Soalan:
Apabila seseorang bersetubuh di siang hari ketika dia berpuasa sunat, adakah dikenakan kifarat, contohnya ketika dia berpuasa sunat Syawal?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu maksud puasa sunat iaitu puasa yang bukan wajib seperti puasa Ramadhan, puasa qadha, pausa nazar dan puasa kaffarah. Adapun, puasa sunat amat banyak. Antaranya, puasa sunat 6 Syawal, puasa sunat Arafah, puasa sunat hari Isnin dan khamis, puasa hari-hari putih iaitu 14,15 &16 bulan qamariyyah.
Orang yang berpuasa sunat, dia menjadi ketua untuk dirinya, sama ada dia meneruskan puasa atau dia berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa sunat adalah pemegang amanah kepada dirinya, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.”
Riwayat Tirmizi (732)
Walaupun begitu, yang afdhalnya seseorang itu jangan merosakkan puasa sunatnya, berdasarkan umum firman Allah SWT:
وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
Surah Muhammad (33)
Justeru, saya katakan siapa yang rosak puasanya dengan sebab jimak atau lainnya pada puasa sunat, maka tidak menjadi kesalahan ke atasnya dan dia tidak perlu qadha’ serta kifarah. Akan tetapi, supaya dia memperolehi pahala puasa 6 hari dalam bulan Syawal, hendaklah dia puasa pada waktu yang lain di bulan yang sama. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadhan 1444H