Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum pendermaan buah pinggang kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, pemindahan buah pinggang adalah prosedur pembedahan di mana buah pinggang yang sihat (daripada penderma hidup atau mati — penderma kadaver) dimasukkan ke dalam badan seseorang yang mengalami penyakit buah pinggang peringkat akhir (penerima). Penemuan pemindahan buah pinggang telah menjadi rahmat bagi pesakit buah pinggang kronik.

Pemindahan buah pinggang adalah perlu bagi pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir yang menjalani dialisis (hemodialisis atau dialisis peritoneal) atau yang sangat menghampiri penyakit buah pinggang tahap akhir tetapi belum mula dialisis (pemindahan buah pinggang pre-emptive). Pesakit dengan kecederaan buah pinggang akut tidak harus menjalani pemindahan buah pinggang. Pemindahan buah pinggang juga tidak dilakukan dalam kes di mana satu buah buah pinggang gagal dan buah pinggang yang lain masih berfungsi. Pemindahan hanya harus dilakukan jika kegagalan buah pinggang tidak dapat dipulihkan.

Dialisis pula hanya menggantikan penapisan setengah produk sisa buah pinggang. Fungsi lain buah pinggang tidak dapat dicapai dan hanya boleh pulih dengan pemindahan buah pinggang. Oleh itu, apabila terdapat penderma yang sesuai dan tiada halangan atau kontraindikasi, pemindahan buah pinggang merupakan pilihan rawatan yang terbaik untuk pemulihan lengkap pesakit dengan kegagalan buah pinggang peringkat akhir. Pembedahan pemindahan buah pinggang juga dikenali sebagai “Hadiah Kehidupan” kerana dapat menyelamatkan nyawa dan membolehkan seseorang itu menikmati kehidupan yang hampir normal.

Hukum menderma buah pinggang

Pada asasnya, hukum menderma atau pemindahan buah pinggang ini kembali kepada perbahasan berkenaan hukum menderma organ. Kami telah menjawabnya dalam artikel kami, #23: Derma Organ dan Tisu. Ringkasnya, dalam artikel tersebut kami, kami berpendapat bahawa hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan, berpandukan kepada syarat-syarat yang telah digariskan. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama seperti Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi, Dr. Ahmad Sharafuddin, Dr. Rauf al-Shalabi dan ramai lagi. Selain itu juga, institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi, Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia menghukumkan ia harus.

Justeru, menderma buah pinggang adalah diharuskan tetapi bersyarat. Di antaranya, tidak memudaratkan pendermanya, orang yang diambil salah satu daripada buah pinggangnya itu telah memberi keizinan, sudah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil secara umumnya, pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain, tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut, dan lain-lain sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.

Selain itu, Syeikh ‘Abd al-Muhsin bin Abdullah al-Zamil pernah ditanya berkenaan hukum menderma buah pinggang. Beliau menjawab, hasil daripada apa yang disebutkan oleh ahli ilmu dan jumhur ulama pada zaman ini, mereka berpendapat ia dibolehkan dengan syarat iaitu penderma itu menderma dengan pilihannya sendiri, tidak mengakibatkan kemudaratan yakni menghilangkan kemudaratan dengan kemudaratan yang lain, begitu juga orang yang didermakan itu dalam keadaan dharurah (terdesak), dan sudah tiada lagi cara lain bagi merawatnya melainkan dengan pendermaan organ itu oleh orang lain kepadanya. Apabila semua syarat-syarat ini sudah dipenuhi, maka tidak mengapa dengan perkara itu (pendermaan organ itu). 

