Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang berpuasa, dan dalam masa sama gusinya berdarah. Terkadang, darah yang telah bercampur air liur itu tertelan tanpa sedar, kerana darah tersebut sukar untuk dihentikan. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
(Surah al-Baqarah: 187)
Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)
Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. (Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebut bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak (kawasan yang berdekatan dengan otak) atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342)
Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa. (Lihat Nihayah al-Zain, 1/187)
Gusi Berdarah ketika Puasa
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
Maksudnya: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor…”
Surah al-An’am (145)
Ayat di atas menerangkan bahawa darah yang mengalir tidak kira datang daripada haiwan mahupun manusia merupakan perkara yang dianggap kotor dan najis apatah lagi dalam kuantiti yang banyak. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/44)
Menjawab persoalan di atas, darah yang keluar daripada gusi semasa berpuasa tidaklah membatalkan puasa, selagi mana darah tersebut tidak ditelan. Ini kerana, menelan darah boleh membatalkan puasa sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari seperti berikut: “Dan dikecualikan dengan benda yang suci adalah benda yang najis, seperti darah gusi. Maka darah gusi tersebut boleh membatalkan puasa dengan sebab menelannya” (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 56). Oleh itu, orang yang berdarah gusinya ketika berpuasa, dia hendaklah meludahkan darah tersebut.
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji turut ada menjelaskan berkaitan hal ini, katanya: “Puasa akan batal sekiranya air liur yang ditelan bercampur dengan najis. Contohnya, seseorang yang mengalami gusi berdarah dan menelan air liurnya tanpa membasuh mulutnya dahulu, sekalipun air liurnya itu kelihatan putih.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78)
Namun, jika dia sudah berusaha untuk meludahkannya, tetapi masih ada yang tertelan di luar kemampuannya, maka hal tersebut tidaklah mengapa. Kata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “Dan dimaafkan bagi orang yang menelan darah gusinya, sekiranya tidak memungkinkan untuk menjaganya.” (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 56)
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga ada menjelaskan berkenaan isu yang hampir sama seperti ini, iaitu berkenaan mencabut gigi pada siang Ramadhan. Menurut mereka, keluarnya darah disebabkan cabutan gigi tidak menjejaskan puasa, sebaliknya orang yang berpuasa itu hendaklah — berusaha semampu mungkin — mengelakkan daripada menelan darah itu.
Justeru, selagi mana dia sudah berusaha untuk meludahkannya dan mengelakkan daripada menelan darah itu, maka puasanya tetap sah, insya Allah.
Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
(Surah al-Hajj: 78)
Syeikh al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh tolak ansur.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275)
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa darah yang keluar daripada gusi semasa berpuasa tidaklah membatalkan puasa, selagi mana darah tersebut tidak ditelan. Oleh itu, orang yang berdarah gusinya ketika berpuasa, dia hendaklah berusaha meludahkan darah tersebut dan mengelakkan daripada menelannya.
Namun, jika dia sudah berusaha untuk meludahkannya, tetapi masih ada yang tertelan di luar kemampuannya, maka hal tersebut tidaklah mengapa dan dimaafkan. Selagi mana dia sudah berusaha untuk mengelakkannya daripada tertelan, maka puasanya tetap sah, insya Allah.
Dalam masalah di atas juga, kami mendoakan agar mudah-mudahan Allah SWT menerima ibadat saudara. Firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Firman-Nya lagi:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ
Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Firman Allah SWT lagi:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Semua nas di atas menzahirkan bahawa kita ditaklifkan mengikut kadar kemampuan yang kita miliki. Insya Allah tidak batal puasa. Semoga Allah menerima ibadah kita semua amin.
Wallahu a’lam.
Assalamuaikum Dato jika seseorang itu sedang berpuasa diterasa seseuatu yang tidak sedap dalam mulutnya kadang rasa macsm masin, adakalanya rasa manis tak pasti puncanya mungkin dari,gigi yang rosak atau berlubang atau dari karang gigi atau dari gusi yang berdarah adakah puasanya jika menelan air liur yang tak pasti harap pihak tuan dapat menjawabnya dengan segera melaui email agar saya dapat melakukan ibadat dengan tanpa was was