#1088: Rakun sama dengan Anjing?

-25%
Percuma Al-Quran
Rated 0 out of 5
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket
Rated 0 out of 5
RM10.00
Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Rated 0 out of 5
RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Rated 0 out of 5
RM13.00
-29%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah rakun (raccoon) najis seperti anjing? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kenajisan anjing

Sebagaimana yang sudah kita sedia maklum, anjing termasuk dalam kategori haiwan yang dihukumkan sebagai najis mughallazah (najis berat). Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu‘ bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid.

Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.[1]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[2]

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian daripada hadas tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.[3] Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa tidak ada beza dalam kalangan kami — ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan anggota-anggota anjing yang lain. Apabila terkena kencingnya, tahinya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana bahagian anggotanya yang bersih dalam keadaan lembap, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah bercampur dengan tanah.[4]

Definisi rakun dan habitatnya

Selanjutnya, kita hendaklah melihat mengetahui terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan rakun? Adakah ia salah satu daripada jenis anjing ataupun haiwan yang lain?

Gambar di atas menunjukkan salah satu spesies rakun.[5]

Rakun ialah haiwan berbulu yang mempunyai ekor berbulu lebat, berbelang dan sejalur bulu hitam di sekeliling matanya. Bulu hitam ini kelihatan seperti topeng. Rakun tergolong dalam famili yang sama dengan koati, kinkajou dan ringtail. Terdapat enam spesies rakun, kesemuanya berasal dari Dunia Baru. Dua spesies utama adalah rakun biasa dan rakun pemakan ketam. Rakun biasa hidup di Kanada, Amerika Syarikat dan Amerika Tengah. Rakun pemakan ketam hidup di Costa Rica, Panama dan Amerika Selatan. Beberapa jenis rakun hidup di pulau tropika. Dari segi pengelasan saintifik, rakun tergolong dalam famili rakun, Procyonidae. Rakun biasa ialah Procyon lotor, dan rakun pemakan ketam ialah P. cancrivorous.

Badan rakun. Rakun biasa panjangnya dari 60 sentimeter hingga 110 sentimeter, termasuk ekornya. Kebanyakan rakun beratnya dari 3.5 kilogram hingga lapan kilogram, walaupun sesetengah rakun jantan mungkin beratnya lebih daripada 18 kilogram. Rakun jantan biasanya kira kira 25 peratus lebih besar daripada rakun betina. Rakun berbulu kasar, panjang yang biasanya berwarna kelabu, tetapi kadangkala berwarna kuning atau perang, dengan bulu bahagian bawahnya berwarna perang pucat atau kelabu. Ekor kedua-dua rakun biasa dan rakun pemakan ketam boleh tumbuh sepanjang 38 sentimeter. Kebanyakan ekor rakun berbelang lima hingga tujuh. Kedua-dua spesies utama mempunyai muncung yang runcing dan jari tangan yang panjang dan fleksibel. Rakun mempunyai cakar yang kuat, tajam, yang membantunya memanjat.

Kehidupan rakun. Rakun ini hidup di atas tanah dan di atas pokok. la hidup bersendirian atau dalam kumpulan keluarga kecil. Setiap rakun mempunyai kawasan tempat tinggal. Kebanyakan rakun di habitat yang baik mempunyai kawasan tempat tinggal kira-kira 40 hektar hingga 100 hektar. Rakun jantan dewasa mungkin merayau sehingga 16 kilometer dalam sesetengah habitat. Rakun biasanya memburu pada waktu malam dan tinggal dalam sarangnya pada waktu siang. la berjalan seperti beruang dengan keempat-empat kaki rata di atas tanah, dan pandai berenang. Rakun dalam kurungan, boleh hidup 15 tahun. Dalam keadaan liar, ia mungkin hidup kurang daripada lima tahun. Rakun yang tinggal di kawasan berhutan, bersarang dalam lubang balak, tunggul atau pokok. la juga boleh bersarang di bangsal atau rumah ladang yang ditinggalkan. Di kawasan tidak berpokok, rakun membuat sarang dalam rumput yang panjang.

Gambar di atas: Rakun di atas pokok.[6]

Kedua-dua rakun biasa dan rakun pemakan ketam memakan ketam. Makanannya yang lain termasuk udang krai, katak, ikan, dan lain-lain haiwan air tawar. Rakun juga memakan buah oak, telur burung, jagung, buah, kekeras, biji, dan rodensia kecil. Di kawasan bandar, ia menyelongkar tong sampah. Rakun biasa mengawan sekali setahun pada bulan Januari atau Februari. Kira-kira sembilan minggu selepas mengawan, rakun betina melahirkan satu ekor hingga lapan ekor anak. Anak rakun yang baru lahir tiada topeng di sekeliling mata atau belang pada ekornya. Matanya terbuka kira-kira 20 hari selepas kelahiran. Ibu rakun dengan teliti melindungi anaknya dan tidak membenarkan bapa rakun menghampiri anaknya. Anak rakun tinggal dalam sarang selama lapan hingga 10 minggu. Selepas itu, ia mula mengikut ibunya mencari makan. Anak rakun mungkin tinggal bersama ibunya sehingga satu tahun.

Manusia dan rakun. Orang Asli Amerika memburu rakun untuk bulunya. Selepas kedatangan pedagang bulu dari Belanda, England dan Perancis, Orang Asli Amerika menukar kulit bulu dengan senapang dan barang-barang lain. Penjajah Amerika menggunakan kulit bulu rakun untuk membuat topi, kot luar dan jubah kereta luncur salji. Bulu rakun juga digunakan sebagai wang sebelum wang kertas diperkenalkan. Memburu rakun adalah aktiviti kegemaran di sesetengah kawasan luar bandar di Amerika Utara. Anjing digunakan untuk mengejar rakun sehingga ia memanjat ke atas pokok untuk melarikan diri. Sesetengah orang memelihara rakun sebagai haiwan kesayangan. Rakun lebih cerdik daripada kucing dan mudah dilatih. Tetapi, selepas berumur kira-kira satu tahun, ia cepat marah dan oleh yang demikian, ia sering menggigit dan mencakar. Rakun boleh menjadi haiwan yang menyusahkan sekiranya ia memecah masuk reban dan membunuh ayam itik. la juga merosakkan tanaman jagung dengan mematahkan batang jagung untuk memakan jagung yang sedang membesar.[7]

Gambar di atas: Rakun sering membuat lubang di dalam lubang pokok.[8]

Definisi anjing dan habitatnya

Manakala anjing pula ialah haiwan kesayangan yang popular di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya 10,000 tahun dahulu, anjing menjadi haiwan yang pertama dijinakkan. Sepanjang masa tersebut, pembiak baka telah membiakkan beratus-ratus baka anjing untuk melakukan pelbagai tugas, dijadikan teman dan untuk menyenangkan mata manusia. Kebanyakan ahli sains percaya bahawa manusia prasejarah mulanya menghargai anjing sebagai anjing pengawal. Kemudian, manusia sedar bahawa anjing juga boleh digunakan untuk menggembala dan memburu haiwan-haiwan lain. Dalam masa ribuan tahun, baka seperti collie, comondor dan puli dibiakkan untuk menggembala biri-biri, kambing dan lembu. Hound, pointer retrievar, setter spaniel, dan terrier dibiakkan untuk pelbagai jenis pemburuan. Kecerdikan, kesetiaan dan kebolehan mengesan menjadikan anjing berguna kepada penggembala dan pemburu, dan juga untuk peranan-peranan lain. Misalnya, polis menggunakan anjing untuk mengesan penjenayah dan untuk menghidu dadah dan bahan letupan yang disembunyikan.

