Soalan:

Saya ingin bertanya dan mendapatkan pandangan Datuk berkenaan ibadah solat tarawih. Sebagai seorang wanita (surirumah) mana yang lebih afdhal, solat tarawih sendirian di rumah atau berjemaah di masjid. Penjelasan dari Datuk sangat saya hargai. Terima kasih. Ramadhan Kareem.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umat Islam semestinya tidak melepaskan peluang menggandakan amal ibadah pada bulan Ramadan, terutamanya ibadah solat tarawih secara berjemaah di masjid. Dalam mencari fadilat sesuatu amalan, wujud persoalan mengenai tempat solat tarawih yang paling afdal bagi wanita.

Isu ini telah dibahaskan dalam artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Al-Kafi li al-Fatawi #936: Tempat Solat Terbaik Bagi Seorang Wanita[1]. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW:

صلاةُ المرأةِ في بيتها أفضلُ من صلاتها في حُجْرَتِها، وصلاتُها في مخدَعِها أفضلُ من صلاتها في بيتها

Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih afdal daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.”

Riwayat Abu Daud (570)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan tersebut ialah makruh tanzih kerana keadaan wanita pada zaman itu mengamalkan tabarruj dalam berhias, justeru solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita bagi mengelak fitnah. (Lihat ‘Aun al-Ma;bud Syarh Sunan Abi Daud, 2/193)

Walaupun rumah ialah tempat terbaik bagi seorang wanita melaksanakan solat, namun Islam tidak menghalang wanita untuk pergi ke masjid. Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

لا تمنعوا إماءَ الله مساجدَ الله، ولكن لِيَخرُجْنَّ وهنَّ تَفِلات

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.”

Riwayat Abu Daud (565)

Melihat kepada keadaan kini, kita dapati wanita keluar solat di masjid lebih selamat daripada fitnah berbanding keluar ke tempat-tempat awam yang lain seperti pusat membeli-belah atau aktiviti sukan di pusat sukan. Fitnah di tempat-tempat tersebut lebih besar dan perlu lebih berjaga-jaga berbanding fitnah bagi wanita ketika solat jemaah di masjid.

Kelebihan melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid turut boleh dinikmati oleh wanita lebih-lebih lagi untuk mengejar fadilat dan pahala solat tarawih berjemaah dan mendengar bacaan imam yang dapat memberikan motivasi dan semangat untuk melaksanakan ibadah pada setiap malam Ramadan.

Dalam situasi di Malaysia, alhamdulillah, keamanan dan keharmonian dapat dirasai dalam kehidupan hatta waktu malam sekali pun bagi mereka yang ingin pergi berjemaah di masjid. Sementelahan lagi sekarang banyak kawasan mempunyai taman-taman perumahan yang disediakan dengan kelengkapan seperti guard dan lain-lain. Justeru, saya berpendapat jika sekiranya wanita ini pergi ke masjid sementelahan lagi jika bersama suami atau keluarga bagi memberi semangat dan motivasi untuknya melaksanakan ibadah solat tarawih dan mendengar tazkirah, maka sudah tentu lebih baik dia solat di masjid.

Namun begitu, wanita yang pergi ke masjid perlu mendapat keizinan suami, tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj serta sentiasa menjaga adab dan kehormatan sebagai seorang Muslimah agar dapat melindungi diri masing-masing daripada sebarang fitnah.

Wallahu a’lam.

 

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply