Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh sarankan, apakah amalan-amalan yang boleh saya fokuskan khususnya dalam menghadapi detik-detik terakhir pada 10 akhir Ramadhan ini? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan di sini bagaimana sikap Rasulullah SAW di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) Baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, Baginda menghidupkan malam harinya, dan Baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).‏”

Riwayat al-Bukhari (2024) dan Muslim (2015)

Imam al-Nawawi berkata: “Di dalam hadith di atas, dijelaskan anjuran untuk memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan dan dianjurkan menghidupkan malam-malamnya dengan pelbagai bentuk ibadah.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 4/208)

Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa pada hadith di atas terdapat keterangan untuk sentiasa bersemangat dan istiqamah dalam beribadah pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. Hal ini merupakan isyarat untuk mengakhiri sesuatu dengan baik. (Lihat Fath al-Bari, 6/310)

Di samping itu, dalam hadith yang lain, Aisyah R.Anha juga ada meriwayatkan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah Baginda pada (hari-hari) selainnya.” (Riwayat Muslim (1175))

Selain itu, ini juga merupakan sikap dan amalan ulama’ terdahulu apabila tibanya sepuluh malam terakhir. Sufyan al-Thauri berkata: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadhan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya.” Sufyan al-Thauri juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya. (Lihat Lathaif al-Ma‘arif, hlm. 160)

Justeru, di sini kami nyatakan beberapa amalan yang boleh dilakukan dan digandakan sepanjang sepuluh malam terakhir Ramadhan. Antaranya ialah:

Pertama: Melakukan Qiyam

Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di sepuluh malam yang terakhir di mana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Dalam bulan Ramadhan, kita disunatkan untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian. Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Hal ini adalah sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.”

Riwayat al-Tirmizi (806), al-Nasa’i (1605) dan Ibn Majah (1327)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.” (Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161)

Justeru Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Bab Kelebihan Barangsiapa yang Mendirikan Ramadhan: “Yakni mendirikan malam-malamnya dengan solat, dan yang dimaksudkan dengan qiamullail ialah apa-apa ibadah yang  termasuk dengan lafaz mutlak “qiyam” seperti mana yang telah kami sebut sebelum ini dalam bab Tahajjud adalah sama. al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih; oleh itu pahala qiyamullail terhasil dengan dengan solat Tarawih, bukan maksud qiyam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan solat Tarawih. Al-Kirmani mengeluarkan pandangan yang aneh dengan berkata: “Mereka sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih.” (Lihat Fath al-Bari, 4/251)

Selain itu, alangkah baiknya sekiranya di sepuluh malam yang terakhir ini, kita gandakan lagi usaha kita dengan solat-solat sunat yang lain di samping solat sunat Tarawih yang kita kerjakan secara berjemaah. Sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum bersahur atau dua rakaat sebelum Fajar. Mudah-mudahan Allah menemukan kita dengan Lailatul Qadar dalam keadaan kita sujud kepada-Nya.

Kedua: Memperbanyak Bacaan al-Quran

Seperti yang diketahui, istimewanya bulan Ramadhan adalah kerana terdapat pelbagai ganjaran yang boleh kita perolehi daripadanya. Pada bulan Ramadhan ini juga terdapat peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk buat sekalian umat manusia.

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya:“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Dalam sebuah hadith riwayat Abdullah bin Mas‘ud R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910) Hadith ini dinilai Hasan

Justeru, kita mengetahui bahawa amalan membaca al-Quran pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, kita juga mengetahui bahawa semua amal kebajikan di bulan Ramadhan turut dilipatgandakan oleh Allah SWT. Maka sebaiknya, kita perbanyakkan bacaan al-Quran lebih-lebih lagi di sepuluh akhir bulan Ramadhan. Moga-moga ia dapat memberatkan neraca amalan kebaikan kita.

Ketiga: Bersedekah dan Infaq

Bulan Ramadhan juga adalah merupakan bulan di mana kita digalakkan untuk banyakkan bersedekah dan infaq. Terdapat sebuah hadith riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏. ‏

Maksudnya: “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”

Riwayat al-Bukhari (3554)

Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)

Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas R.A menyebutkan:

سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ:‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ:‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ‏

Maksudnya: “Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?” Jawab Nabi SAW: “Puasa di bulan Sya‘ban untuk mengagungkan Ramadhan.” Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Tirmizi (663) dan beliau mengatakan hadith ini gharib.

Justeru, banyakkanlah sedekah dan infaq dalam bulan Ramadhan khususnya di sepuluh akhir Ramadhan ini, antaranya kepada tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain.

Keempat: Menjamu Orang Berbuka Puasa

Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun dari pahala orang yang berpuasa itu.”

Riwayat al-Tirmizi (807) dan beliau mengatakan hadith ini hasan sahih.

Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” (Lihat Maqasid al-Saum, hlm. 18)

Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/187)

Oleh yang demikian, seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadith.

Kelima: Iktikaf

Terdapat banyak riwayat yang menjelaskan akan keutamaan beriktikaf, antaranya riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma di mana beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW biasa beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” 

Riwayat al-Bukhari (2025)

Berdasarkan ini, Imam al-Nawawi menyatakan hukum beriktikaf ialah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi SAW dan mencari Lailatul Qadar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/389)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

Leave a Reply