Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Sebenarnya, apakah hukum memakan jerung, padahal ia haiwan yang memburu dengan taringnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ 

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244).

Definisi jerung

Jerung ialah ikan pemakan daging dan satu daripada haiwan laut yang paling ditakuti. Ahli sains mengelaskan kira-kira 350 spesies ikan sebagai jerung. Ikan ini hidup di lautan di seluruh dunia tetapi paling biasa didapati di laut panas. Jerung berbeza-beza saiz dan tabiatnya. Jerung paus adalah jenis jerung yang terbesar dan ikan yang terbesar daripada kesemua ikan. Ia boleh membesar sehingga 12 meter panjangnya. Beratnya mungkin melebihi 14 tan metrik, lebih daripada dua kali berat seekor gajah Afrika. Jerung yang terkecil hanya 13 sentimeter panjangnya dan beratnya kira-kira 28 gram. Sesetengah jenis jerung hidup di bahagian dalam lautan. Yang lain ditemu dekat permukaan laut. Sesetengah spesies hidup di perairan pantai tetapi yang lain hidup jauh di lautan. Beberapa spesies memasuki sungai dan tasik yang mengalir keluar ke laut.

Semua jerung adalah karnivor (pemakan daging). Kebanyakannya memakan ikan hidup termasuk jerung-jerung lain. Sebenarnya, musuh semula jadi yang paling biasa bagi jerung ialah jerung yang lebih besar. Kebanyakan jerung memakan mangsanya bulat-bulat, atau mengoyak ngoyakkan daging mangsanya. Sesetengah jerung menghancurkan mangsanya. Yang lain menyodok keluar kepingan kecil daging daripada ikan yang besar. Jerung juga memakan haiwan yang mati atau hampir mati. 

Jerung mempunyai reputasi untuk menyerang manusia. Tetapi kurang daripada 100 serangan jerung dalam setahun dilaporkan di seluruh dunia. Kira-kira satu per tujuh daripada 350 spesies jerung dianggap berpotensi mendatangkan bahaya kepada manusia. Kebanyakan serangan jerung tidak menyebabkan kematian atau kecederaan teruk. Bagaimanapun, perenang hendaklah berhati-hati apabila berada di kawasan yang diketahui mempunyai jerung.

Jerung berbeza daripada kebanyakan jenis ikan yang lain dari beberapa segi. Misalnya, jerung mempunyai rangka tidak bertulang yang terdiri daripada bahan yang kuat, kenyal yang dikenali sebagai rawan. Kebanyakan spesies jerung mempunyai badan yang bulat, berbentuk seperti torpedo. Bentuk bergaris arus ini membantunya berenang. Jerung malaikat, yang hidup dekat dasar laut, mempunyai bentuk yang leper seperti badan ikan sket dan pari.

Gigi dan sisik. Mulut jerung terletak di bahagian bawah kepala pada semua spesies kecuali jerung malaikat, jerung megamouth, jerung paus, dan wobbegong. Mulut jerung ini terletak di bahagian depan kepala. Jerung mempunyai beberapa baris gigi. Gigi baru sentiasa menggantikan baris gigi lama — sekerap satu hingga dua minggu. Sesetengah jerung mempunyai gigi kisar bak geraham. Yang lain mempunyai gigi bak pisau untuk memotong dan yang lain lagi mempunyai gigi runcing. Sesetengah orang percaya bahawa jerung akan terlentang untuk menggigit, tetapi ini tidak benar. Sisik kecil bak gigi meliputi badan jerung. Sisik plakoid ini menjadikan kulit jerung sangat kasar. Kulit jerung yang dikeringkan, yang dikenali sebagai shagreen, pernah digunakan sebagai kertas pasir. 

Bagaimana manusia menggunakan jerung. Anak kapal penangkap ikan komersial menangkap jerung terutamanya untuk kulit, sirip, dan dagingnya. Kulit jerung dijadikan kulit yang mewah selepas sisiknya dibuang. Orang Cina sering menggunakan sirip jerung untuk membuat sup yang popular dan mahal. Manusia di pelbagai bahagian di dunia memakan daging banyak spesies jerung. Di Great Britain, misalnya, anggota kecil dalam kumpulan jerung yang dikenali sebagai dogfish, sering digunakan dalam menyediakan ikan dan cip. Ikan ini dikenali sebagai salmon batu. Begitu juga minyak hati spesies jerung tertentu mengandungi banyak vitamin A. Sehingga akhir tahun 1940-an, minyak hati jerung adalah sumber utama vitamin A. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 9/750-754). 

Hukum memakan jerung

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.” 

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). 

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 96 seperti yang telah disebutkan di atas. Begitu juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut al-Damiri, Syeikh Jamaluddin al-Asnawi berfatwa berkenaan halalnya untuk memakan jerung. Pendapat ini jugalah yang jelas disebutkan oleh Syeikh Muhibbuddin al-Tabari, yang mensyarahkan kitab al-Tanbih, ketika membahaskan mengenai buaya. Kemudian beliau telah samar-samar berkenaan pengharaman buaya tersebut. Sedangkan berkenaan kehalalan jerung ini pula menunjukkan bahawa tidak ada khilaf mengenainya.

Selain itu, dalam Nihayah Ibn al-Athir jelas disebutkan berkenaan kehalalannya. Akan tetapi Ibn Abbas R.Anhuma ada menyebutkan bahawa:

إنه يأكل ولا يؤكل

Maksudnya:Sesungguhnya ia (jerung itu) memakan dan tidak dimakan.”

Boleh jadi maksudnya adalah ia memakan haiwan-haiwan laut dan tidak ada satu pun daripada haiwan laut tersebut yang mampu untuk memakannya. Umumnya kalam jumhur ulama, nas Imam al-Syafi‘i,dan ayat al-Quran al-‘Aziz menunjukkan kepada keharusan untuk memakan jerung kerana ia termasuk dalam jenis ikan, dan ia tidak dapat hidup melainkan hanya dalam air. Malah Imam al-Nawawi sendiri telah menyebutkan dalam Syarh al-Muhazzab bahawa pendapat yang sahih adalah semua haiwan yang hidup di dalam laut adalah halal, dan memahami haiwan yang dikecualikan oleh para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) sebagai haiwan yang hidup bukan di dalam air. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/337).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ikan jerung termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis ikan, dan dengan memiliki taring serta memburu haiwan lain dengan taringnya tidak mengeluarkannya daripada kategori haiwan laut yang halal untuk dimakan, berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan.  

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply