Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya saya membatalkan puasa dengan sengaja dengan makan dan minum, untuk berjimak dengan isteri pada siang hari Ramadhan? Adakah saya dikenakan kaffarah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa di bulan Ramadhan termasuk dalam rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Begitu juga Nabi SAW ada bersabda:

بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara iaitu mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak syak lagi bahawa perbuatan berbuka puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan adalah haram dan pelakunya dikira berdosa. Hal ini kerana meninggalkan kewajipan berpuasa dengan sengaja bermaksud dia telah meninggalkansatu rukun daripada rukun-rukun Islam. Terdapat ancaman keras mengenai perkara ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam dan tiang-tiang agama ada tiga, yang mana atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka dia dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap — yakni bersaksi — bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, solat fardhu dan puasa Ramadan.”

Riwayat Abu Ya‘la (2349); al-Lalika’i dalam Syarh Usul al-I‘tiqad (1576); Ibn ‘Abd al-Bar dalam al-Istizkar dengan sedikit perbezaan lafaz (2/372)

Selain daripada itu, puasa ganti yang dilakukan bagi menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan secara sengaja tidak akan pernah sama. Hal ini adalah sepertimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلاَ مَرَضٍ لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari dalam Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah mahupun sakit, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut meskipun selama-lamanya.”

Riwayat al-Tarmizi (723)

Seterusnya, bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadhan, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Mengenai hal ini, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, persetubuhan pada siang hari Ramadhan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekalipun tidak berlaku inzal — yakni keluar air mani. Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak menjejaskan puasanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, jika terdapat keuzuran yang dibenarkan seperti seseorang yang mendatangi isterinya dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, atau jahil tentang haramnya perbuatan itu, atau berbuka secara sengaja dengan makan dan minum lalu mendatangi isterinya, atau dia sedang bermusafir atau sakit yang membolehkannya diberi keringanan (rukhsah) untuk berbuka lalu dia mendatangi isterinya, atau dia berpuasa selain puasa Ramadhan, atau seumpamanya, maka kesemua keadaan ini mewajibkannya untuk qadha’ puasanya sahaja — dan tidak dikenakan kaffarah — sebagaimana diwajibkan qadha’ puasa kepada orang sakit dan musafir yang meninggalkan puasanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/203)

Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, menurut pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, jika seseorang itu sengaja membatalkan puasanya dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kaffarah baginya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/1722.) Begitu juga al-Baijuri menyatakan dalam hasyiahnya bahawa dikecualikan daripada dikenakan kaffarah ke atas suami yang melakukan jimak pada siang Ramadhan, apabila dia membatalkan puasanya dengan makan dan minum terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, helah ini hanya menghilangkan kaffarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 1/440)

Kemudian, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, diwajibkan kaffarah hanya kepada suami yang berjimak dan tidak ada apa-apa dikenakan ke atas isteri, sekalipun dia berpuasa. Hal ini kerana kaffarah itu merupakan hak harta yang khusus dengan sebab jimak, maka dikhususkan pada lelaki dengannya dan bukannya pada perempuan seperti mahar. Begitu juga kerana perbuatan berjimak itu disandarkan kepada suami, maka dengan sebab itulah diwajibkan ke atasnya kaffarah. Sekalipun begitu, wajib ke atas perempuan menggantikan (qadha’) puasanya sahaja. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/204)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan membatalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran yang dizinkan syarak adalah haram dan pelakunya dikira berdosa besar. Lebih-lebih lagi, puasa Ramadhan merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Walau bagaimanapun, pelakunya — yakni suaminya — tidak dikenakan kaffarah dan kedua-duanya wajib mengantikan (qadha’) puasanya sahaja sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Justeru, bagi sesiapa yang sudah terlanjur melakukannya, wajib bertaubat dan beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah, serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Kalbi bahawa:

التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ

Maksudnya: “Taubat nasuha itu ialah penyesalan dengan hati, istighfar dengan lidah, meninggalkan perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam untuk tidak mengulanginya semula.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/198)

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihati semua, marilah kita sama-sama berusaha untuk mencapai darjat puasa yang terbaik iaitu puasa khusus atau puasa khusus lagi khusus, dan bukannya semata-mata puasa awam sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 1/234)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

Leave a Reply