara umum) apa yang boleh menjadi bukti kebenaran kisah ini. Bahkan riwayat-riwayat yang sahih menceritakan kata sambutan (jeritan kerana gembira) penduduk madinah di ketika beliau tiba tanpa diceritakan terdapatnya sya’ir atau nyanyian.
Imam Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya dalam bab hijrah Nabi SAW dan para sahabat ke Madinah, meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik RA, di dalamnya disebutkan:
…فقِيلَ في المَدِينَةِ: جاءَ نَبِيُّ اللَّهِ، جاءَ نَبِيُّ اللَّهِ، صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فأشْرَفُوا يَنْظُرُونَ ويقولونَ: جاءَ نَبِيُّ اللَّهِ، جاءَ نَبِيُّ اللَّهِ،…
Maksudnya: “…Maka di Madinah ada yang mengatakan, “Nabi Allah datang, Nabi Allah datang…” Lalu mereka pun menuju ke tempat yang tinggi untuk melihat. Mereka mengucapkan, “Nabi Allah datang…”[10]
Terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Bara’ bin ‘Azib disebutkan:
…ثُمَّ قَدِمَ النَّبيُّ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَما رَأَيْتُ أهْلَ المَدِينَةِ فَرِحُوا بشَيءٍ فَرَحَهُمْ برَسولِ اللَّهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ، حتّى جَعَلَ الإماءُ يَقُلْنَ: قَدِمَ رَسولُ اللَّهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ…
Maksudnya: “…kemudian Nabi datang. Aku tidak pernah melihat penduduk Madinah begitu gembira sebagaimana gembiranya mereka disebabkan kedatangan Rasulullah SAW. Malah hamba-hamba wanita melaungkan, “Rasulullah datang!” [11]
Dalam riwayat yang lain yang diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq RA:
…فصَعِدَ الرِّجالُ والنِّساءُ فوقَ البُيوتِ، وتَفرَّقَ الغِلمانُ والخَدَمُ في الطَّريقِ، يُنادُونَ: يا محمَّدُ، يا رسولَ اللهِ، يا محمَّدُ، يا رسولَ اللهِ.
Maksudnya: “…Lalu para lelaki dan wanita naik ke bumbung-bumbung rumah, manakala anak-anak dan para pelayan bertempiaran di jalan-jalan. Mereka melaungkan, “Ya Muhammad, ya Rasulullah… Ya Muhammad, ya Rasulullah…”[12]
Ibn Ishaq yang begitu terkenal sangat teliti dalam mencatat riwayat-riwayat sirah dan mengikuti peristiwa demi peristiwa pun tidak menyebutkan nasyid atau syair ini dalam cacatan sirahnya.”[13]
Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama telah menegaskan bahawa riwayat syair tersebut sebenarnya adalah lemah (dha’if), dan berkemungkinan peristiwa syair ini terjadi ketika baginda SAW pulang dari peperangan Tabuk pada tahun ke 9 Hijrah.
Sebarang penyandaran sya’ir tersebut kepada kisah hijrah Nabi SAW sebagaimana yang banyak diceritakan sebahagian kitab-kitab sirah, dan orang-orang terkemudian sebenarnya perlu ditinjau semula dengan baik dan adil.
Akhirnya semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh 10 Januari 2022 M bersamaan 7 Jamadil Akhir 1443 H
[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Khal’i di dalam al-Fawaid (2/59), al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwwah (no. 752 & 2019).
[2] Lihat Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fi al-Sirah al-Nabawiyah, hlm. 87
[3] Lihat Dalail al-Nubuwwah, 5/266
[4] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/33
[5] Lihat al-Sirah al-Syamiah, 5/673
[6] Mu’dhal bermakna pada sanadnya gugur dua atau lebih perawinya secara berurutan.
[7] Lihat Takhrij al-‘Iraqi fi Ihya’ ‘Ulumuddin, 3/252
[8] Lihat Fath al-Bari, 7/261-262
[9] Lihat Zad al-Ma’ad, 3/482
[10] Riwayat al-Bukhari (3911)
[11] Riwayat al-Bukhari (3925)
[12] Riwayat al-Bukhari (2439) dan Muslim (2009)
[13] Lihat Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fi al-Sirah al-Nabawiyah, hlm. 89-90