Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan hukum ziarah kubur pada hari raya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hukum Asal Ziarah Kubur

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan hukum asal dalam menziarahi kubur itu sendiri. Dalam isu ini, terdapat beberapa hadith yang boleh dijadikan panduan, antaranya:

Pertama, daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kerana padanya ibrah (pengajaran).”

Riwayat Ahmad (11329), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7447) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1386)

Kedua, daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Ketiga, daripada Buraidah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ؛ فَمَنْ أَرَاد أَنْ يَزُورَ؛ فلْيزُرْ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur. Maka (sekarang) sesiapa yang mahu, maka ziarahlah.”

Riwayat Abu Daud (3235), al-Tirmizi (1054), al-Nasa’ie (2033) dan Ahmad (23052)

Berdasarkan kepada beberapa hadith di atas, para ulama’ berpendapat bahawa ziarah kubur hukumnya sunat untuk keinsafan dan mengingatkan akhirat. Ia menjadi tuntutan pada hari Jumaat, serta hari sebelum atau selepasnya.

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya: Menurut jumhur fuqaha’, ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ‘keinginan’, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama’ mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/541-542)

Syeikh al-Azhar, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq berkata: Sayugia bagi yang menziarahi menggunakan masa ziarah untuk berdoa dengan tadharru’ (penuh pengharapan dan merendah diri), mengambil iktibar kematian, membaca al-Quran kepada si mati, maka yang demikian itu boleh memberi manfaat kepada si mati mengikut pendapat yang asoh. (Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah, 1/525-526)

Begitu juga, sayugia bagi yang ziarah kubur untuk membaca doa:

اَللّـهُمَّ رَبَّ هذِهِ الاَرْواحِ الْفانِيَةِ وَالاَجْسادِ الْبالِيَةِ وَالْعِظامِ النَّخِرَةِ الَّتى خَرَجَتْ مِنَ الدُّنْيا وَهِىَ بِكَ مُؤْمِنَةٌ، اَدْخِلْ عَلَيْهِمْ رَوْحاً مِنْكَ وَسَلاماً مِنّى،

Dan memberi salam:

السَّلامُ عَلَيكُمْ أَهْلَ الدِّيارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ والمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحِقُونَ، أَسْأَلُ اللَّه لَنَا وَلَكُمُ العافِيَةَ

Isu Ziarah Kubur pada Hari Raya

Berbalik kepada persoalan di atas, sememangnya isu menziarahi kubur pada hari raya atau bulan Ramadan telah menjadi perbahasan para ulama. Terdapat dua pandangan dalam isu ini, iaitu:

Pandangan Pertama: 

Hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan bahkan ia dianggap bid’ah. Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Bahkan Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.

Pandangan Kedua: 

Hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur. Justeru hukumnya adalah dibolehkan.

Sebahagian ulama’ salaf daripada kalangan tabi’in juga telah melakukan ziarah kubur pada hari raya. Imam Ibn Abi Syaibah telah menyebutkan dalam Musannafnya:

عَنْ عَطَاءِ بْنِ السَّائِبِ قَالَ صَلَّيْتُ الْفَجْرَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فِي يَوْمِ الْفِطْرِ فَإِذَا أَبُوْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ مَعْقِلٍ فَلَمَّا قَضَيْنَا الصَّلَاةَ خَرَجَا وَخَرَجْتُ مَعَهُمَا إِلَى الْجَبَانَةِ.

Maksudnya: “Daripada Atha’ bin al-Sa’ib, katanya: “Saya melakukan solat Subuh di masjid ini pada hari raya puasa, dan bertemu Abu ‘Abd al-Rahman dan Abdullah bin Ma’qil. Setelah selesai menunaikan solat, keduanya keluar, dan saya juga keluar bersama kedua-duanya menuju ke perkuburan jabanah.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/70)

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebut:

تُسْتَحَبُّ فِي الْعِيدِ زِيَارَةُ الْقُبُورِ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَهْلِهَا وَالدُّعَاءُ لَهُمْ.

Maksudnya: “Digalakkan pada hari raya ziarah kubur serta mengucapkan salam kepada penghuni kubur, dan berdoa untuk mereka.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/118)

Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut bahawa antara sebaik-baik hari untuk ziarah kubur adalah hari raya. Fatwa tersebut menyebut: “Maka begitu juga (sunat ziarah kubur) pada waktu-waktu berkat seperti sepuluh hari awal bulan Zulhijjah, dua hari raya dan hari ‘Asyura’.” (Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah, 6/350)

Ini merupakan fatwa dalam mazhab Hanafi.

Begitu juga pendapat mantan mufti Jordan, Syeikh Dr. Nuh Ali Salman al-Qudhah. Ketika ditanya berkenaan ziarah kubur pada hari raya, beliau menjawab:

زيارة القبور جائزة في العيد وغيره …

Maksudnya: “Ziarah kubur hukumnya harus pada hari raya dan selainnya.”[1]

Imam al-Harawi dalam syarah sahih muslim berkata: “Tidak ada hadis sahih yang menerangkan ketentuan hari untuk melakukan ziarah kubur dan tidak pula ada had berapa kali ziarah.”

Dalam Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, dinyatakan: “Tiada waktu yang ditentukan bagi ziarah kubur. Ia adalah luas. Cuma hari raya dijadikan hari gembira, maka tidak disunatkan melakukan perkara yang mengembalikan dukacita pada hari-hari sebegini. Namun, sekiranya dengan hal demikian itu tidak mengembalikan dukacita dan kesedihan, maka tidak mengapa untuk menziarahi orang mati pada hari raya.[2]

Syeikh Majdi ‘Asyur yang merupakan Setiausaha Dar al-Ifta’ al-Misriyyah berkata: “Di sisi sesetengah orang, mereka seolah-olah menjadikan hari raya hari ziarah kubur. Ianya tidak mengapa pada hukum asal. Tetapi, yang masalah adalah ia boleh menukar kegembiraan (menjadi sedih). Sedangkan Aidilfitri adalah hari kegembiraan setelah mengerjakan ibadah puasa. Jika ini yang berlaku sebagai kesan ziarah kubur, maka ia adalah makruh. Kita boleh menyambut hari raya dengan gembira, tetapi tidak lupa untuk berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia.”[3]

Fatwa Syeikh Atiyyah Saqr

Bagi memberi kefahaman dengan lebih baik dalam isu ini, kami nukilkan pendapat Syeikh Athiyyah Saqr. Beliau merupakan salah seorang ulama yang terkenal di al-Azhar dengan kealimannya. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Majlis Fatwa al-Azhar.

Kata Syeikh Athiyyah Saqr: Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat. Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki. Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, hlm. 588 dari kitab fatwa ini (pendapat yang dipilih oleh syeikh adalah makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan daripada fatwa tersebut).

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih padanya. (Lihat Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 6/646)

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkan menziarahi kubur pada hari raya, bulan Ramadan atau lain-lain. Ini kerana:

  • Suruhan menziarahi kubur bersifat umum
  • Menziarahi kubur dilakukan oleh ramai salafus soleh
  • Tidak ada nas secara khusus melarang ziarah kubur pada hari raya. Justeru, dalil yang umum kekal dengan tidak diperincikan.

Fatwa berkenaan dengan mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya adalah bid’ah. Ini kerana menganggap ziarah kubur hanya pada hari raya yang mesti dilakukan. Tetapi jika kerana ingin mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung atau masa cuti adalah dibolehkan.

Kami juga suka nyatakan di sini bahawa sebahagian daripada adat orang-orang tua di Terengganu dan mungkin sebahagian negeri Pantai Timur di mana mereka menziarahi kubur selepas puasa enam.

Semoga pencerahan ini dapat meredakan isu yang khilaf ini dan marilah kita berlapang dada pada hari raya ini dengan saling mengambil kesempatan untuk mempertautkan hubungan ukhuwwah Islamiah sesama kita. Saya ucapkan ‘تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ’.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Mei 2022 bersamaan 1 Syawal 1443H

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=612#.YmiVktpBzIU

[2] Lihat www.mobtada.com/egypt/845563/ما-حكم-زيارة-الأموات-فى-أيام-العيد-الإفتاء-تجيب

[3] www.youm7.com/story/2019/6/3/ما-حكم-زيارة-القبور-فى-أول-يوم-العيد-الإفتاء-تجيب/4270669

Leave a Reply