Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya membaca surah pilihan di dalam solat dengan urutan yang terbalik? Contohnya, dalam rakaat pertama seseorang itu membaca surah al-Nas, manakala dalam rakaat kedua pula dia membaca surah al-Ikhlas. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”
Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)
Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)
Selain itu juga, dalam solat disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah — yang merupakan salah satu rukun qauli — dan ayat-ayat yang lain. Firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.”
(Surah al-Muzammil: 20)
Malah, membaca satu surah daripada al-Quran sekalipun ayat yang pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berurutan adalah disunatkan. Bacaan ini disunatkan bagi imam dan orang yang mendirikan solat secara bersendirian pada dua rakaat yang pertama sahaja bagi setiap solat. Sementara makmum juga disunatkan membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak kedengaran bacaannya. (Lihat al-Fiqh al-Mahaji, 1/152.)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menukilkan, para ulama menyebutkan bahawa pendapat yang terpilih hendaklah seseorang itu membaca al-Quran mengikut tertib susunannya dalam mashaf. Maka, mulakanlah dengan membaca surah al-Fatihah, kemudian al-Baqarah, kemudian Ali ‘Imran, kemudian surah-surah seterusnya mengikut susunan tertibnya. Tidak kira membacanya dalam solat mahupun di luar solat, sehinggakan sebahagian ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — berpendapat, sekiranya seseorang membaca dalam rakaat pertama surah al-Nas, maka hendaklah dalam rakaat kedua membaca ayat-ayat daripada surah al-Baqarah selepas bacaan al-Fatihah. Malah, sebahagian ashab kami juga berpendapat, apabila seseorang itu membaca suatu surah, maka disunatkan baginya membaca selepasnya surah yang berikutnya — yakni secara berturutan. Mereka berdalilkan bahawa susunan surah dalam mashaf itu dijadikan sedemikan kerana suatu hikmah, maka hendaklah memeliharanya, melainkan terdapatnya pengecualian daripada syarak.
Namun, sekiranya seseorang itu membaca suatu surah yang bukan surah berikutnya yang dibaca sebelum itu — misalnya membaca surah al-Ikhlas, kemudian membaca pula surah al-Nas — atau menyelisihi susunan tertib surah dalam mashaf. Misalnya seseorang membaca suatu surah, kemudian membaca pula surah sebelumnya, maka ia adalah dibolehkan. Hal ini kerana terdapat banyak athar yang menunjukan akan keharusan perkara tersebut. Di antaranya, Umar bin al-Khattab R.A membaca dalam solat Subuh pada rakaat pertama surah al-Kahfi, manakala pada rakaat kedua pula beliau membaca surah Yusuf. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama berpendapat, hukumnya adalah makruh bagi sesiapa yang tidak membaca surah mengikut susunan tertibnya di dalam al-Quran. Hal ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi Daud daripada al-Hasan bahawa dia tidak menyukai untuk membaca al-Quran melainkan mengikut tertibnya dalam mashaf. Begitu juga terdapat riwayat dengan sanadnya yang sahih daripada Abdullah bin Mas‘ud bahawa bahawa beliau ditanya berkenaan seseorang yang membaca al-Quran secara terbalik — yakni tidak mengikut susunannya. Maka, beliau menjawab:
ذلك منكوسُ القلبِ
Maksudnya: “Orang tersebut hatinya terbalik. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 98-99)
Di samping itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat, membaca surah tanpa mengikut susunannya dalam mashaf yakni mendahulukan bacaan surah yang terkemudian dari segi susunan pada rakaat pertama, kemudian diikuti pula dengan bacaan surah sebelumnya pada rakaat yang kedua, hukumnya adalah makruh. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i pula berpendapat, perkara tersebut adalah khilaf aula — yakni menyelisihi perkara yang lebih utama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/103-104) Imam al-Nawawi juga dalam kitabnya yang lain menyatakan, jika seseorang itu membaca satu surah pada rakaat pertama, kemudian dia membaca surah sebelumnya pada rakaat kedua, maka dia telah menyelisihi yang utama (khilaf aula) dan tidak ada apa-apa ke atasnya — daripada dosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/385)
Selain daripada itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, digalakkan (disunatkan) untuk membaca pada rakaat kedua surah yang urutannya setelah surah yang dibaca pada rakaat pertama kerana itulah sebagaimana yang dinukilkan contohnya daripada Nabi SAW. (Lihat al-Mughni, 2/169)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membaca surah pada rakaat kedua yang kedudukan tertibnya dalam mashaf adalah sebelum daripada surah yang dibaca pada rakaat pertama dan perkara itu menyelisihi yang utama (khilaf aula). Malah terdapat sebahagian ulama yang menghukumkan perkara tersebut sebagai makruh. Meskipun begitu, solatnya adalah tetap sah dan dikira mendapat pahala sunat bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran selepas al-Fatihah dalam solat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 18 Mei 2022 bersamaan 17 Syawal 1443H