Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah disyaratkan untuk terus mendirikan solat sunat wuduk sejurus selesai daripada mengambil wuduk atau boleh melewat-lewatkannya? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat sunat wuduk termasuk dalam salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak. Hal ini sebagaimana hadith daripada riwayat Humran maula Uthman yang menceritakan secara sempurna bagaimana sifat wuduk Nabi SAW dan di dalamnya disebutkan bahawa Baginda SAW bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian melakukan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak menyibukkan hatinya dengan perkara-perkara lain, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Riwayat al-Bukhari (159)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas mengenai lafaz “ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ” menyebutkan bahawa padanya terdapat galakkan untuk mendirikan solat dua rakaat selepas berwuduk. (Lihat Fath al-Bari, 1/260). Begitu juga ‘Azim Abadi turut menyebutkan hal yang sama dalam kitabnya, ‘Aun al-Ma‘bud (1/126).
Bagi menjawab persoalan ini, secara umumnya solat sunat wuduk disyariatkan untuk dilaksanakan secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai berwuduk. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
يُسْتَحَبُّ رَكْعَتَانِ عَقِبَ الْوُضُوءِ لِلْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ فِيهَا
Maksudnya: “Digalakkan (sunat) untuk mendirikan solat dua rakaat sesudah berwuduk berdasarkan hadith-hadith yang sahih mengenainya.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/53).
Begitu juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah turut menyebutkan:
وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ عَقِبَ الْوُضُوءِ وَلَوْ كَانَ وَقْتَ النَّهْيِ، وَقَالَهُ الشَّافِعِيَّةُ
Maksudnya: “Digalakkan (sunat) untuk mendirikan solat dua rakaat sesudah berwuduk sekalipun pada waktu yang dilarang — untuk mendirikan solat. Ini juga merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/345).
Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menyatakan:
وَنُدِبَ لِمَنْ تَوَضَّأَ أَنْ يُصَلِّيَ عَقِيبَ وُضُوئِهِ رَكْعَتَيْنِ فِي أَيِّ وَقْتٍ كَانَ
Maksudnya: “Disunatkan bagi sesiapa yang berwuduk untuk mendirikan solat sebanyak dua rakaat sejurus selepas daripada wuduknya pada bila-bila masa sekalipun — termasuklah pada waktu yang dilarang untuk solat.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/44).
Selain daripada itu, Syeikh Nawawi al-Jawi ada menyebutkan dalam kitabnya, dalam Fasal Solat Sunat bahawa solat sunat wuduk sesudah selesai daripada mengambil wuduk dan sebelum panjangnya tempoh antara keduanya serta berpaling daripada melakukannya. Solat sunat wuduk itu boleh terhasil dengan apa yang dapat dicapai oleh tahiyyatul masjid. Jika seseorang itu mendirikan solat yang lain selain solat sunat wuduk sesudah berwuduk sama ada solat fardhu mahupun solat sunat, maka ia adalah seperti mana tahiyyatul masjid dari sudut tercapainya (terhasilnya) pahala dan gugurnya tuntutan. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 104).
Justeru, perkataan mereka “عَقِبَ الْوُضُوءِ” atau “عَقِيبَ الْوُضُوءِ” (yakni sejurus selepas daripada berwuduk) dan “قبل طول الْفَصْل” (yakni sebelum panjangnya tempoh antara keduanya) menunjukkan bahawa ia hendaklah didirikan secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai berwuduk.
Tambahan lagi, Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan juga pernah ditanya mengenai perkara ini dan beliau menjawab, solat sunat wuduk hendaklah dikerjakan sesudah selepas berwuduk. Dalam erti kata ini, seseorang yang selesai daripada mengambil wuduknya digalakkan untuk mendirikan dua rakaat solat sunat wuduk. Ia termasuk dalam solat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab) dan sebahagian ulama berpendapat, boleh melaksanakannya sekalipun pada waktu yang dilarang untuk solat jika terdapatnya sebab untuk mendirikannya.[1]
Begitu juga Syeikh Sa‘ad al-Syathri ketika ditanya berkenaan adakah tempoh yang lama selepas berwuduk sebelum mendirikan solat sunat wuduk menggugurkan tuntutannya? Beliau berpendapat, tempoh yang sekejap — yakni antara selepas berwuduk sehinggalah mendirikan solat wuduk — tidak memberi apa-apa kesan kepada tuntutannya, namun tempoh yang lama antara keduanya luar daripada adat kebiasaan menggugurkan tuntutannya.[2]
Meskipun begitu, dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb pernah ditanya berkenaan melewatkan solat sunat wuduk iaitu adakah tuntutan untuk mendirikannya adalah secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai berwuduk atau dibolehkan untuk melewatkannya disebabkan oleh kesibukan — perkerjaan dan lain-lain — bersama kekalnya niat untuk melakukannya sebaik sahaja selesai daripada kesibukan (yakni urusan tersebut) dan yang manakah antara kedua keadaan itu yang lebih afdhal?
Beliau menjawab, sebaiknya (afdhalnya) adalah terus dengan solat. Dalam erti kata lain sebaiknya selepas seseorang itu selesai daripada berwuduk untuk terus mendirikan solat dua rakaat. Namun, jika dia menyelesaikan terlebih dahulu urusannya, kemudian mendirikan solat sunat wuduk selepas daripada itu, maka tidak mengapa. Kesemuanya adalah baik, akan tetapi afdhalnya mendirikan solat terlebih dahulu. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 11/61).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat sebaik-baiknya (afdhalnya) solat sunat wuduk dilaksanakan secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai daripada berwuduk. Pendapat ini juga sebagai mengambil jalan keluar bagi mereka yang berpendapat tidak boleh melewat-lewatkannya sehingga suatu tempoh yang sangat lama. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu ada urusan atau pekerjaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, maka tidak mengapa melewatkannya dan melaksanakannya sejurus selepas selesai urusannya itu, dengan syarat dia tetap berniat atau berazam untuk melakukannya selagi mana dia masih belum lagi berhadas.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H
[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=iSzVvnrTKX0. Diakses pada 13 Jun 2022.
[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=WgXjIZtteP0. Diakses pada 13 Jun 2022.