Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, kenapa kita semestinya berzikir pada waktu pagi dan petang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, suka saya nyatakan bahawa perintah zikir terlalu banyak dalam nas Ilahi dan hadis Nabawi. Ia termasuk juga boleh menenangkan hati. Saya nyatakan di sini beberapa dalil:

 أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Kembali persoalan di atas, zikir pada waktu petang dapat mengeluarkan seseorang dari disifatkan sebagai orang-orang yang lalai (ghafilin). Firman Allah SWT:

 وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”

(Surah al-A’raf: 205)

Al-Tabari berkata: Firman-Nya, ‘وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ’ (“Janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai,”) ketika al-Quran dibacakan. Janganlah kamu tergolong orang yang lalai terhadap nasihat dan pelajaran, serta pelbagai keajaiban yang terkandung di dalamnya. Akan tetapi, renungkan dan fahamilah itu. Rasakanlah zikir kepada Allah di dalam hatimu, dan bersikap rendah diri dan takutlah terhadap kekuasaan Allah terhadapmu jika engkau bersikap lalai daripada hal itu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/927)

Justeru, tujuan zikir pada waktu pagi dan petang agar kita sentiasa mengingati Allah, Tuhan kita dan bukan daripada kalangan yang lalai dan leka untuk mengingatinya. Selain itu, saya nyatakan di sini beberapa fadilat zikir, antaranya:

  • Menghilangkan kegelisahan hati yang dukacita, serta hati menjadi tenang dan gembira.
  • Menguatkan hati dan tubuh badan.
  • Datangnya inabah, iaitu kembali pada Allah SWT. Semakin seseorang kembali kepada Allah dengan banyaknya berzikir pada-Nya, maka hatinya juga akan kembali kepada Allah dalam setiap keadaan.
  • Seseorang akan semakin dekat kepada Allah mengikut dengan kadar zikirnya kepada Allah SWT. Semakin dia lalai dari berzikir, maka dia juga akan semakin jauh dari-Nya.
  • Datangnya rasa takut pada Rabb ‘Azza wa Jalla dan semakin menghinakan diri kepada-Nya. Manakala orang yang lalai dari berzikir, akan semakin hilang rasa takutnya kepada Allah.
  • Zikir menjadikan hati semakin bersih putih yang sebelumnya berkarat. Karatnya hati adalah disebabkan kerana lalai dari berzikir mengingati Allah. Sedangkan putih bersihnya hati adalah dengan zikir, taubat dan istighfar.
  • Menghapuskan dosa, kerana zikir adalah kebaikan terbesar dan kebaikan yang akan menghapus keburukan.
  • Menghilangkan kerisauan dan keserabutan. Kerisauan ini dapat dihilangkan dengan berzikir kepada Allah.
  • Ketika seorang hamba selalu mengingat Allah, maka Allah akan mengingatnya di saat dia memerlukan pertolongan.
  • Jika seorang hamba mengenal Allah dalam keadaan senang, maka Allah akan mengenalnya dalam keadaan dia susah.
  • Zikir menyebabkan turunnya sakinah (ketenangan), naungan rahmat, dan dikelilingi oleh malaikat.
  • Orang yang berzikir begitu bahagia, begitu pula ia akan membahagiakan orang-orang di sekitarnya.
  • Tangisan orang yang berzikir, Allah akan memberikan naungan ‘Arasy kepadanya di hari kiamat iaitu hari yang amat panas.
  • Zikir adalah tanaman syurga.
  • Orang yang berzikir akan semakin dekat dengan Allah dan bersama dengan-Nya. Kebersamaan di sini adalah dengan kebersamaan yang khusus, bukan hanya sekadar Allah itu bersama dengan maksud mengetahui atau meliputi.

Inilah antara fadilat zikir seperti yang disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib (hlm. 42-45)

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berzikir dan saya menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303), Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply