Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang berkhayal sehingga terkeluar mani ketika dia sedang berpuasa? Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar air mani kerana berfikir lucah atau melihat perkara yang menaikkan syahwat? Dan adakah perlu mandi wajib kerana perkara ini? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa ialah:
- Makan dan minum.
- Sesuatu benda masuk ke dalam rongga melalui ruang yang sedia terbuka.
- Muntah dengan sengaja.
- Bersetubuh dengan sengaja.
- Mengeluarkan mani dengan sengaja.
- Haid dan nifas.
- Gila dan murtad. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/83-87)
Secara asasnya, sekiranya seseorang mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani), maka ia akan membatalkan puasa – sekiranya keluar air mani – sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/356)
Selain daripada itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu beronani dengan tangannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara haram. Namun, puasanya tidak rosak — yakni terbatal — disebabkan oleh perbuatan onani itu kecuali apabila keluarnya air mani. Justeru, jika keluar air mani kerana perbuatan onani tersebut, maka puasanya terbatal. (Lihat al-Mughni, 4/363)
Isu Berkhayal Sehingga Keluar Mani Ketika Berpuasa
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini pandangan para fuqaha’ dalam menjelaskan isu ini.
Imam al-Nawawi berkata: Air mani jika keluar (ejakulasi) disebabkan onani, maka puasa seseorang batal. Tetapi, jika air mani keluar dengan semata-mata sebab fikiran dan memandang dengan syahwat, maka puasanya tidak batal. Sedangkan ejakulasi kerana sentuhan fizikal pada selain kemaluan, sentuhan, atau ciuman, maka puasanya batal. Inilah pandangan mazhab Syafi’i. Demikian juga pandangan majoriti ulama’. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/247)
Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili pula menjelaskan bahawa: Apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).
Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)
Syeikh al-Bujairimi sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Abu Bakar Syatha al-Dimyati, berkata: “…seperti keluar mani kerana melihat dan mengkhayal (pada sesuatu yang menimbulkan syahwat), itu tidak membatalkan puasanya, kerana ketiadaan unsur bersentuhan secara langsung (al-mubasyarah). Al-Bujairimi berpendapat: Ketidakbatalan puasa itu adalah jika bukan kebiasaannya keluar mani kerana melihat dan mengkhayal. Tetapi, jika kebiasaan melakukan dua perkara tersebut menyebabkan keluar mani, maka hal itu membatalkan puasa.” (Lihat Hasyiyah I’anah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Mu’in, 2/228)
Syeikh Zainuddin al-Malibari menyebut: Keluar mani kerana melihat atau mengkhayal (perkara yang menimbulkan syahwat), seperti juga menyentuh wanita mahram atau rambut seorang perempuan yang menyebabkan keluar mani, itu tidak membatalkan puasa. Ia kerana ketiadaan unsur pembatal (menyentuh kulit secara langsung). Selain itu, keluar air mazi juga tidak membatalkan puasa, di mana hal ini berbeza dengan pendapat ulama’ mazhab Maliki. (Lihat Fath al-Mu’in, 2/253)
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa puasa seseorang itu tidak batal kerana keluarnya air mani melalui mimpi, berfikir, dan melihat perkara yang bersyahwat, meskipun secara berulang, tidak membatalkan puasa kerana ketiadaan mubasyarah, yakni menyentuh langsung tanpa lapik. Walaupun begitu, mandi wajib tetap wajib dilakukan. (Lihat I’anah al-Talibin, 2/256)
Sebaiknya dalam bulan puasa ini janganlah berfikir atau melihat yang tidak memberi manfaat, bahkan dosa-dosa merosakkan pahala puasa, dan sibukkanlah diri dengan amalan kebajikan yang dilipat gandakan pahalanya di bulan mulia ini. Firman Allah Taala dalam sebuah hadith Qudsi:
الصَّوْمُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، فَالصَّوْمُ جُنَّةٌ
Maksudnya: Puasa itu untuk Aku, dan Aku sendiri akan mengganjarinya, orang yang berpuasa itu meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku, maka puasa itu adalah perisai.
Riwayat Ahmad (9112), Imam Bukhari (1894)
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H
Jika mengeluarkan air mani secara beronani tetapi tahu hukum haram dan tetapi tidak tahu hukumnya membatalkan puasa .Adakah terbatal puasa?