Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang wanita datang haidh pada hari-hari akhir Ramadhan. Namun, dia tetap berazam untuk meraih kelebihan malam Lailatul Qadar. Jadi, apa amalan yang boleh dilakukan olehnya jika bertemu malam Lailatul Qadar? Dan bolehkah wanita yang haidh membaca al-Quran, atau ayat-ayat lazim? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan walaupun seorang wanita sedang berada dalam keadaan haidh. Antaranya:

Pertama: Memperbanyakkan Zikir dan Doa

Wanita yang berada dalam keadaan haidh boleh membaca zikir-zikir dan doa-doa semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Antara doa yang dianjurkan adalah sepertimana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar, apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi SAW: ‘’Ucapkanlah: ‘اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي’ (Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku).”

Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu‘aib al-Arna’uth menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah.

Al-Hafiz Ibn Rajab berkata: “Dianjurkan supaya banyak memohon keampunan kepada Allah pada malam al-Qadar setelah sebelumnya bersungguh-sungguh melakukan amalan pada malam-malam Ramadhan dan juga sepuluh malam terakhir. Ini kerana, orang yang arif (bijak) adalah orang yang bersungguh-sungguh dalam beramal, namun dia masih menganggap bahawa amalan yang dia lakukan bukanlah suatu amalan, keadaan atau ucapan yang baik (soleh). Maka oleh sebab itu, dia banyak memohon keampunan kepada Allah seperti orang yang penuh kekurangan kerana dosa.” (Lihat Lathaif al-Ma‘arif, hlm. 362)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa ashab kami (ulama’ Syafi‘iyyah) mengatakan disunatkan memperbanyakkan membaca doa ini pada malam al-Qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia. (Lihat al-Azkar, hlm. 191)

Justeru, perbanyakkanlah berdoa khususnya dengan doa ini lebih-lebih lagi dalam sepuluh akhir Ramadhan. Mudah-mudahan kita memperoleh kelebihan Lailatul Qadar serta dimudahkan dalam melakukan amalan soleh di dalamnya.

Kedua: Menjamu Orang Berbuka Puasa

Wanita yang berada dalam keadaan haidh juga boleh memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Perbuatan ini jika dilakukan sudah tentu akan memberi ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat al-Tirmizi (807)

Imam Izzuddin bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” (Lihat Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, hlm. 18)

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya“Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”

(Surah al-An’am: 160)

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Imam al-Tabari menerangkan: “Barangsiapa yang menolong seorang mukmin dalam melakukan amal kebaikan, maka orang yang menolong tersebut akan mendapat pahala sama dengan si pelaku kebaikan tadi. Rasulullah SAW memberi khabar bahawa orang yang mempersiapkan segala perlengkapan perang bagi orang yang ingin berperang, maka dia akan mendapatkan pahala orang yang pergi berperang. Begitu juga orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa atau menyumbang tenaga melalui pengagihan makanan bagi orang yang berpuasa, maka dia pun akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa.” (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 5/51)

Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/187)

Kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadith kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: “Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadith) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka.” (Lihat al-Furu’ li Ibn Muflih, 3/73)

Oleh yang demikian seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadith.

Ketiga: Banyakkan Sedekah

Seperti yang diketahui, amalan sedekah di dalam bulan Ramadhan mempunyai ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu akan suci dari sebarang hadas. Justeru, seseorang wanita meskipun berada dalam keadaan haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini di dalam bulan Ramadhan dengan kadar yang termampu.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah merupakan bulan di mana kita digalakkan untuk banyakkan bersedekah dan infaq berdasarkan hadith riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏. ‏

Maksudnya: “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”

Riwayat al-Bukhari (3554)

Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)

Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas R.A menyebutkan:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ:‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ:‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ‏

Maksudnya: “Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?” Jawab Nabi SAW: “Puasa di bulan Sya‘ban untuk mengagungkan Ramadhan.” Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Tirmizi (663) dan beliau mengatakan hadith ini gharib.

Justeru, banyakkanlah sedekah dan infaq dalam bulan Ramadhan khususnya di sepuluh akhir Ramadhan ini, antaranya kepada tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain.

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang haidh sepertimana beberapa contoh yang telah kami jelaskan di atas. Meskipun terdapat beberapa ibadah yang tidak boleh dilakukan oleh wanita yang berada dalam keadaan haidh, namun ia sama sekali tidak menafikan peluang mereka untuk meraih ganjaran yang besar dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wallahu a’lam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply