Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bertugas di Hospital Tanjung Rambutan. Adakah wajib kepada pesakit mental untuk berpuasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Takrifan penyakit mental yang diberi di laman web rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia adalah seperti berikut:
Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1% daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi. (Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-mental/#:~:text=Penyakit%20mental%20adalah%20penyakit%20yang,menjalani%20aktiviti%20seharian%20dengan%20baik.)
Dalam menjawab persoalan ini, saya khususkan kepada mereka yang dianggap sebagai gila berdasarkan perakuan pakar kesihatan. Diriwayatkan daripada Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak tercatat dosa dan pahala: orang yang tidur sehingga dia bangun tidur, kanak-kanak sehingga dia mimpi basah dan orang yang gila sehingga dia kembali berakal.
Sunan Abu Daud (4403)
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang hilang akalnya maka telah hilang kewajipan berpuasa baginya. Tetapi, bagaimana jika gila tersebut hanya berlaku dalam tempoh yang sementara dan singkat? Dalam hal ini, Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarawani menyebutkan bahawa:
فَلا يَصِحُّ صَوْمُ الْمَجْنُونِ وَالطِّفْلِ لِفِقْدَانِ النِّيَّةِ
Maksudnya: “Maka tidak sah puasa orang yang gila dan kanak-kanak kerana tidak berniat.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, 3/414)
Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf menyebutkan bahawa di antara syarat sah puasa ialah:
العَقْلُ، فَيُشْتَرَطُ أَنْ يَكُوْنَ عَاقِلا مُمَيِّزًا جَمِيْعَ النَّهَارِ، فَلَوْ جُنَّ وَلَوْ لَحْظَةً وَاحِدَةً بَطَلَ صَوْمُهُ
Maksudnya: “Berakal, maka disyaratkan untuk orang berpuasa itu berakal, tamyiz sepanjang hari. Jika dia gila walaupun sebentar maka puasanya batal.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah – Qism al-‘Ibadah, hlm. 438)
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum puasa orang yang gila dalam tempoh yang singkat di siang hari di bulan Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan adalah batal kerana telah terangkat kewajipan berpuasa darinya pada masa dia gila disebabkan hilangnya akal. Oleh itu, sesiapa sahaja yang telah hilang akalnya walaupun sementara ketika dia sedang berpuasa maka perkara tersebut membatalkan puasa. Wallahuaʻlam.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H