Kesemua baka anjing menjadi teman baik kepada manusia, dan banyak baka, termasuk anjing kecil, dibiakkan khususnya untuk tujuan ini. Anjing sebagai teman menyumbang kepada kesejahteraan seseorang. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa menepuk-nepuk anjing memperlahankan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah orang yang melakukannya. Anjing membantu orang cacat, memandu orang buta dan berfungsi sebagai “telinga” bagi orang pekak. Di samping itu, anjing juga menaikkan semangat pesakit di hospital dan di rumah penjagaan. Penyelidik perubatan juga menggunakan anjing dalam eksperimen untuk membantu menghasilkan ubat baru dan teknik pembedahan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang menganggap bahawa menggunakan anjing atau haiwan-haiwan lain dalam eksperimen makmal adalah kejam. Anjing juga menghiburkan manusia berabad-abad lamanya. Pada zaman dahulu, penonton suka membuat pertaruhan dalam perlawanan sesama anjing dan anjing dengan haiwan-haiwan lain seperti beruang, lembu jantan atau singa. Kini banyak negara mengharamkan perlawanan demikian. Hari ini, pertandingan seperti lumba anjing, pertandingan lapangan dan uji kesetiaan menarik ramai penonton. Anjing juga membuat persembahan di sarkas, di atas pentas, dalam filem dan televisyen.

Sesetengah baka anjing mempunyai rupa yang luar biasa. Misalnya, anjing tanpa bulu Mexico tidak mempunyai bulu di badannya melainkan beberapa jambak bulu di atas kepalanya. Kulit shar pei China adalah kendur dan berkedut. Kedutan ini begitu tebal hinggakan ia kadangkala menutupi mata anjing ini. Chow-chow mempunyai lidah berwarna biru hitam. Basenji adalah satu-satunya anjing yang tidak boleh menyalak, walaupun ia boleh mengeluarkan bunyi yodel. Anjing tergolong dalam famili Canidae, haiwan pemakan daging yang juga termasuk serigala, koyote, rubah, dan jackal. Anjing menyerupai haiwan-haiwan ini dari segi struktur badan dan kelakuan. Dingo di Australia dan haiwan tertentu yang tinggal di bahagian-bahagian lain di dunia, biasanya dirujuk sebagai anjing liar.[9]

Perbezaan antara anjing rakun dan rakun

Oleh itu, jelaslah bahawa rakun dan anjing adalah dua spesies haiwan yang berbeza sama sekali. Walau bagaimanapun, berkemungkinan salah anggap bahawa rakun dan anjing daripada spesies yang sama disebabkan oleh wujudnya spesies rakun yang turut dipanggil sebagai anjing rakun (Raccoon dog).

Gambar di atas: Anjing rakun. Tidak hairan, jika ia selalu disalah anggap sebagai rakun.[10]

Anjing rakun adalah luar biasa kerana mereka bukan rakun mahupun anjing, tetapi mereka berkongsi rupa yang serupa dengan nama mereka. Walaupun mereka tergolong dalam keluarga canine (anjing), mereka lebih berkait rapat dengan musang berbanding anjing. Manakala rakun pula adalah haiwan yang agak unik, kebanyakannya makhluk malam dengan tanda muka yang berbeza dan kegemaran untuk masuk ke dalam tong sampah. Anjing rakun mempunyai warna yang serupa pada muka mereka seperti rakun, dengan tanda hitam yang tersendiri di sekeliling mata mereka, muncung ringan dan hidung hitam kecil. Itu adalah sama seperti rakun, dan kepala mereka kelihatan sangat serupa secara keseluruhan. Disebabkan kedua-duanya kelihatan sangat serupa, maka kami sebutkan di sisi perbezaan antara anjing rakun (raccoon dog) dan rakun (raccoon). Perbezaan utama antara anjing rakun dan rakun adalah dari segi famili, morfologi dan saiznya, di antaranya:

  • Anjing rakun adalah sebahagian daripada famili Canidae, yang lebih dekat dengan musang berbanding anjing, manakala rakun pula adalah daripada famili Procyonidae.
  • Anjing rakun lebih kecil daripada rakun, tetapi lebih berat daripada rakun secara purata. Anjing rakun mempunyai berat antara 6 paun dan 22 paun, berdiri 12 inci tinggi, dan tumbuh 26 inci panjang. Manakala rakun pula mempunyai berat sehingga 19 paun, berdiri 12 inci tinggi, dan membesar 28 inci panjang. Menariknya, rakun mempunyai ketinggian purata yang lebih tinggi berbanding anjing rakun, dan mereka sering tumbuh lebih panjang daripada keseluruhannya kerana badan dan ekornya yang panjang.
  • Anjing rakun mempunyai bentuk telinga bulat besar, manakala rakun pula mempunyai bentuk telinga yang sempit dan bulat.
  • Anjing rakun memiliki warna serupa dengan rakun dengan tanda hitam di sekeliling mata, muncung cerah dan hidung hitam kecil. Manakala rakun pula mempunyai tompok hitam ikonik di atas mata, hidung hitam kecil dan muncung cerah.
  • Anjing rakun mempunyai ekor lebat dengan warna gelap pejal. Manakala rakun mempunyai ekor lebat dengan warna bulu berselang-seli.
  • Anjing rakun adalah satu-satunya anjing yang berhibernasi semasa musim sejuk. Manakala rakun tidak berhibernasi, tetapi mereka menghabiskan lebih banyak masa di dalam lubang mereka semasa bulan-bulan yang lebih sejuk untuk mengelakkan musim sejuk yang teruk di kawasan tempat mereka tinggal.
  • Anjing rakun adalah tergolong dalam haiwan karnivor. Ia memakan haiwan kecil seperti burung, serangga, ular, tikus dan katak. Selain itu, mereka juga adalah perenang yang baik, jadi mereka sering menangkap ikan, ketam dan katak di sungai. Manakala rakun pula tergolong dalam haiwan omnivor yang memakan hampir semua jenis makanan termasuk beri, kacang, ikan, telur dan banyak lagi. Mereka mempunyai tabiat unik iaitu cuba membasuh makanan mereka sebelum memakannya, menggunakan kaki tangkas mereka untuk menghanyutkan makanan di dalam lopak air.[11]

Hukum menyentuh rakun

Asal setiap haiwan itu adalah suci — yakni bukan najis — melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan — yang hidup — itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak.[12] Justeru, rakun termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa rakun termasuk dalam kategori haiwan yang suci serta tidak mengambil hukum anjing dan keturunannya. Apatah lagi rakun adalah spesies yang berbeza sama sekali dengan anjing rakun. Oleh itu, tidak mengapa menyentuhnya serta najis dan bangkainya dianggap sebagai najis mutawassitah (sederhana).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Riwayat al-Nasa’i (66)

[2] Riwayat Muslim (279)

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567.

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185.

[5] Sumber gambar: https://www.idntimes.com/science/discovery/annisa-karima/5-fakta-rakun-mamalia-asli-amerika-utara-yang-gemes-c1c2?page=all. Diakses pada 25 Januari 2023.

[6] Sumber gambar: https://a-z-animals.com/blog/raccoon-dog-vs-raccoon-what-are-the-differences/. Diakses pada 25 Januari 2023.

[7] Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 18/101-102.

[8] Sumber gambar: https://a-z-animals.com/blog/raccoon-dog-vs-raccoon-what-are-the-differences/. Diakses pada 25 Januari 2023.

[9] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/622

[10] Sumber gambar: https://a-z-animals.com/blog/raccoon-dog-vs-raccoon-what-are-the-differences/. Diakses pada 25 Januari 2023.

[11] Lihat https://a-z-animals.com/blog/raccoon-dog-vs-raccoon-what-are-the-differences/. Diakses pada 25 Januari 2023.

[12] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *