Soalan

Assalamualaikum ustaz. Di mana posisi kedudukan isteri sepatutnya berada ketika dia solat bersama suaminya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Isu ini disebutkan oleh para fuqaha apabila mereka membincangkan berkenaan susunan saf di dalam solat yang melibatkan orang lelaki, perempuan, khunsa, serta kanak-kanak. Antara dalil yang menjadi ruang lingkup perbahasan berkaitan isu ini adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A yang menyatakan:

‎ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah SAW memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda: Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah SAW berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.”

Riwayat al-Bukhari (380)

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan daripada hadis di atas. Antaranya, hadis di atas menjelaskan bahawa kedudukan orang perempuan adalah berdiri di belakang orang lelaki semasa menunaikan solat. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/293).

Justeru, dapat difahami bahawa jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, sama ada lelaki tersebut adalah ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam. Ini juga bertepatan dengan nas yang turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang mengatakan:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami.”

Riwayat Muslim (1056)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/132).

Dalam kenyataannya yang lain, Imam al-Nawawi menyebut: “Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.”

Imam al-Mawardi menukilkan kenyataan Imam al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Sekiranya seorang lelaki menjadi imam kepada seorang sahaja wanita, maka perempuan tersebut berdiri di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

‎خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.”

Riwayat Muslim (440)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya seorang wanita solat bersama suaminya secara berjamaah, maka kedudukannya adalah di belakang suaminya.

Semoga Allah kurniakan kepada kita untuk cintakan solat berjemaah kerana balasannya yang cukup besar di sisi Allah SWT. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply