Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, pada bulan Ramadhan ini, saya selalu pergi ke masjid solat Subuh dan berada di masjid dalam tempoh yang lama. Apabila matahari terbit, saya solat isyraq, sebenarnya solat isyraq ada atau tidak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, syabas kepada saudara yang dapat melaksanakan solat di masjid. Ini kerana Rasulullah SAW menyatakan:

إذَا رَأيتُمُ الرَّجُلَ يَعتادُ المساجدَ، فاشْهَدُوا لَهُ بِالإيِمانِ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat seseorang yang membiasakan diri dengan masjid-masjid, maka bersaksilah bahawa dia mempunyai iman.”

Riwayat al-Tirmizi (3093), Ibn Majah (802) dan Ahmad (11651). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad.

Keduanya, saudara dapat solat Subuh sementelahan lagi solat Subuh berjemaah di masjid, maka saudara berada pada jaminan Allah. Jundab bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah.”

Riwayat Muslim (657)

Menjawab persoalan saudara, nas-nas hadis yang menunjukkan solat isyraq adalah dha’if. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik R.A, bahawa sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ , تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian dia duduk berzikir kepada Allah hingga matahari terbit, lantas solat dua rakaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah, yang sempurna, sempurna, sempurna.”

Riwayat al-Tirmizi (586) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (710). Imam al-Tirmizi menyatakan, hadis ini hasan gharib. Pengarang al-Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (3403) menyatakan, hadis ini isnadnya hasan dan para perawinya adalah thiqah.

Ibnu ‘Abbas menamakan solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktu tersebut sebagai solat Isyraq. Ia dinamakan dengan nama tersebut kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu matahari sedang terbit. Namun begitu, walaupun solat Isyraq adalah solat yang dilakukan pada waktu solat Dhuha, terdapat beberapa perbezaan di antara solat Isyraq dan solat Dhuha. (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58-59)

Menekuni hadis tersebut, ia bukanlah solat isyraq, tetapi solat Dhuha. Dalil yang menunjukkan tentang solat Dhuha amat banyak, tanpa dinafikan sebahagian ulama mutaakhirin menghasankan berkenaan solat isyraq. Kami telah bahas dalam kitab kami, solat dhuha dan solat isyraq ini.

Antara lain, kami menyebut: Antara nama lain bagi Solat Dhuha ialah Solat Isyraq. Dalam hal ini, terdapat dua pendapat:

  • Zahir pendapat ahli fiqh dan hadith menunjukkan solat Dhuha dan solat Isyraq adalah sama kerana kedua-duanya menunjukkan waktunya selepas keluar matahari hingga gelincirnya.
  • Ada pendapat menyatakan berlainan waktu solat Isyraq selepas keluar sahaja matahari iaitu waktu makruh solat. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/131 dan Aujaz al-Masalik, 3/124; Ensiklopedia Solat Sunat, hlm. 138)

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa Solat Isyraq ialah Solat Dhuha yang dilakukan pada awal waktunya. Waktu Solat Isyraq ini bermula daripada kadar matahari naik segalah iaitu bersamaan dengan kira-kira 15 minit dari bermulanya waktu syuruk.

Di samping itu juga, kami menggalakkan supaya para jemaah setelah selesai melaksanakan solat Subuh secara berjemaah di masjid supaya duduk beriktikaf sebentar di masjid atau surau dengan mengisinya dengan berzikir kepada Allah SWT. Kemudian, diikuti pula dengan solat sunat 2 rakaat pada waktu isyraq. Namun, bagi sesiapa yang bekerja dan mempunyai urusan yang memerlukan dia keluar daripada masjid, maka tidak mengapa untuk melaksanakan solat Isyraq di mana-mana sekalipun.

Semoga kita menjadi orang yang sentiasa istiqamah dengan solat Dhuha. Amin.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply