Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bilakah waktu yang dibenarkan untuk menyembelih haiwan korban? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menyembelih korban adalah suatu ibadah yang telah disyariatkan berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma‘. Pensyariatan ini telah berlaku sejak tahun ke-2 Hijriyyah. Ia adalah tahun di mana turut disyariatkan solat dua hari raya
(Aidilfitri dan Aidiladha), dan juga tahun disyariatkan zakat harta (mal).[1]
Firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”[2]
Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.”[3]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya, waktu melakukan korban bermula selepas terbitnya matahari pada hari al-Nahr iaitu hari ke-10 Zulhijjah. Kadar terbitnya matahari itu boleh dikira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat hari raya) dan juga dua khutbah yang ringan — yakni tidak terlampau panjang berjela-jela. Sekiranya haiwan korban itu disembelih sebelum daripada itu, maka ia tidak dikira sebagai korban — tetapi hanya sembelihan untuk mendapat daging semata-mata. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِي يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ، ثُمَّ نَرْجِعَ فَنَنْحَرَ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ أَصَابَ سُنَّتَنَا، وَمَنْ نَحَرَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لِأَهْلِهِ، لَيْسَ مِنَ النُّسْكِ فِي شَيْءٍ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ بْنُ نِيَارٍ: يَا رَسُولَ اللهِ، ذَبَحْتُ وَعِنْدِي جَذَعَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُسِنَّةٍ، قَالَ: اجْعَلْهُ مَكَانَهُ وَلَنْ تُوفِيَ أَوْ تَجْزِيَ عَنْ أَحَدٍ بَعْدَكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara pertama yang kami mulakan pada hari kami ini (hari raya) ialah kami menunaikan solat, kemudian kami balik lalu kami menyembelih korban. Maka sesiapa yang melakukan hal itu, maka ia menepati sunnah kami, dan sesiapa yang menyembelih sebelum solat maka ini hanyalah daging yang diberikan kepada ahli keluarganya, bukannya termasuk dalam ibadah korban.” Salah seorang sahabat daripada Ansar yang dikenali dengan Abu Burdah bin Niyar berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah menyembelih (sebelum solat). Dan aku mempunyai seekor jaza‘ah (kambing yang berumur enam bulan sehingga setahun) yang lebih baik daripada musinnah (kambing yang memasuki umur tiga tahun).” Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah ia sebagai gantinya, dan itu tidak akan dikira atau tidak dibolehkan kepada orang lain selepas daripada engkau.”[4]
Waktu untuk melakukan sembelihan korban itu berterusan sehinggalah berakhirnya hari tasyriq dan ini menjadikan waktu untuk melaksanakan penyembelihan korban selama 4 hari — iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَفِي كُلِّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبَحٌ
Maksudnya: “Setiap Hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih).”[5]
Sekiranya berakhir hari tasyriq, maka tidak dilakukan sembelihan. Jika dilakukan sembelihan juga maka ia tidak dikira sebagai sembelihan korban dan dikira hanya untuk mendapatkan daging semata-mata.
Selain itu, waktu afdhal untuk memulakan korban adalah selepas terbitnya matahari pada hari al-Nahr (Aidiladha) dan selepas berlalunya kadar solat dua rakaat serta dua khutbah. Sekiranya haiwan korban disembelih selepas daripada waktu ini, maka ia adalah dikira (yakni sah korbannya), tidak kira Imam sudah mendirikan solat hari raya ataupun tidak, sama ada orang yang melakukan korban solat ataupun tidak, sama ada dia daripada kalangan penduduk bandar atau desa atau pedalaman atau orang yang bermusafir. Begitu juga tidak kira Imam sudah menyembelih haiwan korbannya ataupun tidak.
Demikianlah juga diharuskan untuk menyembelih haiwan korban sepanjang empat hari tersebut, tidak kira malam mahupun siang hari. Akan tetapi dihukumkan makruh untuk melakukan korban pada malam hari. Sekiranya seseorang itu menyembelih haiwan korbannya sebelum daripada waktunya, maka korbannya dikira tidak sah, tetapi ia dikira sebagai sembelihan untuk daging semata-mata. Begitu juga sekiranya telah berlalu tempoh hari-hari tasyriq dan dia belum lagi menyembelih haiwan korbannya, jika dia melakukan korban sunat, maka tidak sah korbannya itu — jika dia tetap menyembelihnya — kerana ia bukan waktu untuk melaksanakan korban dan sembelihannya itu dikira bagi mendapatkan daging semata-mata. Namun sekiranya dia melakukan korban nazar, maka wajib ke atasnya untuk menyembelihnya — sekalipun telah berakhirnya hari tasyriq — kerana ia dkira sebagai qadha’ dan nazar tidak gugur dengan berlalunya waktu.[6]
Selain daripada itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan bahawa waktu korban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Korban, iaitu sekadar tempoh masa dua rakaat solat sunat hari raya dan dua khutbah. Waktu tersebut berterusan sehingga matahari terbenam pada hari tasyriq yang akhir. Hari tasyriq ialah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Waktu yang afdhal menyembelih binatang korban ialah setelah selesai solat sunat hari raya. Hal ini berdasarkan kepada hadith al-Bara’ bin ‘Azib R.A yang telah disebutkan di atas.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, waktu sembelihan haiwan korban bermula selepas terbitnya matahari pada hari raya korban iaitu pada ke-10 Zulhijjah. Kadar terbitnya matahari itu boleh dikira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat hari raya) dan juga dua khutbah yang ringan — yakni tidak terlampau panjang berjela-jela. Sekiranya haiwan korban itu disembelih sebelum daripada itu, maka ia tidak dikira sebagai korban — tetapi hanya sembelihan untuk mendapat daging semata-mata. Kemudian, waktu untuk melakukan sembelihan korban itu berterusan sehinggalah berakhirnya hari tasyriq dan ini menjadikan waktu untuk melaksanakan penyembelihan korban selama 4 hari — iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 7 Julai 2022 bersamaan 7 Zulhijjah 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 5/75 dan Fiqh al-Udhiyah, hlm. 7.
[2] Surah al-Kauthar: 2
[3] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556.
[4] Riwayat al-Bukhari (965) dan Muslim (1961)
[5] Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (4097); riwayat Ahmad dalam musnadnya (16751).
[6] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/483-484.
[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/234.