Soalan

Apakah dalil daripada sunnah yang menunjukkan Rasulullah SAW selalu berbekam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berbekam ataupun dalam bahasa arabnya al-Hijamah (الْحِجَامَةُ) diambil daripada kata perbuatan Hajam (حَجَمَ) yang bermaksud bermaksud menyedut, dan bekam bermaksud menyedut darah dan mengeluarkannya daripada badan. (Lihat Lisan al-Arab, 3/67-68).

Rasulullah SAW pernah berbekam dan Baginda bersabda:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ

Maksudnya:Sebaik-baik pengubatan yang kalian gunakan adalah bekam.”

Riwayat Ahmad (12045)

Rasulullah SAW pernah berbekam dan ia dilakukan oleh Abu Taibah. Kemudian Rasulullah SAW memberinya 2 gantang makanan. Adapun tempat berbekam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhainah RA, bahawa Rasulullah SAW berbekam di kepalanya:

أنَّ رَسولَ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ احْتَجَمَ بلَحْيِ جَمَلٍ مِن طَرِيقِ مَكَّةَ، وهو مُحْرِمٌ، في وسَطِ رَأْسِهِ.

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW berbekam di tengah kepalanya ketika berada di Lahyi Jamal semasa dalam perjalanan ke Makkah dan baginda berada di dalam keadaan ihram.”

Riwayat al-Bukhari (5698)

Terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan berbekam, antaranya ialah:

  • Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ

Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.

Riwayat al-Bukhari (1960)

Daripada Abdullah bin Abbas :

حجم النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عبدٌ لبني بياضةَ . فأعطاهُ النبيُّ أجرَه . وكلَّم سيدَه فخفَّفَ عنهُ من ضريبتِه ولو كان سُحتًا لم يُعطِه النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم

Maksudnya:Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya”. Jika berbekam ini adalah haram, tentu Nabi SAW tidak memberikannya upah.”

Riwayat Muslim (2955)

  • Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam.”

Riwayat al-Tirmizi (1199)

  • Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya.”

Riwayat Ahmad (1987)

  • Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ النَّبِيَّ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم احْتَجَم وَهُوَ مُحرِمٌ، وَاحْتجَم وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: “ Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (1802)

Faedah berbekam

Kami kemukakan di sini beberapa faedah berbekam[1], antaranya:

  • Membuang darah bertoksik yang ada di bawah permukaan kulit.
  • Melancarkan peredaran darah selain membuang angin dalam badan yang menimbulkan rasa tidak selesa.
  • Meringankan otot yang kejang.
  • Mengatasi ketegangan berpanjangan.
  • Membebaskan angin kotor dan toksik dalam badan.

Hukum berbekam

Terdapat sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa ia adalah sunnah secara mutlak. Iaitu sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran samada ia berhajat padanya ataupun tidak. Namun begitu, berbekam adalah satu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan sedemikian. Jika orang yang sakit berbekam dengan pembekam yang berautoriti kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW maka perbuatan tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT tanpa syak lagi. Manakala bagi sesiapa yang tidak memerlukannya maka tidak dikenakan apa-apa padanya. Wallahua`lam.

Bertarikh 12 November 2021 M bersamaan  7 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Pandangan ini sebagaimana dinyatakan oleh pengamal bekam, Zahrin Zulkifli dalam akhbar berita harian. Lihat: https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/06/163024/berbekam-buang-toksik-dalam-darah

0 thoughts on “#100 Sunnah Berbekam

Leave a Reply