Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya ada pergi ke Thailand dan di sana ada beberapa makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan hidup dan seumpamanya yang dipersembahkan kepada berhala. Soalan saya, apakah hukum memakan buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sebenarnya, persoalan yang diajukan ini berkait rapat dengan isu memakan makanan sembahan bagi berhala atau bagi upacara keagamaan lain. Secara ringkasnya, kita hendaklah mengetahui bahawa sebagai seorang Muslim kita diharamkan untuk memakan sembelihan penganut agama lain yang terdiri daripada penyembah berhala, penganut agama majusi, dan seumpamanya kecuali sembelihan ahli kitab. Dinyatakan dalam al-Jauharah al-Nayyirah (2/181) bahawa tidak boleh dimakan sembelihan penganut majusi, orang murtad dan penyembah berhala kerana orang murtad tidak mempunyai agama, manakala penyembah berhala pula adalah seumpamanya.

Pengecualian sembelihan ahli kitab pula adalah sesuai dengan firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

Maksudnya:Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

(Surah al-Maidah: 5)

Makanan itu pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

Jenis pertama, makanan yang melibatkan sembelihan atau haiwan yang disembelih atas nama berhala. Ia adalah diharamkan untuk dimakan berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah SWT, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah al-Maidah: 3)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, perkataan al-Nusub (النُّصُبِ) bermaksud sesuatu yang dibina iaitu berhala atau batu yang dibina sebagai tanda atau simbol kepada taghut. Taghut ialah sesuatu yang disembah selain daripada Allah SWT dan ia dahulunya dibina di sekeliling Kaabah. Masyarakat jahiliyyah dahulunya sering menyembelih haiwan-haiwan atas nama berhala-berhala itu ataupun di sisinya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala-berhala mereka.

Inilah contoh kategori binatang yang disembelih bukan kerana Allah SWT. Hal ini kerana pada kedua-duanya (yakni haiwan yang disembelih atas nama berhala atau di sisi berhala) terdapatnya pengagungan kepada taghut. Perbezaan di antara keduanya ialah haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT itu, kemungkinan ia disembelih untuk salah satu berhala daripada berhala-berhala yang jauh daripadanya dan daripada berhala tersebut, serta disebutkan ketika sembelihan haiwan tersebut nama taghut itu. Manakala binatang yang disembelih atas nama berhala itu sendiri pula, mesti disembelih atas batu (yakni berhala) tersebut atau di sisinya, dan tidak semestinya ketika sembelihan itu disebut dengan nama selain nama Allah SWT. 

Disebabkan berhala-berhala ini berada di sekeliling Kaabah, maka ada orang yang menyangka atau beranggapan bahawa penyembelihan yang dilakukan di situ adalah untuk membesarkan Baitullah al-Haram. Justeru, al-Quran telah melenyapkan sangkaan ini dan menyatakan dengan jelas berkenaan pengharaman sembelihan seumpama ini, meskipun jika diteliti dapat difahami bahawa ia termasuk dalam kategori haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT. (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 48).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ada menyebutkan, jika seorang ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) menyembelih binatang dan tidak mendengar dia menyebut nama selain nama Allah SWT seperti menyebut al-Masih atau al-‘Uzair semasa dia menyembelih, maka sembelihannya itu adalah halal. Tetapi, jika terdengar daripadanya bahawa dia menyebut nama selain nama Allah SWT, maka sesetengah fuqaha ada yang mengharamkan sembelihannya itu, kerana ia termasuk dalam haiwan yang disembelih kepada selain Allah SWT. Sesetengah fuqaha lagi berpendapat bahawa Allah SWT telah membolehkan kepada kita untuk memakan makanan mereka dan tentulah Dia lebih mengetahui apa yang mereka katakan itu. (Lihat al-Halal wa al-Haram, hlm. 60).

Jenis kedua pula, makanan yang bukan sembelihan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan seumpamanya yang dipersembahkan kepada berhala bagi tujuan ibadat atau ritual berunsurkan keagamaan, maka tidak ada masalah untuk memakannya selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan. Hal ini kerana ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal. Keadaannya menjadi makanan yang dipersembahkan kepada berhala tidak mengeluarkannya daripada hukum asalnya iaitu halal.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak ada masalah seseorang itu termakan atau memakan makanan bukan sembelihan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan seumpamanya yang dipersembahkan kepada berhala atau bagi upacara keagamaan lain, selagi mana ia tidak bernajis atau memudaratkan atau ada faktor lain yang menjadikannya haram seperti ia diambil dengan cara mencuri. 

Sekalipun begitu, kita hendaklah ingat sebagai seorang Muslim, kita juga diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply