Soalan

Assalamulaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengeluarkan air mani dengan apa jua cara, termasuk selain daripada istimna’ atau onani?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5 – 7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan, tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan istimna’ — yakni mengeluarkan air mani. Lihat al-Umm, 5/102.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Secara asasnya, sekiranya seseorang mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani), maka ia akan membatalkan puasa – sekiranya keluar air mani – sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/356)

Selain daripada itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu beronani dengan tangannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara haram. Namun, puasanya tidak rosak — yakni terbatal — disebabkan oleh perbuatan onani itu kecuali apabila keluarnya air mani. Justeru, jika keluar air mani kerana perbuatan onani tersebut, maka puasanya terbatal. (Lihat al-Mughni, 4/363)

Melihat Secara Berulang-ulang Sehingga Keluar Mani

Seseorang yang berulang-ulang melihat sesuatu sehingga dia keluar mani dalam keadaan dia sedang berpuasa, adakah puasanya terbatal atau tidak? Dalam isu ini, para ulama berbeza pendapat kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Orang yang berulang-ulang melihat sehingga dia keluar mani, maka puasanya terbatal. Inilah pandangan mazhab Malikiyyah, Hanabilah dan sebahagian ulama’ salaf. Pandangan ini juga dipilih oleh Ibn Uthaimin dan ia juga seperti yang difatwakan oleh al-Lajnah al-Da’imah. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 21/17)

Antara hujah mereka ialah, perbuatan mengulang-ulang melihat itu, membawa maksud dia berkehendak untuk mengeluarkan mani. Maka jadilah hukumnya, seperti hukum istimna’ (onani). Selain itu, keluar mani juga dengan perbuatan bersedap-sedapan, sedangkan dia boleh untuk menjaga dirinya daripada itu. Maka rosaklah puasanya sepertimana keluarnya mani kerana bersentuhan.

Pendapat kedua: Orang yang berulang-ulang melihat sehingga keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal. Inilah pandangan mazhab Hanafiyyah, al-Syafi’iyyah dan sebahagian ulama’ salaf.

Antara hujah mereka ialah keluarnya air mani adalah tanpa mubasyarah, maka ia menyerupai mimpi yang mengeluarkan mani. Selain itu, ia juga perbuatan melihat tidak menyerupai perbuatan jima’.

Pengarang I’anah al-Talibin menyebut, puasa seseorang itu tidak batal kerana keluarnya air mani melalui mimpi, berfikir, dan melihat perkara yang bersyahwat, meskipun secara berulang, tidak membatalkan puasa kerana ketiadaan mubasyarah, yakni menyentuh langsung tanpa lapik. Walaupun begitu, mandi wajib tetap wajib dilakukan. (Lihat I’anah al-Talibin, 2/256).

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut, batal puasa apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).

Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184)

Syeikh al-Bujairimi sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Abu Bakar Syatha al-Dimyati, berkata: “…seperti keluar mani kerana melihat dan mengkhayal (pada sesuatu yang menimbulkan syahwat), itu tidak membatalkan puasanya, kerana ketiadaan unsur bersentuhan secara langsung (al-mubasyarah). Al-Bujairimi berpendapat: Ketidakbatalan puasa itu adalah jika bukan kebiasaannya keluar mani kerana melihat dan mengkhayal. Tetapi, jika kebiasaan melakukan dua perkara tersebut menyebabkan keluar mani, maka hal itu membatalkan puasa.” (Lihat Hasyiyah I’anah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Mu’in, 2/228)

Syeikh Zainuddin al-Malibari menyebut: Keluar mani kerana melihat atau mengkhayal (perkara yang menimbulkan syahwat), seperti juga menyentuh wanita mahram atau rambut seorang perempuan yang menyebabkan keluar mani, itu tidak membatalkan puasa. Ia kerana ketiadaan unsur pembatal (menyentuh kulit secara langsung). Selain itu, keluar air mazi juga tidak membatalkan puasa, di mana hal ini berbeza dengan pendapat ulama’ mazhab Maliki. (Lihat Fath al-Mu’in, 2/253)

Kesimpulan

Kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan apa jua cara sekalipun, seperti aktiviti seksual yang melibatkan kelakuan melihat, berfikir, mendengar, menyentuh tanpa lapik atau berlapik, yang disengajakan, tanpa dipaksa dan diketahui merangsang pengeluaran air mani, adalah membatalkan puasa.

Sekiranya ciuman itu tidak menggerakkan nafsu syahwat, maka hukumnya adalah dimakruhkan secara tanzih dan tidak berdosa. Cuma, sebaiknya dielakkan. (Lihat Busyra al-Karim, hlm. 548)

Justeru, sebaiknya dalam bulan puasa ini janganlah berfikir atau melihat yang tidak memberi manfaat, bahkan dosa-dosa merosakkan pahala puasa, dan sibukkanlah diri dengan amalan kebajikan yang dilipat gandakan pahalanya di bulan mulia ini. Firman Allah Taala dalam sebuah hadith Qudsi:

الصَّوْمُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، فَالصَّوْمُ جُنَّةٌ

Maksudnya: “Puasa itu untuk Aku, dan Aku sendiri akan mengganjarinya, orang yang berpuasa itu meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku, maka puasa itu adalah perisai.”

Riwayat al-Bukhari (1894) dan Ahmad (9112)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply