Soalan

Assalamulaikum w.b.t. Kita dituntut untuk melakukan puasa hari Arafah sebagaimana fadhilat yang terdapat padanya, tetapi pada tahun ini berlakunya perbezaan tarikh hari arafah di Makkah dan juga di Malaysia. Oleh itu, hari yang mana satu yang perlu kita ikuti untuk mengambil fadhilat puasa hari Arafah? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tuntutan dan Fadhilat Melakukan Puasa Hari Arafah

Antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya:Puasa hari Arafah, aku mengharapkan kepada Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun selepasnya.”[1]

Imam al-Nawawi  di dalam syarahnya berkata: “Sabda baginda SAW ‘Puasa pada hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dengannya) dosa-dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang’ ; bermaksud menghapuskan dosa-dosa bagi orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun. Mereka (para ulama) berkata : Maksudnya adalah menghapus dosa-dosa kecil”[2]

Beliau berkata lagi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya: “Hadith ini mempunyai dua penafsiran:

  • Pertama: Allah SWT mengampuni dosa-dosanya selama dua tahun.
  • Kedua: Allah SWT menjaganya untuk tidak berbuat dosa selama dua tahun.

Al-Sarkhasi berkata: ‘Adapun tahun pertama, maka dosa-dosanya akan diampuni. Para ulama berbeza pendapat mengenai makna penghapusan dosa pada tahun selanjutnya (tahun depan). Sebahagian mereka mengatakan, maknanya adalah bila seseorang melakukan maksiat pada tahun itu, Allah SWT akan menjadikan puasa pada hari ‘Arafah yang dilakukan pada tahun lalu itu sebagai penghapus dosanya, sebagaimana ia juga menjadi penghapus dosa pada tahun sebelumnya. Sebahagian ulama lain mengatakan bahawa maknanya ialah Allah SWT menjaganya daripada melakukan dosa pada tahun hadapannya”[3]

Al-San’ani pula berkata: “Sukar untuk diterima penghapusan dosa yang belum terjadi, iaitu dosa tahun yang akan datang. Pendapat itu dibantah dengan alasan bahawa yang dimaksudkan ialah bahawa ia diberi taufiq pada tahun yang akan datang untuk tidak melakukan dosa. Ia dinamakan dengan penghapusan juga untuk penyesuaian dengan istilah tahun lalu. Ataupun jika dia melakukan dosa tahun yang akan datang, maka ia diberi taufiq untuk melakukan sesuatu yang akan menghapuskannya”[4]

Menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan, hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya. Begitu juga disunatkan untuk berpuasa ‘Arafah hanya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Manakala bagi orang yang mengerjakan haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut, bahkan sebaliknya disunatkan untuk tidak berpuasa sebagai mengikuti Nabi SAW dan khulafa’ al-Rasyidin.[5]

Perbezaan Tarikh Hari Arafah di Malaysia dan Arab Saudi

Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”[6]

Allah SWT menjelaskan dalam ayat ini mengenai faedah dan hikmah daripada perbezaan bentuk hilal (anak bulan) dengan pertambahan mahupun pengurangan pada setiap bulannya. Diceritakan bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang hal itu. Maka Allah SWT menjawabnya dengan menyebutkan, ia adalah tanda-tanda yang mana dengannya manusia dapat mengetahui waktu-waktu ibadat mereka yang sudah ditentukan waktunya seperti puasa, haji, zakat, dan maslahah-maslahah yang lainnya.[7]

Ibn Kathir berkata, ayat di atas menjelaskan bahawa hilal itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka, iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain.[8]

Menurut al-Tabari dengan menukilkan daripada riwayat Qatadah bahawa orang ramai bertanya berkenaan; mengapa dijadikan bulan sedemikian rupa? Lalu Allah SWT menurunkan ayat berkenaannya sebagaimana yang kamu dengar iaitu ayat “هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ” (Peredaran anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu urusan dan amalan manusia). Justeru ia menjadi rujukan bagi puasa kaum Muslimin dan waktu berbuka mereka (yakni Hari Raya), penentuan waktu haji dan manasik mereka, tempoh iddah bagi kaum perempuan dan tempoh berhutang dalam sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya.[9]

Pada tahun ini, berlaku kenampakan anak bulan Zulhijjah di Arab Saudi awal sehari berbanding di Malaysia. Natijahnya, penentuan puasa hari Arafah berselisih sehari antara kita di Malaysia dengan penduduk di Arab Saudi. Justeru, kami terpanggil untuk menjawab persoalan ini.

Secara asasnya, matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam. Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan yang lain.

Dalam isu melihat anak bulan pada tempat yang berlainan telah menjadi khilaf di kalangan ulama kepada dua:

Pertama: Mazhab al-Syafie, Ishak Bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak dan Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat: Setiap tempat yang berjauhan, mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Hal ini sebagaimana riwayat Kuraib, katanya:

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ، قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ، فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ، وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَالَ: ” لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” وَشَكَّ يَحْيَى بْنُ يَحْيَى فِي نَكْتَفِي أَوْ تَكْتَفِي

Maksudnya: Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”  [10]

Kedua: Jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali termasuk Majlis Fiqh Antarabangsa, Hai’ah Kibar Ulama Saudi dan Dar Ifta Mesir pula berpendapat: “Tiada perbezaan, sepatutnya mana-mana negara yang telah melihat anak bulan dahulu, semua negara lain jauh atau dekat perlu mengikutnya. Perbezaan tempat naiknya bulan (Matla’ al-Qamar) tidak diambil kira dalam hal ini.”

Tarjih dan Pendapat Yang Dipilih

Kami cenderung kepada pendapat pertama kerana asas hujahannya juga sabit berdasarkan wajah istidlal dalil-dalil tersebut. Begitu juga berdasarkan satu kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf”.

Ini menunjukkan keputusan pemerintah hendaklah dipatuhi kerana boleh mententeramkan masyarakat dan mengharmonikan rakyat serta dapat menunjukkan perasaan kesatuan sesama umat ketika pelaksanaan ibadat.

Al-Qarafi menyebutkan dalam al-Furuq bahawa hukum pemerintah dalam masalah ijtihad mengangkat perselisihan. Orang yang berselisih kembali daripada mazhabnya kepada mazhab pemerintah, dan fatwanya berubah setelah diputuskan oleh hakim berkenaan apa yang diperselisihkan sebagaimana pendapat yang sahih daripada para mazhab ulama. [11]

Justeru, melihat anak bulan juga sebahagian daripada tugas pemerintah bagi pelaksanaan ibadat puasa, hari raya Eid al-Fitri dan Eid al-Adha. Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 mengenai rukyah hilal untuk menentukan awal bulan yang bermaksud:

فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ

Maksudnya: Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa.

Ayat ini memberi maksud “siapa yang melihat anak bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa kecuali mereka yang uzur”. Perkataan فمن berlaku pada tempat Jawab Syarat yang ditafsirkan “apa yang dimujmalkan” menunjukkan wajib membesarkan apa yang diambil faedah daripadanya dengan kewajipan berpuasa ke atas setiap yang mendapati Ramadhan dengan melihatnya sama ada yang hadir atau musafir.

Berpuasa Arafah dan 9 Zulhijjah Mengikut Tempat Masing-masing

Hari Wukuf di Arafah adalah bagi penduduk Makkah, adalah sehari sebelum Hari Nahar (Idul Adha). Tarikh Hari Wukuf bagi mengerjakan ibadah haji diisytiharkan oleh pihak pemerintah di sana iaitu kerajaan Arab Saudi. Bagi negara atau kawasan yang berlainan terbit matahari seperti Malaysia dan lain-lain, penentuan 9 Zulhijjah adalah mengikut ketentuan imkanur-rukyah negara masing-masing. Puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah) mempunyai kelebihan menghapuskan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas sebagaimana riwayat Muslim. Justeru, tarikh berpuasa hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijjah negara masing-masing.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ وَالفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَالأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ

Maksudnya: “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”.[12]

Merujuk kepada petikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Rasulullah SAW menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Korban (Eid al-Adha) dan hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah). Hadith tersebut juga menunjukkan bahawa ibadat korban tiada kaitan dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf di Arafah). Ia adalah sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan juga yang tidak mengerjakan haji bagi umat Islam di seluruh dunia.

Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq. [13]

Justeru, kami berpendapat bahawa ulama yang menyatakan bahawa puasa ‘Arafah adalah berdasarkan matla’ (مطلع – masa terbit anak bulan) bagi setiap negeri adalah lebih kuat berdasarkan nas dan pendapat yang dikemukakan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya berkenaan hal ini, maka beliau menjawab: “Pandangan yang lebih tepat, ia berbeza berdasarkan perbezaan masa terbit anak bulan. Sebagai contoh, sekiranya anak bulan kelihatan di Mekah, sebaliknya ada negeri lain yang anak bulan telah kelihatan sehari sebelum anak bulan kelihatan di Mekah. Ini bermakna hari ‘Arafah di Mekah jatuh pada hari ke-10 Zulhijjah bagi negeri tersebut, maka mereka tidak boleh berpuasa pada hari ini kerana ia adalah hari raya. Sama situasinya bagi negeri yang lewat kelihatan anak bulannya berbanding Mekah, maka jadilah hari Sembilan Zulhijjah di Mekah (Jemaah Haji Wukuf di ‘Arafah) jatuh pada hari Kelapan di negerinya. Maka mereka berpuasa pada hari Sembilan Zulhijjah di negeri mereka, yang bersamaan dengan hari Kesepuluh Zulhijjah di Mekah. Inilah pandangan yang lebih terserlah, kerana Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan apabila kamu melihat anak bulan (Syawal) berbukalah.” Maka orang-orang yang belum kelihatan anak bulan ditempat mereka, mereka dikira belum melihatnya, sama sepertimana kesemua kita telah sepakat, mengambil kira terbit fajar dan tenggelam matahari itu berdasarkan setiap tempat, maka demikian jugalah penentuan bulan, ia sama seperti penentuan hari.”[14]

Tambahan pula, terdapat juga hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعَرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya sehinggalah haiwan korbannya disembelih.” [15]

Wajah Istidlalnya ialah: Nabi SAW menyebut dengan kalimah; ‘Apabila kamu melihat’ menunjukkan hendaklah dilihat anak bulan awal Zulhijah bukan semata-mata di tempat berlakunya manasik haji. Nabi SAW menyebut ‘Anak bulan Zulhijah’ menunjukkan perintah untuk melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Eid al-Adha atau Hari Raya Korban.

Begitu juga dengan hadith Abu Qatadah al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah”.[16]

Hadith ini jelas menunjukkan puasa pada hari Arafah yang mempunyai fadilat yang cukup besar. Dalam riwayat yang lain disebut dengan hari Kesembilan Zulhijah menunjukkan bahawa di sana terdapat nama yang lain bagi hari Arafah. Ini berdasarkan riwayat daripada sebahagian isteri Nabi SAW yang menyatakan:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى الله علَيهِ وسلَّمَ يصومُ تسعَ ذي الحجَّةِ، ويومَ عاشوراءَ، وثلاثةَ أيَّامٍ من كلِّ شَهْرٍ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa pada Sembilan Zulhijah, hari ‘Asyura dan tiga hari setiap bulan.”[17]

Berdasarkan hadith di atas, ia menjadi jawapan yang paling kukuh bahawa puasa hari Arafah ditentukan berdasarkan waktu dan bukannya pada tempat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyimpulkan bahawa puasa hari Arafah atau lebih tepat lagi Sembilan Zulhijah adalah berdasarkan kepada kelihatannya anak bulan setempat kerana isu matla’. Antara hujjah dan logiknya perkara ini, ialah bayangkan kalau dahulu komunikasi yang cukup sukar untuk menati satu keputusan dari Kota Mekah atau Madinah, maka sudah pasti akan kelewatan dan menyukarkan dalam penentuan satu-satu acara ibadah. Begitu juga walaupun kita berada dalam bentuk kemodenan tetapi perkara seperti terputusnya rangkaian internet dan media moden juga boleh berlaku. Justeru, jalan yang paling selamat ialah dengan melihat bagi setiap tempat anak bulan masing-masing dalam penentuan ibadat.

Suka untuk kami tegaskan sekali lagi bahawa “Kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia pada masa kini adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992”.[18]

Puasa hari Arafah merupakan puasa yang sangat dituntut dan dijanjikan ganjaran pengampunan dosa selama dua tahun, iaitu setahun yang sebelumnya dan juga setahun yang selepasnya berdasarkan nas yang sahih daripada Nabi SAW. Justeru, sebagai langkah meraikan perbezaan ini, marilah sama-sama kita berpuasa pada 8 Zulhijjah dan juga 9 Zulhijjah bagi meraikan hari Arafah yang berlaku di Makkah yang berbeza sehari dengan kita di Malaysia. Bahkan puasa yang dilakukan pada 8 Zulhijjah juga termasuk dalam ibadah dan amalan 10 hari awal Zulhijjah yang disukai Allah SWT sebagaimana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’[19]

Ibn Kathir menyebutkan: Nas ini dan lainnya menunjukkan bahawa sepuluh hari awal bulan Zulhijjah lebih utama dibandingkan hari-hari lain dalam setahun tanpa ada pengecualian sedikitpun. Meskipun sepuluh terakhir Ramadan. Akan tetapi sepuluh malam akhir Ramadan itu lebih utama dibandingkan sepuluh malam Zulhijjah kerana 10 malam terakhir Ramadhan itu mengandungi malam lailatul qadar yang mana ia lebih baik dari seribu bulan.[20]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Julai 2022 bersamaan 7 Zulhijjah 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat Muslim (1162), Abu Dawud (2425), al-Tirmizi (749), Ibn Majah (1730) dan Ahmad (22650)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/50-51

[3] Lihat Al-Majmu’ Syar al-Muhazzab, 6/381

[4] Lihat Subul al-Salam, 2/461

[5] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/79

[6] Surah al-Baqarah: 189

[7] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 121.

[8] Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/522

[9] Lihat Tafsir al-Tabari, 3/553.

[10] Riwayat Muslim (1087)

[11] Lihat Al-Furuq, 2/103

[12] Riwayat al-Tirmizi (697), Ibn Majah (1660). Ibn al-Arabiy di dalam ‘Aridhah al-Ahwazi (2/159) menyatakan bahawa hadith ini sahih

[13] Lihat Mughni al-Muhtaj 1/619

[14] Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 20/47

[15] Riwayat Muslim )1977)

[16] Riwayat Muslim (1162)

[17] Riwayat Abu Dawud (2437) dan al-Nasaie (2417) dan Ahmad (26468). Syeikh Syuaib al-Arnout dalam Takhrij al-Musnad (26468) menyatakan bahawa hadith ini dhaif.

[18] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/kenyataan-media/358-kenyataan-media-kp-jakim-berkenaan-kaedah-penentuan-aidiladha-di-malaysia-dan-pelaksanaan-puasa-sunat-sempena-hari-arafah-1435h

[19] Riwayat al-Bukhari (969)

[20] Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 5/412

Leave a Reply