Soalan:

Seorang mak nyah ingin menunaikan umrah dan dia telah melakukan pembedahan buah dada. Bagaimanakah tatacara pemakaian ihramnya kerana jika dia melakukan idtiba’ ketika tawaf, mungkin akan kelihatan sedikit bentuk buah dada?

Jawapan:

Pertamanya, saya mengucapkan alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana niat seseorang untuk melaksanakan ibadah umrah adalah mukadimah yang baik dalam memperbaiki kehidupan dengan lebih sempurna mengikut neraca syariat. 

Saya definisikan terlebih dahulu makna dan maksud ‘mak nyah’. Mengikut definisi daripada Kamus Dewan Edisi Keempat, mak nyah bermaksud satu panggilan untuk golongan pondan. Manakala, pondan pula bermaksud lelaki yang lebih bersifat keperempuanan, banci, kedi, papak, ponen. Hakikatnya, ‘mak nyah’ berdasarkan definisi di atas adalah seorang lelaki. Atas apa faktor yang menyebabkan sifat dan sikapnya ke arah keperempuanan itu memerlukan perbincangan lebih khusus lagi.

Haram hukumnya seorang lelaki menyerupai wanita. Hal ini jelas ditegaskan dalam sebuah hadith, dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) & al-Tirmizi (2785)

Ibn al-Athir berkata: Al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. (Lihat Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)

Dalam riwayat yang lain:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.” Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) & Ibn Majah (1904)

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)

Al-Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. (Lihat Subul al-Salam, 2/421)

Al-Imam al-Shaukani mengatakan hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu. [Lihat Nayl al-Awtar, 6/230]

Berbalik kepada soalan di atas, walaupun beliau seorang lelaki, tetapi tubuh badannya terutama buah dada ada yang dibentuk sama seperti wanita. Pada asasnya, terdapat dua jenis pakaian ihram iaitu bagi lelaki dan perempuan. Adapun bagi lelaki, haram baginya menutup keseluruhan kepalanya atau sebahagiannya dengan setiap benda yang dianggap penutup sama ada berjahit atau selainnya, dan yang biasa atau selainnya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 117-118). Jika seseorang itu adalah lelaki, maka wajib dia berihram seperti lelaki.

Idtiba’ adalah meletakkan kain ihram yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanan terbuka. Hukumnya adalah sunat di sisi mazhab Syafie (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 482). Sebagaimana yang saya nukilkan daripada Hasyiah al-Idhah oleh Ibn Hajar al-Haitami, makruh meninggalkan idtiba’ dan raml bagi orang yang mengerjakan tawaf (pada tiga pusingan pertama) tanpa keuzuran seperti yang dinaskan oleh Imam Syafi’i.” (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 174). Justeru, jika terdapatnya keuzuran maka hukumnya tidaklah makruh baginya meninggalkan idtiba’.

Keutamaan ketika bertawaf adalah menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah berkenaan, dengan zikir dan doa. Maka, saya khuatir perbuatan idtiba’ yang mungkin menampakkan sebahagian buah dada atau bentuk buah dadanya, akan mengganggu tumpuan jemaah yang sedang bertawaf malah menimbulkan fitnah kepada individu berkenaan.

Menghindari fitnah, mengelakkan gangguan kepada orang lain dan tidak menyebabkan orang lain berdosa kerana bersangka buruk tentang keadaan diri orang yang dilihatnya seperti yang tersebut lebih utama daripada melakukan idtiba’ yang hanya sunat. Malah sebagaimana yang disebutkan di atas, tidak makruh meninggalkan idtiba’ jika ada keuzuran. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.

Semoga Allah SWT menerima taubatnya dan menggolongkannya dalam kalangan mereka yang dicintai-Nya.

Leave a Reply