Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum jika seseorang membaca “ولا الظالين” dalam surah al-Fatihah, yang sepatutnya dibaca dengan “ولا الضالين” (dengan huruf ‘ض’).
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Berkaitan isu ini, bacaan “ولا الظالين” tidak disebutkan atau tidak terdapat di dalam qiraat yang mutawatirah. Untuk itu, ia termasuk di dalam qiraat yang syaz kerana qiraat yang syaz ini adalah qiraah (bacaan) yang berlawanan dengan qiraat yang mutawatirah. Dalam isu ini, Imam al-Nawawi pernah menyebut: “Tidak dibolehkan membaca (al-Quran) di dalam solat atau selain daripadanya dengan menggunakan qiraah (bacaan) yang syaz kerana ia bukan daripada al-Quran. Ini kerana, al-Quran tidak disabitkan melainkan dengan tawatur (mutawatir).” ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/392).
Berdasarkan persoalan di atas, di sini kami nukilkan sebahagian daripada fatwa Syeikh Athiyyah Saqar apabila ditanya tentang hukum menukar huruf Dha’ (ض) dengan huruf Zho’ (ظ) di dalam al-Quran dan adakah boleh mengikut imam yang membaca “ولا الظالين” yang mana ia berbeza dengan bacaan yang sebenar iaitu “ولا الضالين”.
Beliau menjelaskan bahawa sebutan yang sahih bagi huruf Dho’ (ض) adalah tidak sama dengan sebutan yang sahih bagi huruf Zho’ (ظ) walaupun kedua huruf ini berdekatan daripada kebanyakan sifatnya melainkan Dho’ ini berbeza dengan Zho’ dari sudut makhraj dan sifat Istitholahnya.
Adapun hukum menukar sesuatu huruf dengan huruf yang lain di dalam al-Quran ketika solat, telah berkata para ulama’: Jika ia dilakukan secara sengaja dalam keadaan dia mengetahui perbezaan di antara kedua huruf tersebut maka hukumnya adalah haram. Bahkan, sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya adalah kufur (terkeluar daripada Islam) kerana mengubah al-Quran al-Karim. Dengan itu, solatnya adalah tidak sah dan begitu juga berimamkannya.
Sekiranya ia dilakukan dalam keadaan tidak sengaja (jahil), maka wajib ke atasnya untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami (mempelajari) cara menyebut huruf yang sahih. Jika dia tidak melakukannya (menyebutnya dengan sahih) dalam keadaan dia mampu, maka solatnya adalah batal dan begitu juga berimamkannya. Adapun, jika dia tidak mampu atau tidak boleh memperbetulkan sebutannya maka sah solat dan juga berimamkannya sebagaimana yang dinyatakan oleh jumhur fuqaha’.” (Lihat Fatawa al-Azhar, 7/480).
Hal ini juga, sepertimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya: “Jika menukar huruf Dho’ (ض) dan Zho’ (ظ), maka pada sahnya bacaan dan solatnya terdapat dua pendapat (pandangan) oleh Imam Abi Muhammad al-Juwaini dan telah berkata Imam al-Haramain, al-Ghazali di dalam al-Basith dan juga al-Rafi’ie serta selain daripada mereka bahawa yang lebih sahih antara dua pandangan tersebut adalah tidak sah dan ini dipegang oleh al-Qadhi Abu al-Thib serta berkata Syeikh Abu Hamid bahawa begitu juga jika menukar selain daripadanya (iaitu Dho’ dengan Zho’). Pendapat kedua adalah sah disebabkan kesukaran untuk mendatangkan makhraj keduanya (iaitu huruf Dho’ dan Zho’) ke atas orang awam dan seumpama dengan mereka.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/392-393).
Berdasarkan fatwa dan pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa tidak sah solat seseorang yang menukar sebutan huruf di dalam bacaan jika ia dilakukan dalam keadaan sengaja dan begitu juga tidak boleh berimamkan seseorang yang membaca al-Quran seperti ini melainkan dia tidak mampu lagi untuk memperbetulkan bacaannya di atas sebab-sebab tertentu yang tidak boleh dielakkan setelah dia berusaha. Justeru, kami menasihatkan agar seseorang itu mencuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan setiap kalimah yang dibaca di dalam al-Quran dengan cara berguru.
Semoga bacaan al-Fatihah kita benar-benar menepati mengikut tajwid dan apa yang ditalaqqi daripada masyayikh sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H