Soalan:
Apakah kelebihan solat berjemaah? Bagaimana prihatinnya salaf dalam menunaikan solat berjemaah?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Rasulullah SAW sepanjang hayatnya sentiasa solat berjemaah kecuali sakit yang membawa kepada kematiannya. Firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
Maksudnya : “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
Surah Al-Nisa’ (102)
Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan :
“Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350)
Hadith daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Di dalam riwayat lain menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (1504)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Ijmak
Telah berlaku ijmak di kalangan para sahabat bahawa solat secara berjemaah adalah sangat dituntut. Khususnya setelah Nabi dan para sahabat berhijrah ke Madinah. (Lihat Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350)
Jika ada yang mendirikan solat secara berjemaah yang paling kurang mempunyai sorang imam dan makmum, maka dia tetap akan mendapat ganjaran berdasarkan hadis. Ini termasuklah solat jemaah yang dilakukan suami bersama isteri, ketika di R&R dan lain-lain.
Namun begitu, solat berjemaah yang paling baik dan afdal adalah yang didirikan di masjid. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW yang sangat mengambil berat akan solat berjemaah yang dilakukan di masjid.Antaranya :
- Daripada Abu Hurairah R.Anhu, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Maksudnya : “Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
Riwayat Muslim (1556)
- Nabi SAW bersabda lagi di dalam sebuah hadis yang lain :
مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya : “Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.”
Riwayat Muslim (1553)
- Nabi SAW secara terang menyebut bahawa solat fardu secara berjemaah di masjid lebih baik dari solat berjemaah di rumah. Nabi SAW bersabda :
فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya : “Wahai manusia solatlah (solat nafilah) di rumah kalian. Sesungguhnya sebaik-baik solat sunat bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu.”
Riwayat Al-Bukhari (731)
Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani yang dimaksudkan adalah solat lima waktu perlu didirikan di masjid. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/214)
Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan yang paling baik adalah solat lima waktu di masjid (Lihat Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj,1/351)
- Nabi SAW pernah menyebut:
وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih elok dari solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih elok dari solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah SWT.”
Riwayat Abu Daud (554)
- Nabi SAW memberikan amaran keras bagi sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Sabda Nabi SAW :
لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِم
Maksudnya : “Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”
Riwayat Al-Bukhari (2420)
- Ibnu Mas’ud RA menyebut :
مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِي ، ثُمَّ لَمْ يُجِبْ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ ، فَلاَ صَلاَةَ لَهُ
Maksudnya : “Siapa yang mendengar azan akan tetapi tidak menyahutnya (pergi solat di masjid) tanpa uzur maka tiada solat baginya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (3486) di dalam Al-Musannaf
Berdasarkan hadis-hadis dan athar yang telah dibentangkan, kami menyatakan bahawa solat berjemaah yang dilakukan di masjid adalah lebih baik. Ia juga lebih menetapi tujuan solat jemaahnya itu diperintahkan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Begitu juga mereka yang hadir menunaikan solat jemaah termasuk di dalam mereka yang sentiasa memakmurkan rumah Allah.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّـهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّـهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya : “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
(Surah Al-Taubah : 18)
Adapun, prihatinnya salaf di kalangan sahabat dan tabi’in berkenaan solat berjemaah amatlah banyak. Antaranya:
- Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Pernah kami dapati ada lelaki yang dipapah oleh dua lelaki sehingga didirikan pada saf dek kerana sakit.” Tetapi dia tetap pergi menunaikan solat berjemaah, sekali pun dalam keadaan sakit dan uzur.
- Abdullah bin Mas’ud RA juga berkata, “Berkenaan dengan generasi sahabat yang awal, di mana kamu dapati kami tidaklah sekali-kali ketinggalan solat berjemaah kecuali orang itu munafik yang dikenali tentang nifaknya atau kerana sakit. Jika dia sakit, dia akan dipapah oleh dua lelaki untuk menunaikan solat berjemaah.”
Riwayat Muslim.
- Ibrahim al-Nakha’ie Rahimahullah berkata, “Adalah al-Aswad bin Yazid jika terluput solat jemaah di masjid kaumnya, nescaya beliau menggantungkan dua seliparnya (bermaksud berlari atau berjalan dengan cepat) dan mencari masjid-masjid yang lain untuk dia mendapatkan solat berjemaah.”
- Imam al-Zahabi berkata, “Imam al-Rabani Abi al-Harith ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair, katanya, Mus’ab berkata, ‘Amir telah mendengar orang azan sedangkan dia sakit dalam keadaan nazak, dia berkata ‘Bawalah tanganku dan pimpinlah aku serta sandarkanlah aku sehingga aku dapat ke masjid dan aku sembahyang berjemaah.’ Lantas, dikata kepadanya, ‘Kamu sedang sakit.’ Jawabnya, ‘Aku dengar seruan Allah adakah aku tidak menjawabnya?’ Maka, mereka bawalah beliau untuk ke masjid. Kemudian, imam solat Maghrib dan pada rakaat yang pertama, kemudian dia sujud dan mati dalam sujud.” Semoga Allah SWT merahmatinya.
Kesimpulannya, jika solat jemaah didirikan selain daripada masjid maka ia tetap mendapat pahala berjemaah berdasarkan hadis. Ini kerana solat jemaah paling kurang ada seorang imam dan seorang makmum. Tidak kiralah di mana ia dilakukan. Namun begitu, paling baik dan lebih afdal untuk hadir solat berjemaah di masjid. Itu lebih menepati tujuan solat jemaah itu didirikan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Di samping memakmurkan rumah Allah SWT.
Bertarikh: 28 Mac 2023 bersamaan 6 Ramadhan 1444H