Contohnya, seseorang yang menderma buah pinggangnya. Hal ini kerana seseorang manusia boleh menjalani kehidupannya dengan hanya satu buah pinggang, atau seperempat, dan mungkin kurang daripada satu. Apabila para doktor memutuskan bahawa tidak ada mudarat kepadanya dalam hal itu, maka ia adalah diharuskan dari sudut menghilangkan kemudaratan yang pasti bagi saudara seislamnya, sedangkan bagi kamu pula (yang menderma) tidak ada sebarang kemudaratan. Oleh itu, perkara ini berkisar di antara menolak kemudaratan, dan menghasilkan maslahah bagi penderma dan tiadanya mudarat kepadanya (yakni penderma). Keumuman dalil-dalil menunjukkan kepada kemaslahatan Muslim, menolong seorang Muslim dan bersedekah. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ تَصَدَّقَ بشيءٍ مِنْ جَسَدِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang bersedekah dengan sesuatu daripada jasadnya.

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (22287); al-Nasa’i dalam al-Kubra (11081); al-Dhiya’ dalam al-Mukhtarah (2795); al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir menilainya sebagai hasan (8576); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id menyebutkan perawi-perawinya ialah perawi dalam kitab al-Sahih (6/305).

Justeru, umum dalil menunjukkan bahawa perkara itu adalah tidak mengapa. Adapun jika dia menderma atau transplan dalam badannya bagi dirinya sendiri. Misalnya, diambil sesuatu daripada badannya, kemudian diletakkan di tempat lain sesuatu yang perlu dimasukkan ke dalam daging, sehingga ia tumbuh di tempat kedua, atau seumpamanya. Maka, hal ini adalah tidak mengapa dengan syarat-syarat yang telah disebutkan sebelumnya. Adapun jika transplan itu dilakukan kepada orang lain, ia juga tertakluk kepada syarat-syarat tersebut.

Begitu juga Jam‘iyyah Ithar ada menukilkan daripada al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’  di bawah Hai’ah Kibar Ulama’ berkenaan hukum seseorang menderma buah pinggangnya kepada bapanya. Mereka menjawab, diharuskan untuk menderma salah satu buah pinggangnya kepada bapanya, jika para doktor yang dipercayai memutuskan bahawa tidak ada sebarang kemudaratan kepadanya disebabkan oleh pemindahan buah pinggang itu daripada badannya kepada badan bapanya, dan kuat sangkaan (ghalabah al-Zan) daripada para doktor tersebut bahawa proses pemindahan itu akan berjaya.

Selain itu, Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke-3 pada 16 Jamadil Akhir 1418H/ 18 Oktober 1997M telah memutuskan bahawa pendermaan organ ginjal atau buah pinggang kepada pesakit buah pinggang adalah harus tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

Syarat-syarat bagi penderma hidup: 

  • Penderma rela dengan ikhlas hati menderma organ ginjal atau buah pinggangnya;
  • Disahkan oleh pakar perubatan bahawa pendermaan itu tidak akan membahayakan kesihatan si penderma; dan
  • Tidak dilakukan dengan cara jual-beli.

Syarat-syarat bagi penderma yang meninggal dunia: 

  • Sebelum meninggal dunia penderma telah menyatakan kerelaannya untuk mendermakan organ ginjal atau buah pinggangnya itu kepada orang lain setelah dia meninggal dunia atau diizinkan oleh wali atau ahli warisnya untuk berbuat demikian dan tidak pula dilakukan dengan paksaan;
  • Disahkan oleh pakar perubatan bahawa organ ginjal atau buah pinggang yang didermakan itu masih boleh dimanfaatkan oleh pesakit buah pinggang yang memerlukannya;
  • Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan organ ginjal atau buah pinggang itu semata-mata untuk berubat; dan 
  • Tidak dilakukan dengan cara jual-beli.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa pendermaan buah pinggang kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan adalah diharuskan. Apatah lagi melalui pemindahan buah pinggang tersebut, pesakit buah pinggang yang sudah berada di fasa terakhir dapat terus menjalani kehidupan yang hampir normal, di samping dapat menyelamatkan nyawanya. Walau bagaimanapun keharusan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan dan disebutkan sebelum ini dalam perbincangan di atas. 

Penjelasan lanjut berkaitan topik pendermaan organ ini bolehlah merujuk kepada e-buku kami yang bertajuk, “Pemindahan & Pendermaan Organ dalam Islam” di laman sesawang Maktabah al-Bakri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply