Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Satu hari saya ke dapur tanpa disedari saya memakan nasi dan minum air. Selesai baru saya teringat.
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, maka, rujukan kita adalah Rasulullah SAW. Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya : “Apabila salah seorang kamu terlupa, kemudian dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberi dia makan dan juga minum.”
Riwayat Al-Bukhari (1933)
Berdasarkan hadis ini, secara jelas Rasulullah SAW menyebutkan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa, sebaliknya puasa mereka adalah sah. Oleh kerana itu, baginda mengarahkan supaya golongan yang terlupa ini untuk meneruskan puasa tersebut.
Betapa rahmatnya Allah SWT kepada kita sehingga ia tidak mengira sebarang kesilapan yang kita lakukan secara tersilap mahu pun terlupa. Diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Semoga Allah SWT ampunkan dosa kita di atas kelemahan diri kita serta kesilapan yang kita lakukan. Saya menutup dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”
Surah al-Baqarah (286)
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H