Soalan:

Apakah hukum makan dengan tangan kiri?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Nabi SAW seringkali mengutamakan dan mendahulukan bahagian kanan untuk sebahagian besar urusan seharian yang melibatkan kebaikan. Daripada ‘Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”

Riwayat al-Bukhari (168)

Nas ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW memberi prihatin dan kecaknaan berkenaan dengan makan dan minum. Bahkan, memakai selipar atau sepatu sekali pun dan termasuk segala urusan yang baik termasuk taharah dimulakan dengan tangan kanan atau mendahulukan yang kanan.

Bahasa yang digunakan dengan kalimah (يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ) yang memberi maksud betapa Rasulullah SAW sebaik mungkin akan melakukan sesuatu yang baik dengan memulakan yang kanan atau pun dengan tangan kanan.

Nabi SAW berpesan kepada Amru bin Abi Salamah R.A:

يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat dengan kamu.”

Sahih Bukhari (5376)

Menurut Badr a-Din al-‘Ainiy, sebahagian ulama berdalilkan hadith ini dalam mewajibkan makan dan minum menggunakan tangan kanan, selain adanya banyak ancaman terhadap mereka yang menyelisihi arahan ini.[1]

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW:

إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Maksudnya: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, karena syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.”

Sahih Muslim (2020)

Berdasarkan hadith inilah Imam al-Nawawi berpandangan makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. [2]

Saya katakan bila mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ( فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ) dan juga lafaz ( فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ) kemudian mengalasankan yang syaitan makan dengan tangan kiri begitu juga minum. Makanya, kita diperintahkan untuk tidak mengikiut syaitan dan menyalahi syaitan. Sebaliknya, mengikut perintah Allah SWT dan rasul-Nya. Maka, perintah ini sewajarnya dijunjung oleh setiap orang bernama Muslim.

Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadith Jabir bin ‘Abdillah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تأكلوا بالشِّمالِ ، فإنَّ الشَّيطانَ يأكلُ بالشِّمالِ

Maksudnya: Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri

Sahih Muslim (2019)

Menurut sebahagian ulama, meskipun hadith-hadith yang menyuruh makan dan minum dengan tangan kanan secara zahirnya kelihatan seperti wajib, namun memandangkan ia lebih berbentuk adab dan irsyad, maka hukumnya bertukar menjadi sunat.[3]

Menurut Imam al-Qurthubi pula, suruhan dalam hadith ini berbentuk sunat, kerana ia satu bentuk memuliakan kanan ke atas yang kiri. Begitu juga antara contoh kemuliaan akhlak kalangan mereka yang terpuji ialah mengkhususkan perkara-perkara yang baik dengan yang kanan. [4]

 

 

[1] Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari 21/29

[2] Lihat Syarh Sahih Muslim 13/190-191

[3] Lihat Majmu’ah al-Rasa’il al-Fiqhiyyah min Syarh Manar al-Sabil, hlm. 172

[4] Lihat  Al-Mufhim lima Ashkala min Talkhis Kitab Muslim, 5/295

Leave a Reply